Indonesia merupakan negara jiran serumpun kita yang mengamalkan sistem pemerintahan republik. Jika kita yang mengamalkan sistem raja berpelembagaan dan ditadbir oleh Perdana Menteri bersama jemaah menteri, negara Indonesia ini pula mempunyai Presiden untuk memacu pentadbiran dan ekonomi mereka.

Dalam artikel ini, mari kita selusuri strategi ekonomi yang dilakukan oleh Presiden Indonesia yang sedang berkhidmat, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi.

Pengenalan

Jokowi lahir di Jawa tengah pada tanggal 21 Jun 1961 dan kini berusia 59 tahun.

Beliau ialah Presiden yang ke-7 di negara tersebut dan mula berkhidmat pada penggal pemerintahan tahun 2014. Sebelum itu, beliau merupakan wakil rakyat bagi kawasan Surakarta pada tahun 2005-2012 dan dan Gabenor Jakarta pada tahun 2012-2014.

Beliau mewakili parti politik Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Dinobatkan Sebagai Asia of The Year 2019

Imej via straitstimes

Akhbar The New Straits Time di Singapura telah menobatkan Jokowi sebagai Asia of The Year bagi tahun 2019. Satu gelaran yang membanggakan dan tentunya diinspirasikan oleh sumbangan-sumbangan yang telah dilakukan olehnya untuk melayakkan gelaran tersebut.

Sebagai seorang Presiden yang memandang jauh ke hadapan untuk menjadikan Indonesia negara yang lebih maju, Jokowi peka dan cakna dengan persaingan negara-negara lain khususnya di kawasan Asia-Pasifik.

Sebagai rujukan, negara-negara di rantau ini boleh dikategorikan dalam 4 kelas kuasa;

(1) Kuasa Super – Amerika Syarikat, China

(2) Kuasa Besar – Jepun, India

(3) Kuasa Pertengahan – Rusia, Australia, Korea Selatan, Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, New Zealand, Vietnam, Pakistan, Taiwan, Filipina, Korea Utara dan

(4) Kuasa Minor -Bangladesh, Brunei, Myanmar, Sri Lanka, Kemboja, Mongolia, Laos dan Nepal.

Persoalan seterusnya, apa sebenarnya jasa dan sumbangan Jokowi sepanjang pemerintahannya sehingga mendapat perhatian dunia? Jom kita baca!

#1 Pengumuman Cadangan Pemindahan Ibu Negara Indonesia

Jokowi mencadangkan pemindahan ibu negara Indonesia yang kini di Jakarta untuk beralih ke Kalimantan Timur.

Cadangan ini dipertimbangkan atas beberapa aspek seperti masalah sosiologi, lingkungan, isu bencana dan sosiopolitik.

Sebelum ini, Presiden Soekarno ada menyatakan hasrat untuk menjadikan Palangkaraya sebagai ibu kota yang baru tetapi tidak dilaksanakan.

Antara kawasan yang mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai ibu kota di Kalimantan Timur tersebut ialah Palangkaraya (66 ribu hektar), Katingan (120 ribu hektar), Lahan (307 ribu hektar), Gunung Mas (121 ribu hektar) dan Bukit Soeharto (100 ribu hektar).

Ibu kota yang baru ini berperanan sebagai pusat pemerintahan dengan pemindahan kementerian, kedutaan besar dan markas. Sekitar 900 ribu-1.5 juta penjawat awam dijangka dipindahkan.

Pemindahan yang dijangka mengambil masa dalam tempoh 5-10 tahun ini bertujuan:

  • Menyamaratakan pembangunan di Indonesia khususnya untuk meningkatkan pembangunan di Kalimantan.
  • Mengurangkan bebanan kos di Jakarta dan kawasan sekitar.
  • Mengurangkan kepadatan penduduk.

Jakarta akan tetap menjadi pusat ekonomi dan bisnes dengan mengekalkan urusan Bank Indonesia dan institusi kewangan yang lain

#2 Perlantikan Prabowo

Antara tindakan mengejutkan dunia politik Indonesia yang diambil oleh Jokowi ialah melantik Prabowo Subianto yang merupakan calon lawannya semasa berkempen.

Prabowo dilantik menjadi Menteri Pertahanan Indonesia dan langkah ini disifatkan sebagai usaha damai ke atas ketidakstabilan politik negara mereka sejak pilihan raya diadakan.

