Kenali punca pencemaran udara.

Pencemaran udara merujuk kepada keadaan di mana wujudnya sebarang bahan kimia, jirim, zarah atau bahan biologi yang boleh menyebabkan kemudaratan , ketidakselesaan kepada manusia atau organisma hidup lain serta merosakkan alam sekitar apabila ia dibebaskan ke atmosfera dan ruang udara. Contoh bahan kimia, jirim, zarah atau bahan biologi yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran udara adalah seperti:

  • Gas karbon dioksida
  • Gas karbon monoksida
  • Plumbum
  • Gas sulfur dioksida
  • Kloroflorokarbon
  • Bau busuk
  • Tembaga
  • Bahan radioaktif

Pencemaran udara sememangnya membawa banyak kesan yang buruk bukan sahaja ke atas alam sekitar malah ke atas manusia dan hidupan lain di seluruh muka bumi. Di antara kesan pencemaran udara adalah:

  • Penipisan lapisan ozon
  • Jerebu
  • Hujan asid
  • Pemanasan global
  • Kanser
  • Asma
  • Kematian  

Terdapat pelbagai punca pencemaran udara di seluruh dunia. Berikut adalah di antara punca-punca yang telah dikenal-pasti:

1. Aktiviti perindustrian

Asap yang dilepaskan dari cerobong kilang tanpa ditapis adalah penyumbang nombor satu pencemaran udara di seluruh dunia. Semakin banyak kilang beroperasi tanpa kawalan, semakin banyak pencemaran  udara yang berlaku. Di antara bahan kimia yang terkandung dalam asap kilang ialah nitrogen, sulfur dioksida, hidrokarbon dan karbon dioksida. Di antara industri yang menyebabkan pencemaran udara ialah kilang pembuatan:

  • Kereta
  • Komponen dan alatan elektronik
  • Baja

Selain asap yang beracun, kilang juga menghasilkan habuk yang boleh menyebabkan pencemaran kepada kawasan persekitaran. Kehadiran habuk yang banyak di dalam udara akan menyebabkan masyarakat setempat mengalami masalah batuk, sesak nafas, sakit mata, sakit hidung, sakit telinga, dan gatal-gatal.

2. Asap dari ekzos kenderaan bermotor

Selain asap yang keluar dari corong kilang, asap yang keluar dari ekzos kenderaan bermotor seperti bas, lori, kereta, dan motosikal juga adalah punca pencemaran udara yang berlaku di seluruh dunia. Bayangkan berapa trillion kenderaan yang bergerak setiap hari di seluruh dunia? Malah asap dari kapal terbang juga boleh menyebabkan pencemaran udara. Di antara bahan yang terdapat dalam asap kenderaan ialah:

  • Gas karbon monoksida
  • Gas nitrus oksida
  • Gas hydrokarbon
  • Habuk
  • Plumbum

3. Pembakaran hutan

Sumber: Thejakartapost

Saban tahun Malaysia dibelenggu oleh masalah jerebu disebabkan oleh aktiviti pembakaran hutan di Indonesia. Para petani di Indonesia yang membakar hutan untuk membuka ladang kelapa sawit yang baru menyebabkan udara dipenuhi oleh asap, jelaga dan habuk. Kemudian tiupan angin akan membawa kesemua asap, jelaga dan habuk tadi ke Malaysia lalu menyebabkan ruang udara kita diselubungi oleh jerebu.

4. Pembakaran terbuka

Selain pembakaran hutan, pembakaran secara terbuka juga menyumbang kepada masalah pencemaran udara. ada petani yang membakar sekam padi secara terbuka lalu menyebabkan masalah kesesakan nafas dan batuk-batuk kepada penduduk sekeliling. Ada juga yang memilih untuk membakar lalang sebagai jalan pintas untuk membersihkan tapak tanah yang ingin digunakan.

5. Aktiviti domestik

Tahukah anda bahawa isi rumah atau aktiviti domestik juga adalah menyumbang kepada pencemaran udara? Setiap kali kita menggunakan mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk dan penyaman udara, gas Klorofluorokarbon (CFC) akan dilepaskan ke udara. Kesannya? Lapisan ozon kita akan menipis. Selain itu, penggunaan penyembur aerosol yang mengandungi CFC juga menyebabkan pencemaran udara.

6. Asap rokok

Mungkin ada yang tersenyum sinis bila kami nyatakan bahawa asap rokok juga menyumbang kepada masalah pencemaran udara. Asap yang dibebaskan apabila merokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan perokok dan mereka yang tersayang, malah tabiat merokok ditempat awam seperti kawasan menunggu bas dan tempat riadah akan menjejaskan tahap kualiti udara akibat toksik yang terkandung didalam asap yang dibebaskan.

7. Bencana alam

Punca pencemaran udara yang seterusnya ialah pencemaran alam seperti letusan gunung berapa dan kebakaran hutan secara besar-besaran seperti yang berlaku di Australia, Amerika, dan Amazon. Letusan gunung berapi akan membebaskan debu yang berlebihan ke ruang udara sehingga menyebabkan jerebu yang sangat teruk di kawasan berhampiran dan yang jauh.  Malah kebakaran hutan secara besar-besaran juga akan menyebabkan jerebu yang teruk.

8. Aktiviti penerokaan hutan oleh penduduk di kawasan pendalaman

Aktiviti penerokaan hutan yang dilakukan oleh penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman untuk tujuan petempatan dan pertanian pindah juga menyumbang kepada pencemaran udara.  pertanian pindah adalah penyumbang kepada penerokaan hutan yang besar. Mereka akan bertukar-tukar kawasan bercucuk-tanam. Ia melibatkan proses pembakaran hutan untuk menyuburkan tanah. Pembakaran hutan ini akan mencemarkan udara.

9. Aktiviti pembakaran sampah secara terbuka

Sampah-sarap yang dikumpul di pusat pelupusan sampah tidak sepatutnya dibakar secara terbuka kerana jumlah sampah yang banyak sehingga mencecah ratusan tan pastinya akan menghasilkan asap beracun yang banyak. Ia akan menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan persekitaran dan yang paling penting akan mencemarkan alam sekitar.

10. Pembakaran arang batu secara tidak terkawal

Sumber: Pierrejoris

Punca pencemaran udara yang terakhir ialah pembakaran arang batu secara tidak terkawal. Masih banyak perusahaan dan kapal laut yang menggunakan arang batu sebagai bahan bakar. Arang batu menghasilkan asap bertoksik yang sangat merbahaya kepada alam sekitar.

Itulah dia info  tentang punca pencemaran udara yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang punca pencemaran alam sekitar dan punca pencemaran air

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.