Jom ketahui siapa asnaf zakat yang layak yang terima.

Zakat sebagai salah satu rukun Islam memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan umat Islam sepanjang sejarah kewujudannya. Ia merupakan satu perkara ibadat dari segi kewangan dan ekonomi di mana antara matlamatnya ialah untuk membersihkan jiwa manusia serta hartanya kerana kemungkinan terdapat hak orang lain dalam proses mendapatkan atau memperoleh harta tersebut.

Ini adalah kerana kebanyakkan kegiatan ekonomi, terdapat kesan negatif terhadap pihak ketiga dalam proses menghasilkan pendapatan atau keuntungan. Oleh itu, pendapatan yang diperolehi itu tidak bersih kerana kesan negatif terhadap pihak ketiga tidak diambil kira.

Keseimbangan yang optimum boleh dicapai melalui campur tangan kerajaan sama ada melalui pengenaan cukai, pemberian subsidi dan sebagainya. Justeru, pengenaan zakat dalam sistem ekonomi Islam memungkinkan segala aktiviti mengoptimumkan pendapatan dalam segala aktiviti ekonomi yang berlaku.

Secara teorinya, zakat dibayar atau dikeluarkan oleh orang kaya dan akan diagihkan kepada golongan miskin dan proses pengagihan zakat diharapkan dapat mencapai tahap yang ideal kepada asnaf atau golongan-golongan yang layak menerima zakat. Seterusnya, proses ini dapat memberikan impak yang berkesan bukan sahaja kepada asnaf zakat bahkan kepada ekonomi sesebuah negara juga.

Ini adalah kerana kesan daripada pengagihan zakat ini akan memberikan kesan kepada asnaf zakat bukan sahaja berjaya keluar daripada golongan-golongan yang layak menerima zakat malahan akan menukarkan asnaf zakat kepada salah satu penyumbang zakat kepada negara. Dengan itu juga, pada akhirnya asnaf zakat menjadi sebahagian daripada sumber yang produktif kepada ekonomi negara.

Dalil Penentuan Asnaf Zakat

Dalil penentuan asnaf zakat telah dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam kitab suci-Nya iaitu al-Quran. Allah S.W.T telah berfirman di dalam surah at-Taubah pada ayat ke-60 yang membawa maksud;

” Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, pengurus-pengurus (amil) zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk hamba-hamba sahaya yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang untuk jalan Allah dan orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah, dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Tafsiran ayat al-Quran tersebut jelas menyatakan terdapat lapan golongan manusia yang berhak menerima zakat atau asnaf zakat.

Imej via iLabur

Asnaf Zakat

1. Al-fuqara’

Al-fuqara’ atau orang fakir merupakan orang yang tidak mempunyai atau memiliki harta-benda atau pekerjaan; seseorang yang menderita, dan tidak mempunyai cara atau tidak mampu untuk menampung keperluan hariannya.

2. Al-masakin

Al-masakin atau orang miskin adalah seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menanggung orang-orang tanggungannya.

3. Amil

Amil zakat atau lebih dikenali sebagai orang-orang memungut zakat. Amil juga merupakan orang-orang yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat sama ada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.

4. Muallaf

Muallaf adalah seseorang yang baru memeluk Islam atau seseorang yang dijinakkan hatinya dalam kalangan mereka yang belum memeluk agama Islam atau yang perlu ditarik simpatinya kepada Islam atau diharap dapat membela orang Islam atau yang perlu diamankan kejahatannya terhadap orang Islam.

5. Al-riqab

Al-riqab atau dalam bahasa Malaysia adalah hamba. Jadi, hamba di sini bermaksud seseorang yang dibelenggu suatu kawalan atau kuasa seperti cengkaman kejahilan atau di bawah kawalan atau kuasa orang-orang yang tertentu yang menghalang mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.

6. Al-gharimin

Al-gharimin membawa maksud orang-orang yang memiliki hutang. Hutang yang dimaksudkan di sini adalah hutang yang dilakukan untuk memenuhi keperluan asas bagi permasalahan diri sendiri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat.

Walau bagaimanapun, untuk golongan ini pengagihan zakat akan menilai 3 perkara terlebih dahulu iaitu orang yang berhutang tidak mampu untuk menjelaskan hutangnya, hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak dan hutang tersebut telah sampai tempoh untuk dijelaskan.

7. Fisabilillah

Fisabilillah ialah perjuangan, usaha dan aktiviti yang bertujuan untuk menegakkan dan mempertahankan agama Allah. Ini bermakna seseorang yang berusaha pada jalan Allah dan agama Islam demi kebaikan masyarakat boleh diagihkan zakat kepadanya.

8. Ibnu Sabil

Ibnu sabil atau boleh dikatakan pengembara yang terkandas. Dalam erti kata lain, mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh syarak atau perjalanan itu perjalanan untuk tujuan yang baik pada agama Islam dari mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan.

Kategori Pengagihan Zakat

Berdasarkan ayat al-Quran di atas iaitu ayat ke-60 dalam surah at-Taubah, ayat tersebut memberi penerangan yang jelas tentang pengagihan zakat berbanding dengan masalah menentukan sumber zakat di mana ayat tersebut lebih memperincikan arahan.

Ini disebabkan kemungkinan akan berlaku penyelewengan dan penggunaan hawa nafsu  dalam pengagihan zakat adalah lebih besar berbanding ketika menentukan sumber dan pemungutan zakat. Ayat ini jelas menunjukkan pengagihan zakat merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar  yang harus dipikul oleh institusi zakat.

Untuk menunaikan amanah mengagihkan zakat dengan berkesan, amanah dan telus, maka penentuan maksud asnaf adalah amat penting memandangkan golongan asnaf yang dijelaskan di dalam ayat al-Quran di atas adalah umum. Justeru, konsep pengagihan zakat perlu diperhalusi.

Sebahagian cendekiawan Islam telah membahagikan semula lapan asnfa zakat tersebut kepada tiga kategori atau kumpulan untuk asas pengagihan iaitu;

  1. Agihan berdasarkan keperluan. Golongan asnaf yang tergolong dalam kategori ini adalah al-fuqara’, al-masakin, al-riqab, al-gharimin dan ibnu sabil.
  2. Agihan berdasarkan pemupukan dan galakan hidup beragama dan bermoral. Golongan muallaf dan fisabilillah tergolong dalam kumpulan ini.
  3. Agihan berdasarkan insentif dan motivasi terhadap pengurusan zakat. Asnaf yang tergolong dalam kumpulan ini adalah amil zakat.

Pembahagian ini sebenarnya adalah sebagai asas utama kepada pihak pengurusan zakat mengagihkan zakat kepada setiap asnaf yang telah dinyatakan.

Kesimpulan

Pengurusan agihan zakat yang baik oleh institusi zakat sangat memberi kesan yang besar kepada perkembangan institusi zakat itu sendiri dan juga pembangunan asnaf zakat. Ia juga turut menjadi tanggungjawab bersama dari pelbagai pihak untuk menjayakan konsep sebenar pengagihan zakat dalam kalangan asnaf.

Konsep sebenar yang dimaksudkan adalah di mana asnaf-asnaf zakat ini dipercayai mampu memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan masyarakat Islam dan negara Malaysia selain membantu mengurangkan kadar kemiskinan negara.

Usaha-usaha yang berterusan dan proaktif dalam kalangan pentadbir dan kakitangan institusi zakat dapat mengubah persepsi dan pandangan masyarakat Islam dan seterusnya menggalakkan ramai lagi individu pembayar zakat.

Jemput juga baca artikel zakat saham dan zakat ternakan

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.