Langkau ke kandungan
iLabur
Menu

Biodata Tony Fernandes Dari Auditor Ke Langit Biru

Latar Belakang Beliau dilahirkan pada tanggal 30 April 1964 di Kuala Lumpur. Anthony Francis Fernandes merupakan anak kepada pasangan yang berasal dari…

InspirasiKemas kini terakhir: 5 Ogos 2020oleh ItawrahDisemak oleh Sidang Pengarang iLabur
Gambar Tony Fernandes, pengasas dan CEO AirAsia.

Fakta Ringkas

Nama Penuh
Anthony Francis Fernandes
Nama Lain
Tony Fernandes
Peranan
Pengasas dan CEO AirAsia
Dikenali Kerana
Mengasaskan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia
Tarikh Lahir
30 April 1964 · Kuala Lumpur
Pendidikan
The Alice Smith, Epsom College, London School of Economics (Ijazah Sarjana Muda Perakaunan)
Kerjaya Awal
Auditor di Virgin Atlantic, eksekutif kewangan di Virgin Records, naib presiden Warner Music Group Asia Tenggara (1991-2001)
Pengambilalihan AirAsia
8 September 2001 menerusi Tune Air Sdn Bhd daripada DRB-Hicom Bhd
Modal Permulaan AirAsia
RM 1 juta hasil wang simpanan bersama Datuk Kamarudin Meranum
Aset Awal AirAsia
2 buah pesawat usang Boeing 737, 200 orang pekerja, hutang RM 20 juta
Slogan AirAsia
Now Everyone Can Fly

Pencapaian

  • Menubuhkan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia
  • Meneruskan operasi AirAsia selepas insiden 9/11
  • Mengembangkan AirAsia dengan tambang harga murah

Latar Belakang

Beliau dilahirkan pada tanggal 30 April 1964 di Kuala Lumpur. Anthony Francis Fernandes merupakan anak kepada pasangan yang berasal dari Goa, India dan Melaka. Beliau mempunyai darah campuran India Malayali dan Asia-Portugis.

Tony Fernandes

Imej via thestar

Pendidikan Awal

Mendapat pendidikan awal di The Alice Smith, Kuala Lumpur. Pada usianya 12 tahun, Tony telah menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh di Epsom College, England. Beliau telah melanjutkan pengajian dalam matrikulasi di London School of Economics (LSE). Kemudiannya telah menyambung pengajian sehingga peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di tempat yang sama.

Kerjaya Sebelum AirAsia

Pekerjaan pertama Tony selepas menamatkan pengajian di universiti adalah menjadi seorang auditor di Virgin Atlantic. Beliau telah menjadi seorang eksekutif kewangan di Virgin Records milik Richard Branson yang terletak di London.

Pada tahun 1991, beliau telah menjadi salah seorang ahli akauntan professional dan kemudiannya menjadi felo pada tahun 1996. Beliau juga merupakan ahli Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Tony juga pernah berkhidmat dengan Warner Music Malaysia sebagai seorang eksekutif. Malah, beliau pernah mengetuai Warner Music Group sebagai naib presiden bagi kawasan Asia Tenggara dari tahun 1991 hingga 2001. Namun, setelah Time Warner Inc. mengumumkan penggabungan bersama America Online Inc, beliau mengambil keputusan meninggalkan syarikan tersebut dan mengejar impiannya untuk memulakan syarikat penerbangan tambang murah sendiri.

Potret Tony Fernandes

Imej via digitalnewsasia

Mengejar Impian Bersama AirAsia

Sejak berusia 6 tahun, Tony sudah pun menanam impian untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan miliknya sendiri. Impiannya pernah disuarakan kepada bapanya semasa kecil. Namun, bapanya membalas kata – katanya dengan sindiran. “Sekiranya kau jadi lebih baik dari seorang doorman di Hilton Hotel pun, aku sudah cukup gembira”.

Akhirnya, Tony yang sudah lama berada di United Kingdom pulang ke tanah air dengan impian yang begitu tinggi iaitu untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan tambang murah. Idea dan impiannya itu telah disuarakan kepada Datuk Kamarudin Meranum iaitu teman rapat beliau yang merupakan bekas kakitangan sebuah bank pelaburan (kini beliau merupakan Pengarah Eksekutif AirAsia).

Hasrat Tony untuk memulakan syarikat penerbangan telah disambut baik oleh Datuk Kamarudin Meranum dan keduanya bersetuju untuk berganding bahu memulakan syarikat penerbangan tersebut. Dengan bermodalkan RM 1 juta hasil wang simpanan masing – masing, kedua sahabat ini telah memulakan syarikat penerbangan sekitar Mei 2001.

