Sekarang ramai yang membuat carian tentang cara pengiraan zakat pendapatan. Ini kerana kewajipan zakat kepada individu Muslim adalah sama sepertimana kefarduan solat untuk menjadi  seorang  Islam yang  sempurna.

Membayar zakat pendapatan atau tidak membayar zakat pendapatan adalah sangat berkait dengan soal ketaatan. Zakat secara umum merupakan satu ibadat sebagaimana kewajipan ibadat  yang  lain  seperti  sembahyang,  puasa  dan  menunaikan  haji.

cara pengiraan zakat pendapatan

Imej via Pixabay

Zakat Pendapatan atau Zakat Gaji telah dilaksanakan sebagai suatu yang penting pada zaman Khalifah Muawiyah dan Omar bin Abdul Aziz. Ia lebih penting dikenali sebagai nama Al-Ata’ dan di zaman moden ini dikenali sebagai “Kasbul Amal”.

Tetapi akibat penjajahan dan pengaruh kuasa Barat, sistem percukaian moden telah mengenepikan sistem zakat, termasuk zakat ke atas gaji.

Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji. Ini kerana pendapatan merupakan sebuah harta yang berkembang dan boleh membawa perolehan yang lumayan.

Keutamaan bagi seseorang yang menyandang jawatan-jawatan profesional atau peringkat tinggi dalam sesebuah organisasi. Ia juga antara aktiviti perekonomian utama pada zaman ini, apatah lagi profesion “makan gaji” sudah menjadi lumrah dalam kehidupan sekarang.

Dalil Zakat Pendapatan

Kewajipan zakat pendapatan telah diasaskan oleh beberapa dalil. Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman (yang bermaksud):

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” [Al-Baqarah (2): 267]

Dalam ayat di atas, Allah menjelaskan segala hasil usaha yang baik-baik wajib dizakatkan. Dan bagi mereka yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu ‘profesion’ maka ianya juga termasuk sebagai hasil usaha.

zakat

Begitu juga Imam Ar-Razi menegaskan dalam konsep “hasil usaha” meliputi semua harta dalam konsep menyeluruhnya yang dihasilkan oleh kegiatan manusia.

Dalam sebuah Hadis (yang bermaksud):Telah diceritakan oleh Said Bin Abi Burdah dari bapanya dari datuknya dari Nabi SAW bersabda:

    “Sedekah ditekankan atas setiap Muslim” Lalu para Sahabat bertanya: “Wahai Nabi Allah, bagaimana dengan orang yang tidak mendapatkan (sesuatu untuk disedekahkan)?” Beliau menjawab: “Dia beramal dengan tangannya (kerja), sehingga dia bermanfaat bagi dirinya lalu dia bersedekah” (HR Bukhari & Muslim)

Nisab Dan Haul Zakat Pendapatan

Nisab zakat pendapatan bersandarkan 85 gram emas. Kadar bayaran zakat pendapatan ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan kasar atau pendapatan bersih.

Pakar-pakar di kalangan ulama kontemporari tidak meletakkan haul sebagai syarat wajib zakat pendapatan.  Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, tidak mensyaratkan haul ke atas zakat pendapatan gaji adalah atas beberapa faktor, antaranya:

  1. Pertama, faktor keumuman nas-nas al-Quran yang mewajibkan orang kaya tentang kewajipan membayar zakat sebagai bukti iman dan kepatuhan seseorang kepada agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat) (Al-Baqarah[2]: 267)”

  1. Mengecualikan syarat haul dalam zakat pendapatan lebih bertepatan dengan konsep keadilan. Ini kerana dengan mengenakan syarat haul, bermakna sistem zakat memberi kesempatan kepada orang-orang kaya untuk mengelakkan diri daripada membayar zakat.

Hal ini terjadi apabila sesiapa yang boros berbelanja boleh menggunakan alasan tidak mempunyai wang yang berbaki dalam setahun untuk mengeluarkan zakat. Sedangkan sesiapa yang berjimat-cermat dengan menyimpan wang hasil pendapatan dalam setahun dibebankan dengan zakat.

Ia sudah tentu tidak mencerminkan keadilan dalam sistem zakat itu sendiri.

