Apabila berada dalam kesesakan atau ditimpa musibah yang tidak diduga, selain menggunakan wang tabung kecemasan atau meminta ehsan kaum keluarga dan rakan terrdekat, tahukah anda bahawa pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ada menawarkan beberapa bantuan yang boleh dimohon.

Jom ketahui apa jenis bantuan JKM yang ditawarkan, beserta syarat kelayakan dan cara permohonan.

Pengenalan

Perlu ditegaskan bahawa, pemberian bantuan JKM ini BUKAN bertujuan untuk memanjakan rakyat.

Kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk diagihkan kepada golongan sasaran yang dirasakan layak dan patut mendapat bantuan-bantuan ini setelah disiasat oleh staf JKM secara telus dan adil.

Khidmat kerja sosial ini dapat membantu mereka yang sedang ditimpa kesusahan atau musibah untuk kembali meneruskan kehidupan dengan lebih baik tanpa memudaratkan atau menyekat proses hidup berdikari.

Objektif Bantuan JKM

  • Sebagai keperluan asas bagi meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung penerima.
  • Alat bantuan dan sokongan sosial yang berperanan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kewangan semata.
  • Alat pemulihan supaya penerima masih dapat bersosial dalam masyarakat dengan baik.
  • Sumber kewangan sementara sebelum penerima sedia bekerja sendiri.

Jenis Bantuan JKM

1.Bantuan Kanak-Kanak (BKK);
2.Elaun Pekerja Cacat (EPC);
3.Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB);
4.Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT);
5.Bantuan Orang Tua (BOT);
6.Bantuan Am Persekutuan (BA);
7.Bantuan Anak Pelihara (BAP);
8.Bantuan Latihan Perantis (BLP);
9.Bantuan Geran Pelancaran (GP);
10.Bantuan Alat Tiruan/ Alat Sokongan (BAT);
11.Tabung Bantuan Segera (TBS).

Cara Permohonan

  • Permohonan perlulah dibuat di Pejabat JKM Daerah/Jajahan/Bahagian di seluruh negara.
  • Setiap permohonan lengkap yang dihantar akan disiasat untuk memastikan kesahihan permohonan.
  • Untuk melicinkan urusan permohonan, setiap pemohon diminta untuk mengisi borang dengan lengkap dan setiap dokumen berkaitan disahkan.
  • Bagi pembaharuan (renew) bantuan, setiap penerima perlu peka atau cakna dengan tarikh mengemas kini dan lakukannya sebaik sahaja mendapat peringatan daripada pihak JKM.

Permohonan dan Kriteria

BANTUAN KANAK KANAK – Minimum  RM100 sebulan seorang dan maksimum sebanyak RM450  bagi seisi rumah yang memiliki lebih daripada 4 orang kanak- kanak.

1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di sini.
2. Pendapatan isi rumah tidak  melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata  Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa.
3. Kanak-kanak berusia kurang 18 tahun dan 18 tahun ke atas boleh dipertimbangkan untuk menerima bantuan ini dengan syarat bersekolah sehingga tamat menengah atas.
4. Mana-mana kes yang dipertimbangkan layak dengan kelulusan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (KPKM).

BANTUAN ANAK PELIHARA – Minimum RM250 sebulan bagi seorang kanak-kanak dan maksimum RM500 sebulan bagi keluarga yang memelihara 2 atau lebih kanak-kanak yang kurang bernasib baik/yatim piatu/tidak mempunyai saudara mara.

Keluarga yang layak menerima bantuan ini perlulah memelihara anak dengan syarat-syarat berikut:

  1. Bawah 18 tahun.
  2. Kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu bapa.
  3. Kanak-kanak tersebut bukan diambil sebagai anak angkat melalui Akta Pengangkatan 1952 atau Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952.
  4. Kanak-kanak ini tinggal bersama dengan keluarga pelihara melalui:
    1. “Program Anak Pelihara” yang dikendalikan oleh JKM; atau
    2. Di bawah perintah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

BANTUAN ORANG TUA – Dengan kadar RM350 sebulan.

1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di sini.
2.Berumur 60 tahun dan ke atas.
3. Pendapatan isi rumah tidak  melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata  Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa.
4.Warga emas yang tinggal sendiri (bukan tinggal di rumah kendalian JKM).
ATAU
Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

ELAUN PEKERJA CACAT – Sebanyak RM400 sebulan.

1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di sini.
2. Berumur sekurang-kurangnya 16 tahun dan ke atas.
3. Pemegang kad OKU yang berdaftar dengan JKM.
4. Pendapatan bulanan RM 1,200.00  dan ke bawah.

BANTUAN AM PERSEKUTUAN – RM100 sebulan dengan maksimum RM350 bagi sebuah keluarga.

Bantuan ini diberikan kepada golongan yang tidak berkemampuan (setelah disiasat) dan tidak menerima mana-mana skim bantuan JKM yang lain.

BANTUAN AM NEGERI – RM100 sebulan dengan maksimum RM350 bagi sebuah keluarga.

1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Wilayah Persekutuan.

2. Pendapatan isi rumah tidak  melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata  Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa.

3. Bantuan ini diberikan kepada golongan yang tidak berkemampuan (setelah disiasat) dan tidak menerima mana-mana skim bantuan JKM yang lain.

BANTUAN OKU TIDAK BERUPAYA BEKERJA – Sebanyak RM250 sebulan

1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di sini.
2. Berumur sekurang-kurangnya 16 tahun dan ke atas.
3. Pemegang kad OKU yang berdaftar dengan JKM.

4. Tidak berupaya bekerja

5. Tidak berada di institusi kendalian JKM

BANTUAN OKU/PESAKIT KRONIK YANG TERLANTAR – Sebanyak RM350 sebulan.

1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di sini.

2. Pemohon ialah penjaga sepenuh masa pesakit.

3. Pendapatan bulanan isi rumah ialah RM 3000.00  dan ke bawah.

BANTUAN LATIHAN PERANTIS – Sebanyak RM200 sebulan.

1. Warganegara Malaysia dan bermastautin di sini.

2. Bekas pelatih atau bekas penghuni institusi kebajikan, ATAU

3. Anak-anak penerima bantuan, ATAU

4. Pernah terlibat denga kes-kes seliaan akhlak, DAN mana-mana kes yang berkeperluan dan layak dipertimbangkan.

BANTUAN SEKALI GUS (ONE OFF)

Geran Pelancaran – RM2700 diberikan sekali gus kepada kumpulan sasar JKM yang produktif, mempunyai minat, kemahiran dan potensi untuk menjana pendapatan individu/ keluarga.

Alat Tiruan/Sokongan bagi kumpulan sasar JKM seperti

  • Anggota Tubuh Badan Palsu
  • Kerusi Roda
  • Alat Bantu Pendengaran
  • Alat-alat Keperluan Lain
  • Penggantian / Baik Pulih Alat

Tabung Bantuan Serangan Binatang Liar/Buas – maksimum RM20k bagi kes kematian atau kecederaan kekal yang disebabkan oleh serangan binatang liar atau buas. Jika kecederaan dialami hanya sebahagian, penilaian bantuan akan dibuat berdasarkan peratus kecederaan menurut cadangan pakar perubatan yang merawat.

Kesimpulan

Sumbangan yang diberikan oleh kerajaan menerusi pentadbiran JKM ini perlulah dihargai dan tidak disalah gunakan.

Terutamanya dalam Islam, kita tidak digalakkan untuk meminta-minta, selagi kudrat masih berdaya, tetapi tiada salahnya jika kita memohon bantuan JKM ini apabila telah melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh JKM.

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.