Jom ketahui tips-tips bajet orang bujang.

Bagi golongan bujang, komitmen kewangan bukanlah satu bebanan yang utama berbanding mereka yang sudah berkeluarga. Pada fasa bujang inilah ramai yang menggunakan kesempatan ini untuk menyimpan duit bagi tujuan masa depan seperti perancangan perkahwinan, menyimpan hasrat untuk sambung belajar atau mengumpul aset.

Ayuh ketahui, tips-tips yang boleh diamalkan oleh orang bujang dari segi perbelanjaan dan pengurusan kewangan.

Artikel ini memberi cadangan tips yang sesuai diamalkan oleh mereka yang bujang yang mahu berjimat mahupun menambah pendapatan.

Jom baca.

#1 Puasa

Bagi umat Islam, tidak salah sekiranya kita mengamalkan puasa sunat khususnya puasa sunat hari Isnin dan Khamis. Tapi, niatkan lah juga untuk mendekatkan diri kepada Allah, yang maha pencipta.

Hikmahnya, dengan berpuasa sunat, sekurang-kurangya kita dapat berjimat dari membeli makan sarapan dan makan tengah hari di tempat kerja. Waktu makan ini boleh digunakan untuk menyiapkan kerja tertunggak ataupun pergi berehat untuk nap time.

Selain itu, dari segi kesihatan, sudah terbukti bahawa puasa boleh menyihatkan tubuh badan. Tahap gula dan kolestrol dalam darah boleh dikawal dengan lebih baik.

Pada usia muda inilah kita kena jaga kesihatan dengan baik sebelum disinggahi dengan macam-macam penyakit bila dah tua nanti.

Mencegah lebih baik dari mengubati!

#2 Aplikasi Pembayaran

Seiring dengan kepesatan teknologi, banyak mod pembayaran di kaunter sudah beralih ke sistem nirtunai atau cashless. Banyak juga aplikasi pembayaran yang telah dihasilkan bagi tujuan ini seperti E wallet Touch n Go, Boost dan GrabPay.

Tahukah anda, dengan menggunakan aplikasi-aplikasi ini, anda boleh membayar harga barangan atau perkhidmatan dengan harga lebih murah daripada harga yang dipaparkan?

Oleh itu, lebih banyak penjimatan boleh dilakukan.

Berita baik juga buat kita semua, terutamanya yang mempunyai aplikasi pembayaran ini, kerajaan bersetuju untuk menambah nilai sebanyak RM30 kepada pemegang akaun ini melalui pelaksaan program e-tunai rakyat.

Mana-mana rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, dengan pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima wang e-tunai tersebut, melalui peruntukan sebanyak RM450 juta yang menyasarkan seramai 15 juta pengguna.

Tempoh tuntutan e-tunai ini bermula 15 Januari 2020 hingga 14 Mac 2020 dan sah laku digunakan sehingga 14 Mac 2020.

Tunggu apa lagi? Lekas tuntut e-tunai anda!

#3 Bayaran Secara Nirtunai (Cashless)

Tips seterusnya melibatkan cara pembayaran barangan yang seeloknya menggunakan cara nirtunai.

Selain penggunaan aplikasi pembayaran seperti yang dijelaskan dalam tips #2, bayaran menggunakan kad debit atau kad kredit adalah juga digalakkan berbanding bayaran secara tunai.

Dari segi psikologinya, jika kita mempunyai wang tunai di tangan dan gunakannya untuk membayar harga barangan yang mempunyai baki, kita akan cenderung untuk membelanjakan baki tersebut untuk perkara-perkara lain.

Dengan bayaran nirtunai, kita hanya akan bayar genap amaun jumlah yang dibeli melalui pemotongan automatik kad bank. Selain itu, transaksi pembelian kita boleh dipantau melalui aplikasi bank atas talian.

#4 Kawal Selia Belanja Menggunakan Aplikasi

Manfaatkan telefon pintar kita yang canggih itu dengan memuat turun aplikasi yang boleh digunakan untuk memantau dan mengawal keluar masuk duit belanja kita.

Antara aplikasi yang dibangunkan untuk tujuan ini ialah Money Lover.

Money Lover membantu anda melihat senarai perbelanjaan anda mengikut kategori secara harian, mingguan, bulanan dan tahunan yang dapat memberikan maklumat mengenai hala tuju kewangan anda.

Di samping itu, aplikasi sebegini boleh digunakan untuk memberi peringatan tentang waktu bayaran bil atau komitmen bank yang telah ditetapkan.