Pada masa yang sama tidak mensyaratkan haul lebih meraikan maslahat umat Islam kerana setiap orang kaya akan menanggung keperluan ekonomi masyarakat.

Zakat Pendapatan / Gaji

Zakat Pendapatan boleh dikeluarkan bagi setiap individu yang memperolehi sumber pendapatan yang merangkumi :

  1.     Pendapatan / Pengajian
  2.     Gaji dan Upahan
  3.     Tunggakan
  4.     Elaun-elaun : (Elaun Khidmat Awam, Elaun Keraian, Elaun Perumahan)
  5.     Bonus
  6.     Komisyen
  7.     Lain-lain pendapatan sampingan (rumah sewa, jualan langsung dll)
  8.     Kerja lebih masa

Cara Pengiraan Zakat Pendapatan Yang Mudah

Ada 3 cara pengiraan zakat pendapatan :

1) Membayar 2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun (jika pendapatan melebihi nisab semasa).

2) Membayar setelah ditolak perbelanjaan-perbelanjaan asasi setahun yang dibenarkan (jika pendapatan melebihi nisab semasa).

CONTOH PENGIRAAN

Kaedah Pertama : Menggunakan Kaedah Pendapatan Kasar

Jika jumlah pendapatan kasar dari semua sumber setahun ialah sebanyak RM 33,800, maka zakatnya ialah sebanyak :-

RM 33,800 x 2.5% = RM 845.00

Kaedah Kedua : Menggunakan Kaedah Pendapatan Bersih

 A PENDAPATAN DARI SEMUA SUMBER (SETAHUN)  RM
Gaji ( RM 3,000 x 12 bulan )  36,000
Elaun  5,800
Bonus  4,000
  JUMLAH PENDAPATAN  45,800
 B PERBELANJAAN YANG DIBENARKAN (SETAHUN) RM
Diri  9,000
Isteri  4,000
Anak-anak (RM 2000[bukan IPTA/IPTS] x 4 orang)  8,000
Pemberian kepada Ibu Bapa  2,400
Caruman KWSP  2,400
Caruman Tabung Haji  600
Caruman kepada institusi / koperasi yang telah memberi zakat bagi pihak ahli 1,200
JUMLAH TOLAKAN 27,600
C PENDAPATAN BERSIH YANG LAYAK DIZAKAT (A-B) RM
RM 33,800 – RM 22,600 18,200
Nilai melebihi paras nisab (Contoh : nisab Tahun 2016 = RM 11985.32)
D ZAKAT YANG WAJIB DIBAYAR RM
RM 18,200 x 2.5% 455

*Nilai bagi pengiraan zakat pendapatan mengikut Kaedah Kedua

  1. A) Jumlah pendapatan dari semua sumber yang dicampurkan dalam masa setahun
  2. B) Perbelanjaan yang dibenarkan tolakan:
  •     Diri – RM 9,000
  •     Isteri – RM 4,000
  •     Anak (RM 2000 untuk bukan di IPTA/IPTS), (RM 8,000 untuk belajar di IPTA/IPTS)
  •   Pemberian kepada Ibu Bapa, Caruman KWSP, Caruman Tabung Haji, Caruman kepada institusi/koperasi yang telah membayar zakat.

3. Guna kalkulator

Cara pengiraan zakat pendapatan paling mudah adalah dengan menggunakan kalkulator yang disediakan oleh pihak Lembaga Zakat di sini Kalkulator Zakat

Kesimpulan

“Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap orang Muslim bersedekah (berzakat). “Mereka bertanya, “Hai Nabi Allah, bagaimana yang tidak mempunyai harta ?”.

Baginda menjawab, “Bekerjalah untuk mendapatkan sesuatu untuk dirinya, lalu bersedekah:. Mereka bertanya, “Kalau tidak mempunyai pekerjaan ?”

Baginda bersabda, “Tolonglah orang yang meminta pertolongan”. Mereka bertanya lagi, “Bagaimana bila tak berkuasa?” Baginda menjawab, “Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah”.

Jadi dengan adanya cara pengiraan zakat pendapatan ini bolehlah kita menunaikan kewajipan untuk berzakat.

Sumber

 

Copy

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.