Tun Dr Mahathir Mohamad. Siapa yang tak kenal dengan ahli politik hebat ini? Pernah memegang rekod sebagai Perdana Menteri paling lama memerintah di Malaysia dan Perdana Menteri pertama juga yang memegang jawatan yang sama sebanyak dua kali. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan keputusan beliau untuk meletak jawatan. Keputusan mengejut untuk melepaskan jawatan itu telah mencetuskan pelbagai reaksi dari rakyat Malaysia.

Sebagai menghargai segala jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh negarawan hebat ini, hari ini kami akan kongsikan maklumat lengkap tentang biodata ringkas Tun Dr Mahathir dan kejayaan pada Malaysia.

Sumber: Sinarharian

Biodata ringkas Tun Mahathir Mohamad

Tun Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Ibu bapa beliau bernama Mohamad Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanafi. Beliau adalah anak bongsu daripada sembilan adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak selama dua tahun sebelum berpindah ke sebuah sekolah inggeris kerajaan yang kemudian bertukar nama kepada Kolej Sultan Abdul Hamid.

Semasa di sekolah Tun Mahathir aktif berdebat dan terkenal di kalangan guru dan pelajar di atas kefasihannya dalam bahasa inggeris. Beliau pernah dilantik sebagai editor majalah sekolah dan merupakan salah seorang pemain pasukan ragbi sekolah. Pendidikan Tun Mahathir tergendala apabila Jepun menyerang Tanah Melayu, iaitu sehari selepas beliau menduduki Peperiksaan Junior Cambridge.

Semasa Jepun menjajah Tanah Melayu, Tun Mahathir memasuki sekolah Jepun selama beberapa bulan sahaja dan memilih untuk berhenti sekolah. Beliau membantu keluarganya menjual makanan di Pekan Rabu.Selepas Jepun diusir dari Tanah Melayu, Tun Mahathir menyambung pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid.

Pada tahun 1947 Tun Mahathir memasuki Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura dengan biasiswa kerajaan. Pada tahun 1953 Tun Mahathir bergelar seorang doktor dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar. Pada tahun 1956, Tun Mahathir berkahwin dengan Tun Hasmah dan dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Tun Mahathir meninggalkan perkhidmatan kerajaan pada tahun1957 untuk menubuhkan kliniknya sendiri yang merupakan klinik swasta milik orang Melayu yang pertama di Malaysia.

Sumbangan dan kejayaan Tun Mahathir

Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat Malaysia pada 16 Julai 1981. Menurut rekod, beliau adalah Perdana Menteri yang menyandang jawatan tersebut untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara iaitu selama 22 tahun. Beliau dikenali sebagai “Bapa Pemodenan” sempena kejayaan beliau mengubah Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden.

Pernah dengar tentang Wawasan 2020? Ia adalah cetusan idea daripada Tun Mahathir iaitu visi negara untuk mencapai status ekonomi maju pada  tahun 2020. Misi dan visi beliau menerusi Wawasan 2020 ialah untuk membentuk sebuah negara yang bukan sahaja berjaya dari segi pertumbuhan ekonomi, tetapi juga dari segi pendidikan, kematangan masyarakat dan sistem tadbir urus.

Sumbangan dan kejayaan Tun Mahathir yang paling bermakna buat Malaysia ialah kejayaan beliau membawa Malaysia keluar dari Krisis Kewangan Asia 1997 dengan cara menolak cadangan dan juga dana bantuan daripada IMF yang disifatkan akan memburukkan lagi krisis yang sedang berlaku pada waktu tersebut. Langkah-langkah radikal yang diambil oleh beliau mendapat kritikan oleh banyak pihak di seluruh dunia termasuk IMF sendiri. Akhirnya terbukti bahawa keputusan beliau adalah tepat.

Antara projek-projek berprofil tinggi dan ikonik yang dibangunkan pada zaman pentadbiran tun Mahathir adalah seperti berikut:

  • Jambatan Pulau Pinang
  • Menara Berkembar Petronas (KLCC)
  • Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
  • Koridor Raya Multimedia (MSC)
  • Pusat Pentadbiran Putrajaya
  • Litar Antarabangsa Sepang

Pada awalnya beliau juga dikritik hebat semasa plan projek-projek mega ini dikeluarkan. Ada yang menyifatkan bahawa semua projek ini hanya membazirkan duit rakyat dan tidak membawa sebarang kebaikan kepada Malaysia. Hari ini terbukti kesemua projek mega yang diilhamkan oleh tun Mahathir adalah di antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Tun Mahathir melancarkan kempen Bersih, Cekap & Amanah untuk memerangi rasuah dan dalam masa yang sama berusaha untuk meningkatkan kecekapan dan memupuk kepercayaan dalam perkhidmatan awam. Beliau juga bertanggung jawab memperkenalkan sistem “punch card” kepada kakitangan kerajaan serta mengeluarkan arahan supaya penjawat awam menggunakan lencana nama.

Tun Mahathir juga adalah individu yang bertanggung jawab menubuhkan Proton iaitu syarikat kereta kebangsaan. Pada tahun 1982 Proton mengeluarkan kereta buatan Malaysia yang pertama iaitu Proton Saga. Sehingga hari ini Proton terus berdiri megah sebagai pengeluar kereta kebangsaan dan mengeluarkan pelbagai kereta berkualiti tinggi dengan harga mampu milik.

SumbanganTun mahathir yang tidak kurang pentingnya juga ialah dengan memperkenalkan konsep “Malaysia Incorporated” iaitu perkongsian rapat di antara kerajaan dan sektor swasta. Jika selama ini sektor awam dan swasta terbahagi dua tanpa sebarang kerjasama, pada hari ini jurang tersebut sudah tiada.

Pada tahun 2018, Tun Mahathir dengan parti BERSATU dan parti-parti bersekutunya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada umur 93 tahun dan dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia.

Sumber: Sevenpie

Itulah dia info tentang  biodata ringkas Tun Dr Mahathir dan kejayaan pada Malaysia yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang biodata Syed Saddiq dan biodata Neelofa.

Rujukan:

  1. Latar Belakang POlitik Sejarah Kehidupan Dr. Mahathir. Berita Harian
  2. Mahathir Bin Mohamad. Wikipedia
Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.