Jom ketahui punca pencemaran air.

Air meliputi 71% daripada permukaan dunia di mana 97%  daripadanya ialah air masin (laut) dan 3% lagi adalah air tawar. Ini bermaksud bumi mempunyai lebih banyak air daripada daratan. Air juga mempunyai peranan yang penting di dala  kehidupan manusia. Di antara kepentingan air kepada manusia ialah:

  • Minuman
  • Pengangkutan
  • Kegunaan domestik
  • Industri
  • Pertanian
  • Rekreasi
  • Keselamatan

Pencemaran air bermaksud perubahan yang berlaku kepada air dari segi kandungan, warna, bau, rasa, serta sifat-sifat kimia yang disebabkan oleh pelbagai bahan pencemar dalam pelbagai bentuk seperti pepejal, cecair dan gas. Ia merujuk kepada pencemaran jasad air termasuklah tasik, sungai, lautan, akuifer dan air bawah tanah. Terdapat pelbagai punca pencemaran air seperti:

1. Pertanian

Kerja pertanian seperti pembalakan, estet, dan perkebunan adalah punca pencemaran air yang berlaku di Malaysia. Perkebunan contohnya mencemarkan air sungai apabila ada pekebun tidak bertanggung jawab yang membuang racun serangga atau racun rumpai terus ke dalam sungai.sementara kerja pembalakan menyebabkan air sungai yang jernih menjadi keruh disebabkan oleh sedimen tanah yang banyak di dalam air. Kayu balak yang hanyut di dalam sungai juga boleh menjejaskan ekosistem sungai.

2. Perlombongan

Kerja-kerja melombong bijih timah, emas, kuprum dan sebagainya adalah penyumbang kepada pencemaran air. Apabila kerja perlombongan dijalankan, mereka akan mengorek tanah dan menapis tanah dengan menggunakan air yang banyak. Air bercampur tanah tadi akan disalurkan terus ke dalam sungai lalu menyebabkan air sungai yang asalnya jernih menjadi keruh dan dipenuhi oleh mendapan tanah.

3. Perindustrian

Sumber: Cleanmalaysia

Ramai sedia maklum bahawa perindustrian dan perkilangan adalah di antara punca pencemaran air yang paling besar. Ini kerana perindustrian adalah di antara punca utama pendapatan negara dan banyak kilang terletak di tepi sungai. Secara amnya, perindustrian secara bertanggung jawab tidak akan menyebabkan berlakunya pencemaran air. Namun hakikatnya, perindusrian mencemar sungai apabila mereka melepaskan bahan yang tidak sepatutnya ke sungai atau longkang.

Di antara bahan cemar yang biasa dilepaskan secara tidak bertanggung jawab ke air ialah:

  • Cat
  • Minyak hitam
  • Dai

4. Kegunaan domestik

Kegunaan domestik juga menyebabkan pencemaran air. Kegunaan domestik bermaksud air yang kita gunakan setiap hari. Sekiranya air yang kita gunakan terus dilepaskan ke longkang atau sungai tanpa dirawat, ia akan menyebabkan berlakunya pencemaran air yang teruk. Di antara kegunaan air domestik ialah:

  • Air mandi
  • Air basuhan kereta
  • Air dari sinki dapur

5. Empangan kuasa hidroelektrik

Sumber: Wikipedia

Mungkin anda tidak menyangka bahawa empangan kuasa  hidroelektrik juga menyumbang kepada pencemaran air. Apabila empangan sedang dibina, ia melibatkan kemusnahan alam sekitar yang dahsyat di sekelilingnya. Banyak pokok yang terpaksa dikorbankan dan ditenggelami air. Malah penduduk di kawasan sekitar, kebiasaannya orang asli juga terpaksa berkorban meninggalkan tempat tinggal dan berpindah ke kawasan baru.  Apabila empangan baru dibina, akan berlaku pencemaran air di kawasan tersebut dan air yang dihasilkan memerlukan rawatan sebelum selamat untuk digunakan oleh orang ramai.

6. Hakisan kawasan tadahan air hujan dan hakisan sungai

Punca pencemaran air yang seterusnya ialah hakisan di kawasan tadahan air hujan dan hakisan sungai. Hakisan mungkin berlaku disebabkan oleh faktor semulajadi seperti hujan lebat atau faktor manusia seperti pembalakan. Apabila berlakunya hakisan, air akan menjad keruh dan tercemar  akibat terlalu banyak mendapan tanah di dalam air.

7. Industri ternakan

 Industri ternakan yang tidak bertanggung jawab adalah satu lagi punca pencemaran air. Terdapat pemilik kandang babi, ayam, kambing dan itik yang menjalankan kerja pembersihan ladang dan membuang air terus ke dalam longkang atau sungai. Air yang tercemar oleh najis dan sisa ternakan akan mengotorkan air sekali gus menyebabkan berlakunya pencemaran air.

8. Pembuangan sampah

Pembuangan sampah ke dalam sungai juga adalah punca pencemaran air yang telah berlaku sejak dahulu lagi. Ramai manusia yang tidak mempunyai kesedaran sivik dan mementingkan diri sendiri mengambil jalan mudah dengan membuang sampah ke dalam sungai. Kesannya? Sungai akan dipenuhi dengan sampah lalu mewujudkan pusat pembiakan nyamuk aedes. Sampah yang banyak juga akan mengotorkan sungai lalu menjejaskan ekosistem sungai. Haiwan dan tumbuhan akuatik akan mati. Sampah juga akan menyebabkan berlakunya banjir apabila hujan lebat.

9. Air kumbahan

Air kumbahan dari kawasan perumahan yang dibuan terus ke dalam longkang dan seterusnya masuk ke dalam sungai, tasik,laut  atau lombong juga boleh menjadi punca pencemaran air. Kebiasaannya masalah ini berlaku di kawasan pertempatan setinggan di mana sistem sanitasi adalah sangat kurang. Air kumbahan tadi bukan sahaja akan menyebabkan bau busuk dan keadaan yang tidak menyenangkan, , malah boleh menjadi punca penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan nyawa.

10. Tumpahan minyak

Sumber: Bharian

Tumpahan minyak boleh berlaku secara sengaja atau tidak sengaja. Tumpahan minyak secara sengaja berlaku apabila ada pihak yang membuang minyak ke dalam air sebagai jalan mudah untuk melupuskan minyak hitam atau sisa industri dari kilangnya. Sementara tumpahan minyak secara tidak sengaja berlaku apabila berlakunya kemalangan di antara kapal lalu menyebabkan minyak tumpah ke dalam laut atau sungai.

Itulah dia info  tentang punca pencemaran air yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang punca pembuangan sisa domestik dan punca pencemaran alam sekitar

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.