Malang tidak berbau, apatah lagi ajal manusia yang boleh datang pada bila-bila masa sahaja.

Jangan terperanjat kalau kos menguruskan jenazah boleh mencecah ratusan ringgit ye. Bagaimana nasib kalau keluarga si mati tidak mempunyai wang kecemasan yang boleh digunakan untuk urusan pengebumian ini?

Jom baca artikel ini yang akan mengupas mengenai kepentingan khairat kematian dan juga ketahui, anda boleh tuntut duit khairat kematian ini di beberapa agensi terpilih.

Pengenalan

Khairat berasal dari perkataan Arab yang bermaksud “kebajikan.” Di Malaysia, khususnya bagi umat Islam, biasanya dalam sesebuah komuniti seperti masyarakat FELDA, kampung dan taman perumahan, satu badan khairat kematian dilantik bagi menguruskan urusan pengebumian mereka yang telah meninggal dunia.

Namun, tak ramai yang tahu berkenaan skim khairat kematian ini! Menurut laporan Harian Metro, 30% daripada golongan dewasa 5000 berusia 25 hingga 30 tahun tidak pernah tahu akan perihal khairat kematian.

Skim khairat kematian dalam skala penduduk ini beroperasi seperti skim perlindungan insurans. Setiap bulan, setiap keluarga di kawasan itu perlu membayar sejumlah wang kepada penjaga amanah skim itu.

Kutipan duit ini akan digunakan bagi setiap kali berlakunya kes kematian untuk membeli kelengkapan jenazah dan urusan pengebumian.

Kelebihan Mencarum dalam Khairat Kematian

Masyarakat perlu menganggap bahawa skim khairat kematian ini seperti skim insurans atau tabung kecemasan yang akan memudahkan urusan kematian ahli keluarga pada masa akan datang.

Tentunya sewaktu hari kematian, ahli keluarga akan bersedih dan sedang berkabung. Ahli jemaah khairat kematian ini boleh membantu keluarga yang sedang berduka ini untuk melicinkan urusan jenazah.

Berikut merupakan kelebihan menyertai skim khairat kematian

  • Meringankan beban kewangan untuk pengurusan jenazah seperti menyewa kereta mayat, upah penggali kubur, membeli kain kapan dan sebagainya
  • Mempercepat proses pengebumian apabila semua persiapan dapat disediakan melalui peruntukan khairat kematian
  • Melatih sikap sediakan payung sebelum hujan dan juga semangat menabung serta suka bersedekah

Kepentingan Simpanan Khairat Kematian

Kos menguruskan jenazah pada masa ini boleh mencecah sehingga RM900 yang melibatkan proses memandikan jenazah, kafan, solat jenazah, pengangkutan, pengebumian dan kenduri tahlil.

Media pernah melaporkan, ada pengebumian terpaksa ditangguh kerana waris tidak dapat mengadakan wang upah penggali kubur sebanyak RM400.

Terdapat juga kisah penolakan sebuah surau menguruskan jenazah seorang bayi kerana ibu bapa tidak mampu bayar RM300.

Ada kes sangat tragik kerana tidak mampu bayar RM800 dan pihak berwajib tidak membantu, malah mangsa sendiri tidak pernah peka, ada jenazah yang terpaksa diuruskan secara bukan Islam iaitu ‘cremation’ (bakar).

Penulis berpendapat, caruman dalam skim khairat kematian ini sangat penting bagi urusan segera pengebumian jenazah. Memang terdapat skim khairat kematian dari beberapa agensi dan syarikat insurans, tetapi urusan menuntutnya mengambil masa beberapa hari hingga minggu.

Walau bagaimanapun, masyarakat perlu mengambil tahu berkenaan skim tersebut dan duit yang diperolehi boleh digunakan untuk tujuan kelangsungan hidup, terutama sekali bagi keluarga yang kehilangan tunggak keluarga yang mencari rezeki, atau digunakan sehingga habis tempoh berkabung.

Tuntutan Khairat Kematian oleh Waris

#1 Khairat Kematian ASB

Waris boleh menuntut sejumlah RM200 hingga RM2000 jika si mati mempunyai akaun ASB yang masih aktif. Nilai tuntutan bergantung kepada baki akhir akaun.

