Boleh dikatakan hampir 90% daripada rakyat Malaysia mempunya telefon pintar dan akses kepada internet.

Situasi ini telah memberi idea kepada syarikat-syarikat atau perniagaan khususnya perniagaan atas talian (online) untuk memasarkan produk mereka secara online memandangkan capaian pemasaran kepada pengguna adalah lebih dekat, mudah dan murah berbanding pengiklanan biasa di papan iklan tepi lebuh raya, media cetak, radio dan televisyen.

Kini, bahagian pemasaran banyak menggunakan kerjasama dengan social media influencer untuk mengiklankan produk mereka.

Kerjaya baru ke social media influencer ni? Apakah konsep dan kisah di sebalik peranan social media influencer ini? Dengar cerita, mereka boleh mengaut pendapatan sehingga 5 angka sebulan, mengalahkan gaji CEO?!

Jom baca artikel ini untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Pengenalan

Social media influencer merupakan individu yang mempunyai bilangan pengikut yang ramai di media sosial, dan dikatakan berpengaruh, maka lahirlah terma ini.

Kandungan media sosial mereka menarik minat ramai netizen untuk mengikuti setiap perkembangan mereka, antaranya

  • Instagram (instafamous/instafemes)- kehidupan seharian yang nampak mewah, seronok atau menghiburkan
  • Twitter (tweetfamous/Twitterjaya) – penulisan tweet yang menarik perhatian sama ada dari segi ilmiah, hiburan, fakta, santai atau ringan tapi menghiburkan
  • Youtube (Youtuber/vlogger) – kandungan video yang berinformasi, menarik atau unik
  • Facebook – aktiviti seharian atau pandangan dan pendapat yang seronok atau berbaloi untuk diikuti

Hakikatnya, kebanyakan social media influencer ini bukanlah mereka yang terkenal seperti selebriti atau orang kenamaan, tetapi boleh jadi terkenal dengan sekelip mata, sama ada melalui kandungan media sosial mereka yang menarik atau kisah viral yang menimpa mereka.

Pendapatan social media influencer

Dengan bilangan pengikut yang ramai dan signifikan, setiap kali mereka diupah untuk melakukan pengiklanan produk, bayarannya agak lumayan bagi pekerjaan yang tidak memerlukan mereka beria ke pejabat tempat kerja atau dengan kata mudahnya, peluh pun tak menitik.

Caj bayaran pengiklanan yang dikenakan mereka adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti:

  • Tempoh iklan ditayangkan (akan dipadam pada waktu tertentu atau dikekalkan)
  • Waktu iklan disiarkan
  • Cara pengiklanan (video/gambar/secara posting penuh atau sekadar story)
  • Populariti social media influencer tersebut (bergantung kepada jumlah pengikut dan data engagement audience)

Nampak mudah dan licik, bukan? Tetapi akan tetap ada peniaga yang memilih khidmat social media influencer ini untuk mengiklankan mereka dengan bayaran sehingga boleh mencecah RM5k bagi satu posting.

Boleh congak sendiri kan, berapa pendapatan yang boleh diperolehi mereka jika mereka mengambil banyak job pengiklanan ini?

Skop social media influencer

Selain memaparkan aktiviti seharian atau kandungan tertentu yang menjadi jenama kepada profil social media influencer ini, pengiklanan yang dilakukan adalah berdasarkan:

  1. Review dan ulasan produk sama ada melalui video atau iklan (ada kes yang mereka hanya copy paste sahaja bahan yang telah disediakan oleh peniaga)
  2. Membuat posting tajaan dan hebahan
  3. Menjadi duta atau jurucakap produk bagi tempoh tertentu
  4. Menghadiri majlis yang dianjurkan penaja
  5. Menganjurkan peraduan untuk memenangi hadiah yang ditaja sebagai publisiti pasif

Kelebihan pemasaran menggunakan social media influencer

  • Melonjakkan jualan produk dan perkhidmatan apabila mendapat publisiti yang meluas
  • Mencapai sasaran pengguna apabila memilih social media influencer yang sesuai dengan jenis produk anda
  • Permulaan yang baik bagi bisnes kecil-kecilan untuk memasarkan produk sebelum menggunakan kaedah pemasaran yang lain
  • Meningkatkan kuasa membeli pengguna apabila mereka boleh melihat secara langsung produk yang dipasarkan melalui review social media influencer tersebut

Impak kehadiran social media influencer

Imej via iLabur

Perbezaan sosial dari segi populariti dan pengikut/influencer ini sememangnya memberi beberapa kesan yang positif dan negatif, sama ada terhadap masyarakat mahupun influencer itu sendiri.

