Jom ketahui info lengkap tentang zakat ternakan. Mana tahu sebenarnya anda sudah wajib bayar zakat ternakan.

Zakat hasil ternakan adalah zakat yang perlu dikeluarkan untuk binatang-binatang ternakan. Manakala dari segi istilah feqah, para ahli feqah menjelaskan bahawa binatang ternakan yang dimaksudkan adalah yang tertentu sahaja iaitu yang disebut sebagai al-An’aam di dalam al-Quran.

Al-An’aam terdiri daripada binatang-binatang seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri sahaja.

Berdasarkan pendapat daripada al-Imam al-Syirazi yang dinyatakan di dalam kitabnya al-Muhazzab tentang binatang-binatang tersebut dikenakan zakat berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan Hadis menyebut tentang binatang-binatang ini sahaja dan binatang-binatang ini juga merupakan suatu kebiasaan untuk diternak dan diambil faedah daripadanya seperti daging dan susu.

Dalil Zakat Ternakan

Imam Ibn Majah telah meriwayatkan satu Hadis daripada Rasulullah S.A.W yang membawa maksud;

“Daripada Muaz Ibnu Jabal, beliau berkata, baginda Rasulullah S.A.W telah mengutuskan aku ke Yaman dan beliau memerintahkan aku dari setiap 40 ekor lembu, 1 ekor lembu musinnah (1 ekor lembu betina yang umurnya mencapai 3 tahun) dan tiap-tiap 30 ekor lembu, tabi’ atau tabiah ( 1 ekor lembu jantan atau betina yang umurnya mencapai 2 tahun)”

Di dalam Hadis ini, jelas menunjukkan bahawa zakat ternakan atau zakat binatang ternakan wajib dikeluarkan apabila mencapai bilangan atau kuantiti yang tertentu, bukannya pada setiap bilangan binatang ternakan itu.

Selain itu juga, Allah juga telah menjelaskan tentang ancaman atau balasan yang akan menimpa sesiapa yang tidak menunaikan zakat. Ini merujuk kepada satu Hadis Rasulullah S.A.W yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang membawa maksud;

“Daripada Abu Dzar RA: ?Apabila aku pergi kepadanya (Rasulullah) lalu Baginda berkata: ?Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang lelaki pemilik unta, lembu atau kambing yang tidak menunaikan haknya (zakat) melainkan haiwan tersebut akan didatangkan pada hari kiamat dalam keadaan yang lebih besar dan lebih gemuk.

Haiwan tersebut memijaknya dengan kaki-kakinya dan menyondol dengan tanduk-tanduknya. Tatkala haiwan terakhir telah melintas, maka haiwan yang pertama akan dikembalikan kepadanya, hingga pengadilan selesai dilakukan di antara manusia.”

Dalam hadis ini, jelas menunjukkan bahawa menunaikan zakat ternakan adalah wajib bagi individu Islam yang berkemampuan.

Adakah Al-An’aam Sahaja Perlu Zakat?

Sememangnya akan timbul pelbagai pertanyaan apabila binatang-binatang yang dipelihara sebagai haiwan ternakan tidak termasuk dalam kategori haiwan zakat ternakan atau tidak tergolong sebagai binatang yang dinamakan al-An’aam. Haiwan ternakan lain yang dimaksudkan adalah seperti ayam atau itik.

Persoalan ini juga timbul kerana dewasa kini kita dapat melihat haiwan-haiwan yang dahulunya bersifat liar, telah diternak secara komersial untuk mendapatkan keuntungan sama seperti tujuan penternak menternak unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.

Sebagai contoh, kini di Malaysia yang kita cintai ini sudah wujud kawasan ternakan binatang seperti rusa yang diternak secara meluas untuk tujuan memperolehi keuntungan melalui penjualan dagingnya. Atau kita juga boleh mengambil kira binatang seperti kuda yang dipelihara untuk tujuan mendapatkan keuntungan melalui penjualannya.

Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, Dr. Yusuf al-Qardhawi telah mengemukakan pandangan beliau di dalam kitab Fiqh al-Zakat. Beliau berpendapat seharusnya binatang-binatang yang bukan al-An’aam yang dipelihara untuk tujuan komersial atau perniagaan dikenakan zakat.

Pandangan beliau ini adalah berdasarkan qiyas kerana pada pendapat beliau kaedah qiyas harus digunakan dalam menentukan sumber-sumber harta yang dikenakan zakat.

Oleh kerana haiwan-haiwan lain ini mempunyai sifat berkembang apabila diniagakan atau diperdagang, maka ianya wajib dikeluarkan zakat atas hasil atau pulangan daripada jualan atau perniagaan haiwan-haiwan tersebut. Justeru, zakat yang perlu dikeluarkan adalah seperti zakat perniagaan iaitu 2.5% daripada jumlah keuntungan jualan atau dagangan binatang-binatang tersebut.

Imej via iLabur

Syarat Wajib Zakat Ternakan

Zakat ternakan wajib dikeluarkan apabila telah mencapai atau memenuhi syarat-syarat tertentu. Ini bermakna, zakat ternakan tidak dikenakan ke atas setiap bilangan binatang ternakan.

Terdapat empat syarat utama yang perlu diperhatikan dan dipenuhi sebelum zakat boleh diambil dari haiwan ternakan. Syarat-syaratnya adalah;

1. Tidak dipekerjakan

Syarat yang pertama ialah binatang ternakan tersebut bukanlah binatang yang digunakan sebagai kenderaan, pengangkutan atau tujuan kerja seperti membajak sawah dan sebagainya.