Jika ingin menggunakan cara konvensional dengan mencatat dalam buku log pun tiada salahnya. Cuma, dengan aplikasi telefon bimbit ini, rekod perbelanjaan kita lebih mudah diuruskan memandangkan telefon bimbit kita sentiasa berada bersama-sama.

#5 Beli Barangan Atas Talian

Platform jualan barangan atas talian semakin rancak bersaing seperti Lazada, Shopee, CJWowshop, Astro GoShop dan sebagainya.

Jika ditinjau dari segi harga, barangan yang dijual ini adalah jauh lebih murah berbanding harga barangan yang sama yang dijual di kedai-kedai.

Wah, sudahlah jimat dari segi harga pembelian, tak perlu ke luar rumah juga dan lebih menjimatkan masa!

Tambahan pula, harga yang dijual di setiap platform itu juga berbeza-beza. Maka, kita perlu rajin lah sedikit untuk membandingkan harga bagi mendapatkan harga yang terbaik.

Selain itu, pembelian di atas talian ini memberikan point atau bonus terkumpul sekiranya kita sudah mendaftar sebagai ahli dan kerap berbelanja.

Point dan bonus ini boleh ditebus untuk membeli barangan seterusnya atau boleh ditukarkan kepada potongan harga atau kelebihan lain seperti pengecualian kos penghantaran.

#6 Bawa Bekal Sendiri

Disebabkan kos hidup yang makin tinggi, hal ini turut menjejaskan para peniaga untuk sama menaikkan harga jualan makanan.

Apa kata, kita cuba masak sendiri dan bawa bekal ke tempat kerja? Lebih bersih dan lebih berkhasiat lagi!

Penulis mencadangkan bekal makanan disediakan pada belah petang atau malam hari. Keesokan harinya boleh terus dibawa dan dipanaskan di pantri tempat kerja.

#7 Beralih kepada Hobi Baru

Tips ini sesuai diamalkan oleh mereka yang suka menghabiskan waktu lapang atau hujung minggu di pasar raya besar dengan menonton wayang, karaoke atau makan-makan.

Anda boleh cuba beralih kepada hobi yang jenis mengambil masa yang lama untuk menjadikan anda leka daripada mempunyai masa senggang yang akan membuatkan anda ingin keluar berjimba bersuka-ria.

Contohnya, beralih ke hobi membaca. Boleh tambahkan pengetahuan.

Atau berkebun. Berbudi kepada tanah akan menguntungkan anda juga akhirnya dengan hasil tanaman yang organik dan bebas racun serangga.

#8 Kerja Sampingan untuk Tambah Pendapatan

Orang bujang mempunyai masa yang lebih senang untuk bergerak sendiri berbanding keluarga yang perlu berbagi perhatian kepada pasangan dan anak-anak.

Anda boleh gunakan peluang ini untuk menjadi home tutor yang mana slot pengajaran adalah bersifat fleksibel melalui persetujuan antara kita dan pelajar.

Pendapatan seorang home tutor boleh mencecah RM30-50 sejam, suatu jumlah yang agak lumayan untuk dijadikan sebagai pendapatan sampingan.

Untuk menjadi home tutor, tidak semestinya perlu melalui agensi kelas tambahan, anda boleh iklankan diri anda di platform media sosial seperti Twitter, Facebook, Mudah atau anda boleh memperkenalkan diri pada jiran-jiran anda.

Selain itu, pekerjaan seperti pemandu e-hailing (grab, mycar) atau penghantar makanan seperti Foodpanda, DahMakan boleh memberikan anda duit poket yang agak lumayan sekiranya anda tekun melakukannya.

Kesimpulan

Antara tips jimat belanja yang penulis boleh kongsikan adalah sebagaimana yang dinyatakan seperti mengamalkan puasa, aplikasi pembayaran, bayaran secara nirtunai, kawal selia perbelanjaan, beli barangan atas talian, bawa bekal sendiri, memilih hobi yang kurang menggunakan duit dan membuat kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

Sebagai orang bujang, anda boleh gunakan masa lapang dengan menjana pendapatan. Pada tempoh ini juga, perbelanjaan anda perlu dikawal dengan cermat supaya dapat menabung dengan konsisten dan menjadi tabiat yang baik.

*Jemput juga abcaa rtikel tentang tips bayar hutang PTPTN  dan tips persedian sebelum temuduga

Rujukan

  1. https://www.hmetro.com.my/node/196207
  2. https://www.malaysiakini.com/news/507062
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.