#2 Khairat Kematian Pencen

Bagi si mati yang mempunyai skim pencen semasa hidupnya, waris boleh menuntut sehingga RM3000.

#3 Khairat Kematian KWSP

Pencarum KWSP yang telah meninggal dunia meninggalkan wang khairat kematian sebanyak RM2500 kepada waris yang dilantik oleh si mati.

#4 Khairat Kematian PERKESO

Bagi mereka yang pernah mencarum dalam PERKESO, nilai tuntutan yang boleh dibuat oleh waris ialah sebanyak RM2000.

#5 Khairat Kematian JPA

Bagi penjawat awam yang meninggal dunia, nilai tuntutan sebanyak RM3000 boleh dibuat oleh waris yang dikenali sebagai Bantuan Mengurus Jenazah.

#6 Takaful

Mereka yang ada mencarum dengan Takaful, waris boleh menuntut nilai khairat kematian sebanyak RM2000-RM5000, bergantung kepada skim yang diambil semasa hidup.

#7 Khairat Kematian Bank Rakyat

Pemilik akaun Bank Rakyat yang aktif semasa hidup mempunyai perlindungan khairat kematian berjumlah RM3000 yang boleh dituntut oleh waris yang dinamakan.

#8 Bantuan Sara Hidup (BSH)

Bagi perima BSH (atau dulu dikenali sebagai BR1M), nilai tuntutan RM1000 boleh dibuat oleh waris yang dinamakan dalam sistem.

#9 Khairat Kematian Ahli RELA

Kepada mereka yang pernah menjadi ahli RELA, duit khairat kematian sebanyak RM2500 boleh dituntut di Pejabat RELA masing-masing.

#10 Khairat Kematian Masjid

Terdapat masjid yang mengadakan skim khairat kematian ini dan nilainya bergantung kepada kariah masjid tersebut.

#11 Khairat Kematian Pembayar Zakat

Skim ini turut dikenali sebagai Skim Kafalah Muzakki khususnya Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan memberikan nilai tuntutan khairat kematian sebanyak RM3000 dalam tempoh 14 hari kepada keluarga si mati yang membayar zakat dengan nilai minimum RM50 setahun semasa hidupnya.

#12 Khairat Kematian Majlis Agama Negeri

Bagi penerima bantuan kebajikan bulanan Majlis Agama Negeri yang telah meninggal dunia, waris boleh mengemukakan tuntutan khairat kematian di kaunter Majllis Agama Negeri atau secara atas talian seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Nilainya adalah berbeza mengikut setiap Majlis Agama Negeri.

#13 Khairat Kematian Persatuan Berdaftar/NGO/Koperasi

Nilai tuntutan dalam julat RM500-RM5000 disediakan buat waris si mati yang aktif dalam mana-mana persatuan berdaftar/NGO/Koperasi semasa hidupnya.

Kesimpulan

Kini, semua kerja hanya dilakukan dengan upah, “No money no talk” konsepnya.

Jarang sekali untuk seseorang melakukan sesuatu pekerjaan tanpa upah; tidak ada upah kerja tak berjalan, termasuk kerja pengurusan pengebumian mayat.

Oleh itu, adalah sangat wajar untuk kita bersiap sedia dengan khairat kematian kerana mati itu pasti. Selain itu, waris perlu sentiasa cakna dengan tuntutan khairat kematian oleh agensi-agensi tertentu yang boleh dibuat kerana duit tuntutan tersebut boleh digunakan untuk banyak tujuan seperti membantu urusan upah haji, membayar fidyah, melunaskan hutang arwah semasa hidup, urusan faraid dan sebagainya.

*Jemput juga baca artikel tentang biodata Siti Nurhaliza dan masa terbaik beli saham.

Rujukan

  1. http://www.e-maik.my/v2/index.php/ms/perkhidmatan-kami/khairat-kematian
  2. https://www.maim.gov.my/index.php/my/pengumuman/876-sistem-e-khairat
  3. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/08/484894/pentingnya-khairat-kematian
  4. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/02/428214/skim-kafalah-muzakki-ringan-beban-waris
  5. https://www.malaysia.gov.my/portal/content/27768?language=my
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.