Potongan Cukai Bulanan (PCB) ialah satu mekanisme di mana majikan membuat potongan gaji pekerja mereka untuk tujuan pembayaran cukai bulanan. Para majikan bergantung kepada data peribadi pekerja mereka yang telah dihantar ke Jabatan Sumber Manusia bagi tujuan pengiraan jumlah PCB setiap bulan.

Sebagai majikan dan pekerja yang bijak, kenalah tahu sedikit sebanyak perihal PCB ini.

potongan cukai bulanan

Imej via Google

“PCB adalah satu mekanisme potongan cukai pendapatan daripada saraan bulanan semasa pekerja mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau kaedah-kaedah lain yang diluluskan.”

Secara kasarnya, bolehlah dikatakan bahawa kita sedang membayar cukai pendapatan dengan kaedah bayaran ansuran secara bulanan.

Perkara yang Majikan dan Pekerja Perlu Tahu Mengenai Potongan Cukai Bulanan (PCB)

 PCB Sebagai Cukai Muktamad

PCB sebagai Cukai Muktamad membenarkan pembayar cukai yang layak untuk tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN)

Jika anda seorang kakitangan awam atau pembayar cukai yang menggunakan PCB. Anda sebenarnya tidak perlu atau layak untuk tidak mengisi BNCP setiap tahun.

Atau dengan kata lain, anda tidak perlu menggunakan sistem e-Filling untuk mengisi atau isytihar pendapatan penggajian anda.

Ada di antara pembayar cukai ini, yang menggunakan e-Filling atau BNCP.  Akhirnya mengeluh apabila mendapati perlu bayar baki lebihan cukai pendapatan yang dikenakan.

Walhal sebenarnya tidak perlu pun mengisi segala butiran tersebut dengan syarat ia memenuhi kelayakan.

Apabila seseorang pembayar cukai yang menggunakan kaedah PCB untuk penyelesaian cukai pendapatan, ia boleh dianggap sebagai Cukai Muktamad, dan tidak perlu membuat e-Filling atau mengisi BNCP.

Namun,tiga kriteria seperti yang tertera di bawah haruslah dipenuhi:

  • Pekerja tersebut hendaklah menerima pendapatan pekerjaan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 13, Akta Cukai Pendapatan 1967.
  • PCB pekerja tersebut hendaklah dibuat di bawah Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994; dan
  • Pekerja tersebut hendaklah telah berkhidmat untuk majikan yang sama untuk tempoh selama 12 bulan di bawah satu tahun kalendar (iaitu dari 1 Januari hingga 31 Disember).

Untuk memastikan bahawa PCB anda ialah cukai muktamad, anda mungkin perlu memohon supaya potongan dibuat untuk apa-apa pelepasan yang lain. Hal ini dapat dilakukan dengan mengisi dan menyerahkan Borang Cukai Pendapatan TP1.

Anda boleh menyenaraikan pelepasan lain yang anda berhak anda dapati di dalam borang ini untuk tujuan pengiraan PCB.

Pelepasan yang boleh dituntut di dalam borang tersebut termasuk:

  • Rawatan perubatan, keperluan khas dan kos penjaga bagi ibu bapa,
  • Peralatan sokongan asas untuk kegunaan pekerja yang kurang upaya, suami/isteri atau ibu bapa yang kurang upaya,
  • Yuran pendidikan diri sendiri,
  • Kos perubatan untuk penyakit serius,
  • Pemeriksaan kesihatan yang lengkap,
  • Pembelian buku, majalah dan jurnal,

Pelepasan lain boleh rujuk di Senarai Pelepasan Cukai

Setelah menghantar borang kepada LHDN dan memberikan salinannya kepada majikan anda, majikan anda akan membuat pembayaran amaun PCB anda kepada LHDN pada setiap bulan, selaras dengan Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) 1994.

Jika majikan anda membuat potongan jumlah PCB daripada gaji anda pada setiap bulan untuk tempoh berterusan selama 12 bulan – anda mungkin akan mendapati bahawa terdapat cukai terlebih bayar apabila anda memfailkan cukai anda.

Tanggungjawab Majikan

majikan

Tanggungjawab majikan di bawah Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan)1994(Kaedah PCB) adalah seperti yang berikut:

-Memotong PCB daripada saraan setiap pekerja pada setiap bulan atau bulan yang berkaitan mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau Kaedah Pengiraan Berkomputer dan membayar kepada Ketua Pengarah.

-Membuat potongan tambahan daripada saraan pekerja mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah di bawah Kaedah 4 Kaedah PCB.

-Majikan hendaklah membayar kepada Ketua Pengarah, tidak lewat daripada hari kelima belas tiap-tiap bulan kalendar, jumlah amaun cukai yang dipotong atau yang sepatutnya dipotong olehnya daripada saraan pekerja pada bulan kalendar sebelumnya.

-Mengemukakan suatu penyata maklumat pekerja yang lengkap dan tepat seperti berikut semasa mengemukakan bayaran PCB/potongan tambahan nombor cukai pendapatan (jika ada);

  • nombor cukai pendapatan (jika ada);
  • nama seperti yang dinyatakan dalam kad pengenalan atau pasport;
  • nombor kad pengenalan baru dan lama/nombor polis/nombor tentera atau nombor pasport (bagi pekerja asing); dan
  • amaun PCB/potongan tambahan.