2. Digembalakan

Digembalakan di sini bermaksud binatang ternakan diurus sepanjang tahun untuk mendapatkan susu, dibiakkan atau mendapatkan dagingnya. Binatang-binatang ternakan juga perlu saaimah yang bermaksud binatang-binatang itu dipelihara di padang ternakan bebas yang bagi kebanyakan hari dalam tempoh setahun.

Apa yang dimaksudkan dengan padang yang bebas adalah padang rumput yang tumbuh dengan sendirinya dan bukan dari hasil usaha manusia.

3. Cukup nisab

Cukup nisab iaitu kadar yang telah ditetapkan secara tertentu mengikut syara’.  Dalam hal ini setiap jenis haiwan ternakan punya nisab tersendiri sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi S.A.W.

Bagi ternakan unta, jumlah minima ialah 5 ekor. bagi kambing, tidaklah diwajibkan zakat apabila di bawah 40 ekor. Manakala nisab lembu ialah 30 ekor.

4. Cukup haul

Cukup tempoh haul atau setahun berasaskan tahun Islam selama 12 bulan. Bagi anak binatang yang lahir dalam waktu (pertengahan) haul, tidak diwajibkan zakat, namun boleh dikira sekali bagi mencukupkan nisab binatang-binatang ternakan yang sudah matang.

Selain dari empat syarat utama di atas, zakat ternakan juga tertakluk kepada syarat umum zakat. Boleh rujuk 6 syarat wajib bayar zakat untuk info lanjut.

Nisab Dan Kadar Zakat Ternakan

Berdasarkan ijmak ulama’ dan hadis-hadis sahih, di bawah ini adalah nisab dan kadar zakat ternakan.

1. Kadar dan nisab untuk unta

Bil. Kadar Nisab Kadar Zakat
Bilangan Jantina Umur
1 5 hingga 9 ekor 1 ekor kambing biri-biri 1 tahun lebih
2 10 hingga 14 ekor 2 ekor kambing biri-biri 1 tahun lebih
3 15 hingga 19 ekor 3 ekor kambing biri-biri 1 tahun lebih
4 20 hingga 24 ekor 4 ekor kambing biri-biri 1 tahun lebih
5 25 hingga 35 ekor 1 ekor unta betina Betina 1 tahun lebih
6 36 hingga 45 ekor 1 ekor unta betina Betina 2 tahun lebih
7 46 hingga 60 ekor 1 ekor unta betina Betina 3 tahun lebih
8 61 hingga 75 ekor 1 ekor unta betina Betina 4 tahun lebih
9 76 hingga 90 ekor 2 ekor unta betina Betina 2 tahun lebih
10 91 hingga 120 ekor 2 ekor unta betina Betina 3 tahun lebih

Jika bilangan unta melebihi bilangan contoh di atas, maka bagi tiap-tiap 40 ekor unta wajib dikeluarkan zakatnya 1 ekor unta betina berumur 2 tahun lebih, dan bagi tiap-tiap 50 ekor anak unta wajib dikeluarkan zakatnya 1 ekor unta betina berumur 3 tahun lebih dan demikian seterusnya.

2. Kadar dan nisab untuk lembu atau kerbau

Bil.

Kadar Nisab

Kadar Zakat

Bilangan

Jantina

Umur

1

30 hingga 39 ekor

1 ekor

Jantan

1 tahun lebih

2

40 hingga 59 ekor

1 ekor

Betina

2 tahun lebih

3

60 hingga 69 ekor

2 ekor

Jantan

1 tahun lebih

4

70 hingga 79 ekor

1 ekor

Jantan

1 tahun lebih

dan 1 ekor

Betina

dan 2 tahun lebih

5

80 hingga 89 ekor

2 ekor

Betina

2 tahun lebih

6

90 hingga 99 ekor

3 ekor

Jantan

1 tahun lebih

7

100 hingga 109 ekor

2 ekor

Jantan

1 tahun lebih

dan 1 ekor

Betina

dan 2 tahun lebih

Sekiranya bilangan lembu atau kerbau melebihi daripada yang di atas, maka bagi setiap 30 ekor lembu diwajibkan zakat 1 ekor anak lembu jantan yang berumur satu tahun. Bagi setiap 40 ekor lembu diwajibkan zakat satu ekor anak lembu betina yang berumur 2 tahun.

3. Kadar dan nisab untuk kambing

Bil. Kadar Nisab Kadar Zakat
Bilangan Jantina Umur
1 40 hingga 120 ekor 1 ekor 2 tahun
2 121 hingga 200 ekor 2 ekor 2 tahun
3 201 hingga 399 ekor 3 ekor 2 tahun

Bagi setiap penambahan seterusnya, nisab dan kadarnya adalah 1 ekor berumur 2 tahun bagi tiap-tiap 100 ekor kambing.

4. Kadar dan nisab untuk biri-biri

Bil. Kadar Nisab Kadar Zakat
Bilangan Jantina Umur
1 40 hingga 120 ekor 1 ekor 1 tahun
2 121 hingga 200 ekor 2 ekor 1 tahun
3 201 hingga 399 ekor 3 ekor 1 tahun

Bagi setiap penambahan biri-biri pula ialah 1 ekor biri-biri berumur 1 tahun untuk setiap penambahan 100 ekor biri-biri.

Namun begitu, kebebasan diberikan kepada pengusaha atau penternak haiwan untuk memilih sama ada mahu menggunakan zakat ternakan atau zakat perniagaan dalam menunaikan zakat haiwan ternakan.

Pemilihan ini diberi kerana pada umumnya binatang-binatang ternakan dipelihara untuk tujuan perniagaan atau komersial. Oleh itu, para pengusaha atau penternak boleh memilih untuk menggunakan salah satu daripada dua jenis zakat ini dalam menunaikan zakat ternakan.

*Jemput juga baca artikel tentang cara pengiraan zakat pendapatan dan zakat KWSP

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.