Pelan takaful pendidikan merupakan pelan yang menyediakan perlindungan dan simpanan jangka panjang untuk membiayai perbelanjaan pendidikan kanak-kanak di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang. Kanak-kanak yang mempunyai pelan takaful pendidikan akan disediakan dengan manfaat kewangan sekiranya peserta menghadapi musibah atau bencana yang dilindungi di bawah pelan ini.

Dalam masa yang sama, kanak-kanak berkenaan juga akan disediakan dengan dana yang diperlukan untuk pendidika tinggi pada masa hadapan apabila sijil takaful telah mencapai tempoh matang. Selain itu, ibu bapa yang mengambil bahagian dalam pelan pendidikan kanak-kanak layak menerima pelepasan cukai peribadi sehingga sebanyak RM3,000 setiap tahun melalui gabungan perubatan dan pendidikan.

Pelan pendidikan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan-kumpulan tersebut adalah;

1. Takaful pendidikan kanak-kanak biasa

Di dalam takaful pendidikan kanak-kanak biasa, peserta dan kanak-kanak akan menerima manfaat kewangan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya. Peserta dan kanak-kanak juga akan menerima manfaat simpanan jangka panjang atau dana pendidikan dan keuntungan pelaburan yang akan diagihkan semasa bayaran tuntutan, mencapai tempoh matang atau serahan awal.

2. Takaful pendidikan kanak-kanak berkait pelaburan

Melalui takaful pendidikan kanak-kanak berkait pelaburan ini, sebahagian daripada sumbangan digunakan untuk membeli unit-unit pelaburan seperti unit saham atau sekuriti pendapatan tetap (fixed income security). Pelan takaful pendidikan ini juga merupakan tambahan kepada perlindungan takaful biasa yang merangkumi kematian dan hilang upaya kekal. Unit-unit pelaburan ini akan dijual apabila berlaku tuntutan, mencapai tempoh matang atau serahan awal.

3. Pelan rider takaful keluarga

Pelan rider atau tambahan takaful keluarga kepada perlindungan asas untuk peserta dan kanak-kanak juga disediakan. Pelan tambahan ini memberi perlindungan terhadap kemalangan diri dan hilang upaya, manfaat rawatan perubatan dan hospital, perbelanjaan pengebumian dan penyakit-penyakit kritikal.

Imej via Sun Life

Terma Dan Syarat-Syarat Penting

Terma dan syarat di dalam pelan pendidikan kanak-kanak akan meliputi beberapa perkara. Perkara tersebut adalah seperti berikut;

1. Manfaat

Apabila sijil takaful telah mencapai tempoh matang dan kanak-kanak masih hidup, manfaat yang akan dibayar merupakan jumlah perlindungan. Pembayaran yang dilakukan ini berdasarkan konsep hibah di bawah undang-undang Syariah Islam. Pembayaran ini juga akan ditambah dengan jumlah lebihan (surplus) terkumpul.

Walau bagaimanapun, sekiranya pelan takaful pendidikan disertakan dengan ciri-ciri berkait pelaburan, kanak-kanak itu akan menerima nilai unit pelaburan sebagai tambahan kepada jumlah perlindungan yang telah dipersetujui di bawah pelan ini. Selain itu, apabila sijil telah mencapai tempoh matang, kanak-kanak akan menerima jumlah terkumpul di dalam Akaun Peserta (AP) dan juga berhak untuk berkongsi lebihan bersih (net surplus) daripada dana Akaun Khas Peserta (AKP), sekiranya ada.

Namun begitu, sekiranya pembayar atau pencarum meninggal dunia sebelum sijil pelan takaful pendidikan mencapai tempoh matang, sumbangan berkala (pro rates) atas pelan berkenaan akan dibayar oleh pengendali atau syarikat takaful bagi pihak peserta hingga tarikh matang sijil pelan tersebut. Apabila sijil telah mencapai tempoh matang, kanak-kanak itu berhak menerima jumlah yang terkumpul di dalam AP, lebihan (surplus) daripada AKP dan berkongso keuntungan pelaburan sekiranya ada.

