Apa itu dyslexia yang sebenar?

Semakin ramai anak di Malaysia yang didiagnosis sebagai pengidap Dyslexia. Jika anda termasuk dalam kalangan ibu bapa yang bertuah untuk mempunyai anak Dyslexia, sentiasa ingat bahawa anda tidak berseorangan. Malah anda anda adalah seorang yang istimewa.

Tiada apa yang kurang pada anak anda. Apa yang paling penting ialah anda perlu faham apa yang dimaksudkan dengan apa itu Dyslexia, apakah puncanya, simptom, ujian dan kesan ke atas anak anda.

Sumber: Cognifit

Apakah Dyslexia?

Dyslexia adalah keadaan di mana seorang anak dikenal pasti sebagai mempunyai masalah didalam pelajaran, terutamanya dalam membaca, menulis dan mengira. Anak Dyslexia akan lambat pandai membaca, menulis dan mengira malah akan ketinggalan berbanding rakan lain di dalam kelas. Malah mereka akan dianggap sebagai lemah dalam pelajaran. Namun dalam masa yang sama mereka mempunyai IQ yang sama atau mungkin lebih tinggi berbanding rakan sebaya.

Anak Dyslexia bukanlah anak yang lemah dalam pelajaran seperti yang dianggap oleh para guru dan ibu bapa, sebaliknya ia adalah keadaan semulajadi mereka sejak dilahirkan. Jika anda masih bersedih kerana anak anda didiagnosis dengan Dyslexia, mari kami sampaikan berita baik untuk anda. Ramai yang tidak tahu bahawa ramai manusia hebat dalam sejarah adalah mereka yang mempunyai Dyslexia. Di antaranya ialah:

  • Albert Eistein
  • Leonardo da Vinci
  • Thomas Edison
  • Hans Christian Anderson
  • Tom Cruise
  • Orlando Bloom

Oleh itu, jangan terlalu bersedih jika anak anda didiagnos dengan Dyslexia. Sebaliknya bantu anak anda untuk mendapat semula keyakinan diri yang hilang. Apabila mereka gagal untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, pastinya mereka akan dipandang rendah oleh para guru dan rakan sekelas sekali gus menyebabkan keyakinan diri mereka terjejas.

Sebagai ibu bapa adalah menjadi tanggung jawab anda untuk membantu menaikkan semula keyakinan diri dalam diri anak. Dalam masa yang sama anda perlu memberikan pendidikan awal yang sesuai untuk membantu anak supaya mahir dalam kemahiran yang sepatutnya.

Apakah punca Dyslexia?

Terdapat dua punca Dyslexia yang telah dikenal-pasti iaitu:

  • Keturunan
  • Kelainan pada bahagian otak yang mengawal fungsi membaca
Sumber: Learningsuccessblog

Apakah simptom Dyslexia?

Tanda-tanda dyslexia boleh dikenal pasti seawal anak berumur 5 ½ tahun namun kebanyakan kes di Malaysia, ia hanya dikenal-pasti apabila anak memasuki darjah 1. Di antara simptom Dyslexia ialah:

  • Sukar memasang butang baju
  • Sukar untuk mengikat tali kasut
  • Tersalah pakai kasut, selalu memakai kasut terbalik
  • Cuai di dalam pergerakan. Kelihatan kekok dan selalu terjatuh
  • Mempunyai masalah untuk melompat iaitu hop & skip
  • Mempunyai masalah untuk menangkap, membaling dan menendang bola
  • Mempunyai kesukaran untuk membezakan di antara atas dan bawah, dalam dan luar, depan dan belakang
  • Mengalami kesukaran untuk mengikut arahan yang panjang pada suatu masa
  • Kebanyakan anak Dyslexia lambat bercakap berbanding rakan sebaya
  • Mempunyai masalah pertuturan yang tunggang langgang. Sebagai contoh: “padah sawi” untuk perkataan sawah padi
  • Mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang banyak suku kata seperti hospital, kapal terbang, helikopter
  • Mengalami kesukaran untuk menamakan objek
  • Mengalami kekeliaruan untuk membezakan di antara kiri dan kanan
  • Bahagian anggota tangan yang dominan tidak dapat dikenal pasti
  • Mempunyai tulisan tangan yang tidak kemas dan mempunyai banyak huruf yang terbalik
  • Tidak mampu untuk menyalin daripada papan putih  atau papan hitam dengan betul
  • Mempunyai kesukaran untuk mengingat hari,tarikh lahir, alamat, nombor telefon
  • Mempunyai kesukaran untuk mengenal masa dan melihat jam
  • Sentiasa keliru di antara “semalam” dan “esok”
  • Mengalami kesukaran untuk mengingati turutan sesuatu perkara seperti  turutan hari dan bulan
  • Mengalami kesukaran untuk membaca secara fonik
  • Mudah penat kerana menggunakan konsentrasi dan tenaga yang tinggi
  • Apabila melakukan sesuatu, biasanya akan menghasilkan sesuatu yang tidak sebagus rakan sebaya

Apakah ujian untuk mengesan Dyslexia?

Kini Kementerian Pelajaran Malaysia ada melakukan saringan di peringkat sekolah rendah bagi menyaring anak-anak yang mengidap Dyslexia. Ia adalah program LINUS iaitu saringan literasi dan numerasi. Saringan ini adalah ujian yang dilakukan untuk mengenal pasti pelajar yang bermasalah di dalam pembacaan dan pengiraan. Anak yang mengidap Dyslexia biasanya akan dapat dikesan melalui saringan ini.

Apabila anak anda dikenal-pasti sebagai pengidap Dyslexia, anak anda perlu dibawa berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan dimana doktor akan membuat penilaian dan seterusnya akan membuat rujukan hospital ke doktor pakar kanak-kanak atau pakar perkembangan kanak-kanak. Anak anda akan menjalani ujian lain bagi memastikan sama ada benar-benar mengalami Dyslexia atau tidak. Di antara ujian yang akan dilakukan ialah:

  • Ujian pendengaran
  • Ujian penglihatan
  • Ujian IQ

Anak anda mungkin juga akan dirujuk kepada juruterapi pertuturan atau terapi cara kerja (occupational therapist) jika perlu. Apabila disahkan sebagai pengidap Dyslexia, anak anda akan dimasukkan ke dalam kelas khas dan mendaftar mereka sebagai kanak-kanak berkeperluan khas. Di Malaysia terdapat organisasi bukan kerajaan (NGO) yang membantu ibu bapa dan terutamanya kanak-kanak dyslexia iaitu Persatuan Dyslexia Malaysia.

Apakah kesan Dyslexia ke atas anak anda?

Kajian yang telah  membuktikan bahawa diagnosa dan terapi yang cepat dapat membantu kanak-kanak Dyslexia untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira dengan lebi cepat. Semakin anak anda membesar, mereka akan menjadi seperti anak normal yang lain.

Sumber: Ibcces

Itulah dia info tentang apa itu dyslexia? Punca, ujian dan kesan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang cara buka akaun Tabung Haji untuk anak dan simpanan untuk anak.

Rujukan:

  1. Doktor Budak
Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.