Jika majikan gagal mengemukakan maklumat yang lengkap dan tepat, bayaran PCB tersebut tidak akan diterima oleh LHDNM. Pengemukaan semula bayaran PCB boleh dikenakan kompaun sekiranya bayaran dibuat selepas hari kelima belas bulan berikutnya.

-Mengemukakan maklumat mengenai pemberhentian pembayaran saraan pekerja seperti yang dikehendaki di bawah Kaedah 13, Kaedah PCB dalam borang yang ditetapkan.

-Menyimpan dan memegang simpan dalam jagaan selamat dokumen yang mencukupi bagi tempoh tujuh tahun dari akhir tahun kalendar dalam mana saraan itu dipotong berkenaan pekerjanya menurut Kaedah PCB.

-Memaklumkan kepada setiap pekerjanya tentang tanggungjawab berikut:

  • untuk mengemukakan Borang TP3 kepada majikan bagi memaklumkan maklumat berkaitan penggajian dengan majikan terdahulu dalam tahun semasa.
  • untuk mengemukakan Borang TP1 kepada majikan jika pekerja ingin menuntut potongan dan rebat bagi bulan berkenaan. Pelaksanaan potongan dan rebat tersebut tertakluk kepada persetujuan majikan.
  • untuk menyimpan dan memegang simpan dalam jagaan selamat setiap resit berkenaan dengan tuntutan potongan bagi tempoh tujuh tahun dari akhir tahun taksiran tersebut di bawah Akta.
  • untuk mengemukakan maklumat peribadi dengan lengkap dan betul dan mengemaskini maklumat kepada majikan setiap kali terdapat perubahan.
  • untuk mengemukakan maklumat yang betul dalam borang yang ditetapkan berrhubung dengan cukai yang boleh dikenakan ke atasnya dan kegagalan pekerja berbuat demikian merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 113(1)(b) Akta.

Menurut seksyen 75A Akta, pengarah syarikat terkawal adalah bertanggungjawab atas PCB yang tidak dibayar mengikut Kaedah PCB.

Jenis pendapatan yang layak dikenakan PCB?

“Pendapatan berkenaan dengan perolehan atau keuntungan daripada sesuatu pekerjaan contohnya gaji, upah, komisen, kerja lebih masa, elaun, yuran pengarah, tip, bonus/insentif, perkuisit, ganjaran, pampasan kerana kehilangan pekerjaan dan lain-lain.”

Kategori Pekerja

Jadual Potongan Cukai Bulanan dan Kaedah Pengiraan Berkomputer mengklasifikasikan pekerja kepada 3 kategori:

  • Julat saraan bersih bulanan
  • Kategori 1 – Bujang
  • Kategori 2 – Berkahwin & pasangan tidak bekerja
  • Kategori 3 – Berkahwin & pasangan bekerja
  • Bilangan anak – 0 hingga 20

Kaedah Pengiraan PCB sekiranya menggunakan Jadual Potongan Cukai Bulanan

Majikan yang membuat pengiraan PCB dengan menggunakan jadual dikehendaki mengambil kira semua jenis saraan kasar yang kena cukai ditolak dengan KWSP (termasuk KWSP untuk saraan/elaun yang dikecualikan cukai) terhad kepada RM500 dan rujuk kepada Jadual PCB.

Contoh

Seorang pekerja menerima saraan bulanan berjumlah RM10,000. Potongan KWSP adalah RM1,100. Oleh yang demikian, saraan bersih yang diterima untuk dirujuk kepada Jadual Potongan Cukai Bulanan adalah RM9,500 (potongan KWSP dihadkan sehingga RM500 sahaja).

Pengiraan PCB yang menggunakan Kaedah Pengiraan Komputer

 Majikan yang membuat pengiraan PCB untuk majikan yang menggunakan Kaedah Pengiraan Komputer seperti Kalkulator PCB, e-PCB , sistem pembayaran gaji berkomputer (Payroll System) atau sistem yang dibangunkan sendiri yang telah mendapat kelulusan daripada LHDNM dikehendaki mengambil kira semua jenis saraan kasar yang kena cukai sahaja ditolak dengan jumlah caruman KWSP (termasuk KWSP untuk saraan/elaun yang dikecualikan cukai) yang layak dituntut pada bulan tersebut dan jumlah yang layak dituntut adalah terhad kepada RM6,000.

Potongan Zakat

Potongan PCB boleh diselaraskan dengan potongan zakat. Di mana seseorang pekerja membayar zakat secara potongan gaji, majikan boleh mengurangkan amaun bayaran zakat dari potongan PCB untuk bulan yang berkenaan.

Namun begitu, sekiranya zakat dibayar bukan secara potongan gaji, pekerja berkenaan perlu menghubungi cawangan LHDNM yang berkenaan untuk penjelasan selanjutnya.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada majikan dan pekerja.

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri

 

Copy

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.