Impak positif

Mereka yang selalu mengikuti social media influencer ini akan sentiasa terdedah dengan apa-apa perkembangan. Jadi, pemilihan pemasaran social media influencer  ini boleh digunakan untuk melancarkan apa-apa kempen atau pengetahuan yang memerlukan kesedaran masyarakat bersama.

Selain itu, keperibadian influencer akan mudah dicontohi dan dijadikan role model oleh netizen yang mengagumi mereka.

Bagi influencer pula, sekiranya mereka mempunyai bakat seperti menyanyi, menari, melukis atau kreativiti fesyen dan sebagainya, mereka boleh mengembangkan kerjaya dalam industri seni kreatif, apatah lagi mereka sudah mempunyai peminat dan pengikut yang tersendiri.

Impak negatif

Tertarik dengan keuntungan menjadi social media influencer, maka semakin ramai yang akan cuba menjadi popular di media sosial dengan melakukan perkara yang pelik-pelik, asalkan boleh menjadi buah mulut dan viral.

Sehingga melakukan perkara yang kurang bermaruah semata-mata ingin meraih bilangan pengikut yang ramai.

Di samping itu, akan berlaku budaya tidak sihat “membeli followers” untuk menampakkan bahawa mereka mempunyai pasaran yang luas dan boleh meningkatkan caj pengiklanan.

Hal ini sebenarnya merupakan tindakan yang tidak jujur dan menganiaya penjual dan juga pengikut sebenar.

Tambahan pula, bagi influencer, mereka akan sentiasa terdedah dengan pelbagai komen negatif yang dilemparkan netizen sama ada kata-kata kesat mahupun fitnah.

Dunia media sosial membolehkan semua orang meluahkan pendapat tanpa perlu menonjolkan identiti sebenar, maka makin ligatlah masing-masing “tunjuk pandai” dan “mengambil alih tugas Tuhan.”

Sekiranya tidak kental, situasi ini akan mewujudkan persekitaran yang toksik apatalah lagi jika berlaku “perang netizen” dan seterusnya boleh menjejaskan reputasi dan imej social media influencer tersebut.

Ini adalah antara isu yang penting untuk diambil berat kerana hal ini boleh menyebabkan gangguan kesihatan mental dan kemurungan.

Kesimpulan

Pekerjaan social media influencer ini lebih dianggap sebagai pekerjaan freelance yang tidak tetap tetapi memberikan pulangan rezeki yang lumayan jika anda bertuah untuk menjadi salah seorang daripadanya.

Namun, nasihat bagi influencer, jangan jadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan utama anda kerana situasi ini adalah bermusim. Anda perlu juga persiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran lain sebagai persiapan masa depan anda sendiri.

Ibu bapa pula perlu memantau aktiviti anak-anak di media sosial kerana mereka golongan yang paling menghabiskan masa mengikuti perkembangan social media influencer ini.

Jemput juga baca artikel:

Rujukan

  1. Glucksman, M. (2017). The rise of social media influencer marketing on lifestyle branding: A case study of Lucie Fink. Elon Journal of Undergraduate Research in Communications8(2), 77-87.
  2. Jin, S. V., Muqaddam, A., & Ryu, E. (2019). Instafamous and social media influencer marketing. Marketing Intelligence & Planning.
  3. https://www.jobstore.com/careers-blog/2019/09/17/di-sebalik-kerjaya-sebagai-influencer/
  4. Pöyry, E., Pelkonen, M., Naumanen, E., & Laaksonen, S. M. (2019). A call for authenticity: Audience responses to social media influencer endorsements in strategic communication. International Journal of Strategic Communication13(4), 336-351.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.