Jokowi dan Prabowo. Imej via Merdeka.com

#3 Lantikan Menteri Kabinet

Sebanyak 21 daripada 38 jawatan kabinet kerajaan Indonesia dipegang oleh bukan ahli politik.

Jokowi berhasrat untuk melancarkan sasaran 5 tahun ke hadapan yang memfokuskan perkembangan sumber daya manusia dengan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan pemerkasaan industri kecil dan sederhana.

Malah, menteri pendidikan dan kebudayaan Indonesia merupakan CEO bagi projek Gojek, seiring dengan rancangan Revolusi Perindustrian 4.0.

Konsep birokrasi juga akan disemak semula memandangkan pengagihan portfolio menteri dianggap bertindih (redundant) dan memerlukan kos yang banyak apabila terdapat sejumlah 34 kementerian, 87 pos dan 53 lembaga.

Jika dibandingkan, negara-negara lain mempunyai struktur pentadbiran yang lebih kecil yang dapat mengurangkan kos pentadbiran, seperti Malaysia (26 kementerian), Thailand (19), Singapura (16) dan Vietnam (16).

#4 Pelancaran Visi 2045

Jika Malaysia mempunyai rancangan Wawasan 2020 dan Dasar Kemakmuran Bersama 2030, Jokowi pula mempunyai Visi 2045 yang berhasrat menjadikan negara mereka sebagai sebuah kuasa ekonomi ke-5 terbesar di dunia dengan GDP $7 trilion, menjelang tahun 2045.

#5 Pembinaan Pusat Angkasa Lepas di Papua

Turut mengambil kira kemajuan teknologi, Jokowi melancarkan pembinaan pusat angkasa lepas yang pertama di Indonesia yang terletak di Biak, Papua.

Kedudukan geografi kawasan ini yang terletak hampir dengan garisan khatulistiwa adalah sangat ideal untuk pelancaran orbit rendah.

Pusat angkasa lepas ini ialah yang pertama di kawasan Pasifik dan kedua di dunia selain pusat angkasa lepas di Amerika Selatan.

#6 Menjadikan Indonesia Negara Pivot Indo-Pasifik

Langkah ini menjadikan Indonesia sebagai pemimpin atau pencetus bagi mana-mana agenda Indo-Pasifik di rantau ASEAN.

Usaha yang dilakukan Jokowi ini membantu meneutralkan sebarang ketegangan antara negara di dunia apabila Indonesia menjadi orang tengah untuk memastikan situasi menang-menang menerusi perbincangan yang bersifat geo-politik ini.

#7 Transformasi Ekonomi

Ekonomi Indonesia bergantung penuh kepada hasil sumber alam untuk dieksport dan hal ini dikaji oleh Jokowi untuk meluaskan pengaruh ekonomi melalui sumber pendapatan daripada sumber lain.

Hal ini disebabkan persaingan dengan negara pengeluar bahan mentah yang lain seperti Malaysia dan Thailand, di samping ingin meneroka industri pembuatan dan teknologi moden.

Kesimpulan

Presiden Jokowi memperlihatkan usahanya yang serius dalam menyediakan Indonesia menjadi negara yang lebih maju pada masa akan datang.

Tidak mustahil, Indonesia boleh muncul sebagai negara kuasa besar dunia, setanding China, Rusia, Jepun dan Amerika Syarikat.

Oleh itu, usaha berterusan Jokowi ini merangkumi peningkatan ekonomi dan kebajikan rakyat Indonesia melalui ciri-ciri seperti populasi penduduk yang ramai, ketenteraan yang mantap dan ekonomi yang dinamik.

Rujukan

  1. Dick, H. (2019). The Indonesian Economy in Transition: Policy Challenges in the Jokowi Era and Beyond. Edited by Hal Hill and Siwage Dharma Negara. Singapore: ISEAS Publishing, 2019. Pp. xvii+ 452. Paperback: 29.90.PDF: 24.00.
  2. Desker, B. (2019). Indonesian Presidential Election 2019–Another Term for Jokowi: Some Significant Developments.
  3. https://www.straitstimes.com/asia/citation-asian-of-the-year-2019
  4. Kuncoro, A. (2019). Trends in the manufacturing sector under the Jokowi presidency: Legacies of past administrations. The Indonesian Economy in Transition: Policy Challenges for the Jokowi Era and Beyond, 180-208.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.