Kedua sahabat ini telah menjemput rakan mereka yang berkecimpung dalam industri muzik iaitu Aziz Bakar untuk turut serta. Mereka juga telah memohon bantuan dari Datuk Pahamin A.Rejab yang merupakan bekas setiausaha agung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk berjumpa dengan mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad pada bulan Oktober 2001.

Tony Fernandes bersama pesawat AirAsia

Imej via studyinternational

Hasil pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau telah menasihatkan agar Tony membeli sebuah syarikat penerbangan sedia ada sahaja kerana pihak kerajaan pada ketika itu tidak lagi mengeluarkan lesen bagi syarikat penerbangan baru. Akhirnya, pada tanggal 8 September 2001, Tony membuat keputusan untuk membeli AirASia Sdn Bhd daripada DRB-Hicom Bhd menerusi Tune Air Sdn Bhd. Pembelian syarikat tersebut telah menjadikan Tony sebagai CEO syarikat tersebut dengan aset 2 buah pesawat usang Boeing 737, 200 orang pekerja sedia ada serta hutang dengan Malaysia Airlines Bhd, Malaysia Airport Holdings Bhd dan Petronas dengan nilai sebanyak RM 20 juta.

Cabaran dan Rintangan

Biarpun berhadapan dengan jumlah hutang yang banyak sewaktu pengambil alihan syarikat penerbangan AirAsia, itu, ia tetap tidak melemahkan semangat Tony untuk meneruskan impiannya. Tiada pengalaman dalam industri penerbangan bukanlah sesuatu yang mudah, tambahan pula latar belakang kerjaya beliau sebelum ini adalah bidang perakaunan dan muzik, ternyata cukup berbeza.

Pihak kerajaan memberi tempoh selama 6 bulan untuk Tony menyelesaikan hutang tertunggak syarikat AirAsia. Oleh kerana terdesak dengan situasi tersebut, beliau sanggup mencagarkan hartanya dengan mencagarkan rumah yang dimilikinya kepada pihak bank serta menggunakan wang simpanan bagi melunaskan hutang AirAsia serta menstabilkan kedudukan ekonomi syarikat tersebut.

Baru sahaja memulakan operasi, satu insiden yang tidak dijangka telah berlaku di Pentagon di mana ia melibatkan industri penerbangan. Insiden serangan 9/11 di Amerika Syarikat telah menyebabkan orang ramai gusar untuk menggunakan perkhidmatan udara dan telah menyebabkan kemerosotan jumlah penumpang sehingga 2.7% dan ianya berlangsung sehingga beberapa tahun.

Pesawat AirAsia dalam penerbangan

Imej via marketingmagazine

Strategi Menghadapi Cabaran

Tony tetap bersemangat meneruskan operasi syarikat penerbangannya biarpun tidak mempunyai pengalaman dalam industri penerbangan. Insiden 9/11 yang berlaku di Amerika Syarikat telah menyebabkan kos pajakan kapal terbang mulai turun secara mendadak sehingga 40% dan menyebabkan ramai kakitangan syarikat MAS diberhentikan. Walau bagaimana pun, kakitangan MAS yang berpengalaman telah beralih dan berpeluang berkhidmat dengan AirAsia.

AirAsia semakin stabil tatkala Tony berjaya meneruskan kontrak bersama Tabung Haji yang diwarisi daripada DRB-Hicom yang berbaki 2 tahun lagi. Menerusi kerjasama ini, AirAsia telah berjaya meraih keuntungan serta menjadi penyelamat pada saat genting ketika itu. Pengurusan kontrak ini adalah hasil usaha Datuk Nasser Abdul Kassim yang pernah menjadi pemain gitar base kumpulan Discovery dan kini merupakan Pengarah Rantau Kargo AirAsia.

Tips Kejayaan

  • Sentiasa turun padang serta melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh staf supaya dapat memahami cabaran dalam operasi syarikat
  • Menerapkan budaya kuat bekerja serta cekap di kalangan kakitangan
  • Sentiasa mendengar pandangan serta idea pekerja bagi mempertingkat produktiviti
  • Sentiasa berfikiran positif dan mencari peluang untuk memajukan syarikat

Kesimpulan

Now Everyone Can Fly merupakan tagline rasmi AirAsia yang dapat menarik ramai penumpang. Tambang harga murah tetap diteruskan oleh syarikat penerbangan AirAsia ini, membolehkan lebih ramai berpeluang menggunakan perkhidmatan ini. Berkat usaha dan kecekalan Tony dalam menerajui AirAsia membolehkan perkhidmatan ini terus berkembang maju dengan pertambahan sektor penerbangan yang lebih banyak.

Jemput baca juga biodata Tun Dr Mahathir dan Dato Alha Alfa

Rujukan

Rujukan

Maklumat dalam artikel ini disediakan berdasarkan sumber yang boleh dipercayai. Pengguna digalakkan merujuk sumber asal untuk kepastian lanjut.