Walau bagaimanapun, sekiranya kesemua sumbangan disalurkan ke AKP di mana ia bergantung kepada skim takaful beserta keuntungannya, kaedah-kaedah di atas akan digunakan atau jumlah perlindungan akan dibayar terus ke akaun di atas nama kanak-kanak berkenaan dan juga diuruskan oleh pemegang amanah yang telah dilantik. Jumlah yang akan dibayar adalah manfaat berasaskan hibah, sijil beserta amaun perkongsian lebihan (surplus) terkumpul sekiranya ada apabila sijil telah matang. Jumlah perlindungan ditambah dengan jumlah terkumpul di dalam AP dan AKP akan dibayar sekaligus kepada waris peserta.

Selain itu, sekiranya kanak-kanak yang merupakan peserta meninggal dunia, pemegang sijil akan menerima amaun perlindungan di bawah pelan takaful pendidikan. Ini juga tertakluk kepada skim takaful yang disertai oleh peserta dan jumlah perlindungan yang diberi adalah berasaskan konsep hibah Syariah Islam. Di samping itu, jumlah perlindungan tersebut juga ditambah dengan jumlah perkongsian lebihan (surplus) terkumpul. Ataupun, pemegang sijil boleh menamatkan sijil takaful pendidikan tersebut untuk mendapatkan nilai serahan atau boleh menamakan anak-anak yang lain sebagai peserta.

2. Amaun sumbangan

Amaun sumbangan untuk pelan takaful pendidikan kanak-kanak adalah bergantung kepada umur kanak-kanak semasa penyertaan dan tempoh perlindungan yang diperlukan. Untuk amaun sumbangan ini juga akan diberikan pengecualian bayaran sumbangan sekiranya pembayar meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal dan menyeluruh dalam tempoh perlindungan takaful. Dan semua bayaran sumbangan akan datang akan dibayar oleh pengendali takaful melalui dana takaful sehingga tempoh matang sijil tersebut.

3. Pengeluaran sebahagian tunai

Pelan takaful pendidikan juga menyediakan kemudahan untuk peserta mengeluarkan sebahagian daripada wang tunai yang terdapat di dalam dana. Namun, pengeluaran sebahagian tunai daripada Akaun Peserta adalah dibenarkan hanya selepas sijil telah berkuatkuasa berdasarkan jumlah tahun minimum sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam sijil berkenaan.

Mengikut kebiasaannya, pengeluaran dibenarkan sepanjang tempoh kuatkuasa sijil mengikut polisi pengendali atau syarikat takaful. Tambahan lagi, setiap pengeluaran hanya boleh dibuat selepas suatu tempoh minimum sahaja. Selain itu, yuran transaksi nominal akan dikenakan kepada AP bagi setiap pengeluaran yang dilakukan.

4. Piliham tambah nilai

Bayaran tambah nilai dibenarkan bermula dari tarikh penguatkuasaan sijil. Selain itu, jumlah tambah nilai bergantung kepada keperluan minimum mengikut polisi pengendali atau syarikat takaful. Di samping itu, jumlah tambah nilai ini akan disalurkan sepenuhnya ke dalam AP sahaja.

5. Pilhan menyertakan rider

Peserta pelan boleh memilih untuk menyertakan mana-mana rider (tambahan) yang bersesuaian ke atas sijil asas. Rider takaful keluarga atau tambahan kepada perlindungan asas untuk peserta dan kanak-kanak juga disediakan. Di samping itu, rider juga menyediakan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan diri dan hilang upaya, manfaat perubatan dan hospital, perbelanjaan pengebumian dan penyakit-penyakit kritikal.

6. Pulangan pelaburan

Pelan takaful pendidikan kanak-kanak membolehkan pengendali atau syarikat takaful untuk mengoptimumkan pulangan pelaburan untuk diagihkan kepada peserta.

7. Pengecualian

Pada kebiasaanya, pelan takaful pendidikan kanak-kanak tidak akan melindungi risiko-risiko seperti berikut;

  • Cubaan untuk membunuh diri atau mencederakan diri sendiri sama ada dalam keadaan siuman atau sebalinya.
  • Kematian atau kecederaan yang dialami akibat tindakan yang menyalahi undang-undang.
  • Individu berkenaan melakukan provokasi atau serangan.
  • Individu berkenaan di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
  • Individu berkenaan menghidapi penyakit AIDS atau HIV.
  • Serta lain-lain sebab yang dilarang oleh Syariah Islam.

Jemput juga baca tentang konsep takaful dan perbezaan takaful dan insurans

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.