Zakat saham. Tahukah anda bahawa saham juga perlu dibayar zakat? Saham adalah satu bentuk aset kewangan yang baharu yang tidak wujud pada zaman dahulu. Saham mewakili pemilikan sebahagian daripada modal syarikat yang mana turut membawa kepada keuntungan atau kerugian.

Apabila saham disenaraikan di pasaran saham, nilainya mungkin berbeza dengan nilai asalnya. Ini kerana saham yang didagangkan akan membolehkan nilainya untuk turun naik mengikut faktor yang mempengaruhi permintaan dan penawaran, seperti pencapaian syarikat, keadaan ekonomi, kestabilan politik tempatan dan antarabangsa.

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (zakat) sebahagian hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu”

(Surah Al-Baqarah : Ayat 267)

Di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah badan yang bertanggungjawab dalam mengawal dan menyelia pasaran modal atau saham. Pasaran modal merupakan rumah utama yang menyediakan aktiviti untuk penghasilan dana dan pelaburan jangka masa panjang serta meningkatkan kecairan sistem kewangan. Di dalam pasaran modal ini segala jenis saham dan dana diurusniagakan.

zakat saham

imej via Pexels

Di antara contoh instrumen pelaburan di pasaran modal ini adalah:

  • Saham biasa & keutamaan (ordinary & preference)
  • Saham Amanah, samada melalui pengurus dana swasta atau kerajaan
  • Saham Amanah Hartanah (REITs)
  • Dana Dagangan Bursa (ETFs)
  • Lain-lain instrument pelaburan yang diniagakan di Bursa Malaysia atau pasaran modal di luar Negara

Secara umum, terdapat 4 kategori utama produk-produk dipasaran modal iaitu iaitu:

  • Ekuiti (Saham / Unit Trust / REITs/ Index Fund / ETF dsbg)
  • Bon & Debentur
  • Derivatif (Option & Future)
  • Produk Berstruktur

Kaedah Taksiran Zakat Saham

  • Saham adalah wang yang dilaburkan dalam syarikat atau perniagaan. Ia adalah sebagai bukti pemilihan sesebuah perniagaan.
  • Bagi sijil-sijil saham dalam sesebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham, ianya mudah untuk dijadikan wang tunai berbanding dengan saham dalam syarikat yang tidak tersenarai atau dalam koperasi.

Nilai zakat yang diwajibkan adalah 2.5% daripada nilai pelaburan di hujung Haul. Bagi pelaburan yang diniagakan, jumlah keuntungan yang ditunaikan sepanjang tahun hendaklah dicampurkan.

Nisab dan haul atas saham adalah sama dengan jenis-jenis zakat lain. Zakat perlu dibayar apabila cukup nisab dan haul.Institusi zakat masing-masing boleh dirujuk untuk mendapatkan nisab dan haul semasa.

Pengiraan Zakat Saham

Kaedah pengiraan zakat adalah berbeza bagi pegangan saham jangka pendek (belian dengan tujuan untuk dijual dalam tempoh haul) dan pegangan saham jangka panjang (belian dengan tujuan untuk mendapatkan dividen).

Bagi pegangan sebegini, zakat dikira pada kadar 2.5% daripda nilai bersih saham selepas menolak pembiayaan/ pinjaman belum jelas (yang diambil untuk tujuan membeli saham, jika ada).

Sekiranya pelbagai jenis saham dibeli pada tarikh-tarikh yang berbeza, bayaran zakat adalah tertakluk kepada penyerpurnaan haul setiap zakat.

Contoh:

Tarikh belian Saham X 10 Jan 2010
Haul Haul telah dicapai
Bilangan saham yang dimiliki 100,000 unit
Nilai per unit saham RM1.30 (harga rujukan adalah bergantung kepada institusi zakat masing-masing seperti harga pada akhir haul dan harga terendah dalam tempoh haul)

Zakat yang perlu dibayar:
=(RM1.30 x 100,000 unit) x 2.5%
=RM130,000 x 2.5%
=RM3,250

Zakat perlu dibayar apabila memenuhi nisab yang ditetapkan oleh institusi zakat masing-masing. Tarikh bayaran zakat adalah bergantung kepada tarikh belian saham. Tarikh belian yang berlainan akan menyebabkan tarikh bayaran zakat yang berbeza-beza apabila pegangan setiap saham sudah cukup haul.

