Anda sedang mencari tips jimat duit yang boleh diamalkan supaya dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan dan dapat menyimpan lebih banyak setiap bulan? Jom kami kongsikan 15 tips jimat duit dijamin berkesan yang boleh anda amalkan.

 1. Tanam sayur sendiri

Harga sayur-sayuran boleh tahan mahal lebih-lebih lagi jika anda tinggal di bandaraya. Kos untuk membeli sayur di pasar sahaja pastinya mencecah RM100.00 untuk sebulan, atau mungkin lebih jika ahli keluarga anda ramai. Salah satu cara untuk berjimat ialah dengan menanam sendiri sayuran di rumah.

Anda boleh pilih sama ada menanam dengan cara tradisional di atas tanah atau dalam pasu, atau boleh juga tanam secara hidroponik jika anda duduk di rumah yang sempit dan tidak mempunyai kawasan bertanah seperti apartment.

Sumber: Kebuna

 2. Pindah ke rumah yang lebih murah

Berpindah ke rumah dengan sewa atau bayaran bulanan yang lebih murah adalah cara untuk berjimat yang terbaik. Perhatikan belanja bulanan anda, berapa peratus daripada gaji anda habis untuk membayar rumah sedangkan anda tidak perlukan sebuah rumah yang terlalu besar. Apa yang penting ialah rumah yang selesa.

3. Tunggang motosikal ke tempat kerja

Menunggang motosikal ke tempat kerja adalah sangat menjimatkan dari segi penggunaan minyak dan juga mengelakkan daripada terpaksa membayar tol malah anda tidak akan terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas dan boleh sampai ke rumah dengan lebih cepat.

4. Bawa bekal makanan ke tempat kerja dan sekolah

Membawa bekal ke sekolah atau tempat kerja akan menjimatkan duit anda dengan banyak. Bayangkan sahaja, katakan selama ini kos makan anda di tempat kerja ialah RM15.00 sehari, jika anda bawa bekal ke tempat kerja, berapa banyak wang yang dapat anda jimatkan dalam sebulan?

5. Bayar bil secara online

Cara jimat duit yang seterusnya ialah bayar bil secara online. Ia bukan sahaja akan menjimatkan minyak, bayaran parking dan masa anda, malah ia juga akan mengelakkan anda berbelanja untuk benda tidak sepatutnya seperti singgah membeli air Tealive atau pisang goreng di tepi jalan.

6. Batalkan kad kredit

Kad kredit akan menyebabkan anda berbelanja melebihi kemampuan. Anda akan lupa diri semasa berbelanja namun akan menyesalinya apabila bil anda sampai ke rumah. Oleh itu, kalau nak berjimat, batalkan kad kredit anda.

7. Berhenti merokok

Merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan malah ianya adalah satu pembaziran. Harga sekotak rokok bukannya murah. Berhenti merokok akan memberikan anda lebih banyak duit untuk dibelanjakan dan disimpan sekali gus meningkatkan kesihatan anda.

Sumber: Al-Jazeera

8. Pilih kenderaan awam

Menaiki kenderaan awam seperti LRT dan bas ke pejabat atau semasa berseronok di hujung minggu adalah lebih murah berbanding membawa kenderaan sendiri. Anda tidak perlu membayar minyak, tol, dan tempat letak kereta. Malah anda tidak perlu bersesak dalam kesesakan lalu-lintas.

9. Beli barang dengan harga murah

Ramai yang menanti jualan murah untuk membeli-belah. Ia adalah salah satu cara jimat duit yang boleh anda amalkan. Kebiasaannya banyak jualan murah yang diadakan sempena perayaan, awal tahun, dan hujung tahun. Rebut peluang untuk membeli dengan harga yang jauh lebih murah berbanding harga normal yang mencekik darah.

10. Basuh pakaian seminggu sekali atau apabila bakul pakaian kotor penuh

Membasuh pakaian seminggu sekali atau apabila bakul pakaian penuh akan menjimatkan bil elektrik anda, berbanding membasuh baju dengan memasukkan beberapa helai pakaian sahaja. Ini kerana walau pun pakaian yang dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah sedikit, tenaga elektrik yang digunakan oleh mesin basuh adalah sama seperti ia penuh dengan pakaian.

11. Seterika pakaian seminggu sekali

Menyeterika pakaian seminggu sekali juga adalah cara jimat duit yang sepatutnya anda amalkan sejak dulu lagi. Tabiat menyeterika pakaian sedikit demi sedikit setiap hari akan menyebabkan bil elektrik anda menjadi tinggi.

12. Masak di rumah, kurangkan makan di luar

Memasak di rumah bukan sahaja lebih bersih dan sihat, malah ia juga adalah menjimatkan. Harga barang mentah untuk dimasak adalah jauh lebih rendah berbanding makan di luar.

13. Kurangkan berjalan di pusat membeli-belah pada hujung minggu

Berjalan-jalan di pusat membeli-belah akan menyebabkan anda berbelanja dengan banyak an membeli barang bukan keperluan. Lebih-lebih lagi kalau anda berjalan dengan kawan-kawan, di mana anda akan terpengaruh untuk membeli barang yang bukan sepatutnya.

14. Amalkan konsep DIY

Banyak konsep DIY yang boleh anda cuba seperti DIY gubahan bunga hiasan untuk menghias rumah. Anda juga boleh bina katil sendiri dengan menggunakan kayu pallet. Teringin meja konsol yang baru, tonton sahaja DIY meja konsol secara online.

15. Kurangkan penggunaan tisu di rumah

Jika selama ini anda biasa menggunakan tisu untuk mengelap makanan yang tumpah atau mengelap tangan semasa di rumah, apa kata anda tukar kepada menggunakan kain lap atau kain sapu tangan. Tisu bukanlah mahal harganya namun jika anda kurangkan penggunaan tisu, banyak duit yang boleh anda jimatkan dalam sebulan. Duit untuk membeli tisu tadi boleh anda tukar sebagai duit simpanan. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Sumber: Grid

Itulah dia info tentang 15 tips jimat duit yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang cara simpan duit dan tips beranakkan duit tabung.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.