Bagaimana zakat dikira jika tujuan pembelian adalah untuk pegangan jangka pendek?

Bagi pegangan sebegini, zakat dikira pada kadar 2.5% daripada keuntungan jualan iaitu harga jual tolak kos belian. Pengiraan ini tidak termasuk saham yang dipinjam.

Contoh:

Tarikh belian saham Y 10 Jan 2010 / 20 Jan 2010
Haul tidak terpakai
Bilangan saham yang dimiliki 50,000 unit
Kos belian RM1.50
Harga jualan RM1.70

Zakat yang perlu dibayar:
=([RM1.70 – RM1.50] x 50,000 unit) x 2.5%
=RM10,000 x 2.5%
=RM250

Zakat perlu dibayar apabila memenuhi nisab yang ditetapkan oleh institusi zakat masing-masing. Bayaran zakat boleh dibuat kepada mana-mana institusi zakat.

Saham-Saham Yang Tidak Disenaraikan

Saham jenis ini adalah saham yang tidak disenaraikan di Bursa Saham atau saham dalam koperasi. Ia kebiasaannya tidak mudah ditunaikan. Zakat hendaklah dikeluarkan ke atas jumlah dividen yang diterima.

Saham Dalam Syarikat Yang Mengeluarkan Zakat Perniagaan

Zakat tidak perlu dibayar atas saham dan dividen saham sekiranya sesebuah syarikat tersebut telahpun mengeluarkan zakat pecniagaan bagi pihak pemegang-pemegang sahamnya. Namun sekiranya syarikat tidak mengeluarkan zakat pecniagaannya, maka individu yang memiliki saham syarikat tersebut wajib membayar zakat secara persendirian.

Syarikat Membayar Zakat

Seperti kaedah kiraan zakat perniagaan syarikat (persendirian dan awam) yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 26 Mac 2007 (rujuk Panduan Zakat Perniagaan terbitan LZS 2007).

Zakat perniagaan syarikat secara ringkas adalah mengikut dua kaedah berikut :-

  • Kaedah Modal Kerja = (Aset semasa – Liabiliti Semasa) +/- Pelarasan
  • Kaedah Modal Berkembang = (Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Bukan Semasa) +/– Pelarasan

Syarikat Tidak Membayar Zakat

Zakat dikenakan ke atas individu berdasarkan peratus nilai pegangan individu dalam syarikat tersebut.

Contoh Taksiran

Harta syarikat/koperasi yang diwajibkan zakat di hujung haul 2012 ialah RM10 juta.

  • Zakat perniagaan Syarikat ABC Sdn Bhd: RM10 juta x 2.5% = RM250,000
  • Pegangan saham milik En.Ali didalam Syarikat ABC Sdn Bhd : 15%
  • Zakat Pelaburan En.Ali : 15% x 250,000 = RM37,500

Adakah pelaburan dalam saham tidak patuh Syariah perlu dibayar zakat?

Tidak, zakat hanya dikenakan ke atas aset patuh Syariah sahaja. Zakat juga tidak dikenakan ke atas keuntungan pelupusan saham yang telah diklasifikasikan sebgai tidak patuh syariah; keuntungan daripada pelupusan tersebut perlu diurus sesuai dengan nasihat Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjya Sekuriti Malaysia (SC).

Kesimpulan

Zakat hanya dikenakan ke atas Muslim sahaja

Memandangkan zakat terletak di bawah bidang kuasa majlis agama Islam negeri, keperluan zakat mungkin akan berbeza dari satu negeri ke satu negeri yang lain. Untuk maklumat lanjut tentang zakat ke atas saham, sila rujuk kepada institusi zakat di negeri masing-masing.

Rujukan

Bursa Malaysia

PPZ MAIWP

Zakat Selangor

 

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.