Golongan belia yang rata-rata sudah selesa dengan kedudukan kewangan apabila sudah mendapat kerja yang stabil dan mula membina kehidupan, pastinya ingin mengumpul aset seperti kenderaan, simpanan dan hartanah seperti rumah.

Tahukah anda, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui suntikan dana daripada Belanjawan 2020 ada menyediakan skim perumahan belia yang boleh dimohon bagi merealisasikan impian memiliki rumah pertama anda?!

Ayuh baca artikel ini untuk lebih mengetahui secara terperinci berkenaan skim ini, syarat dan cara memohonnya.

Pengenalan

Skim Perumahan Belia ini di bawah kendalian Bank Simpanan Nasional (BSN), turut dikenali sebagai BSN MyHome yang boleh mula dimohon bermula 01 Januari 2020 sehingga tempoh 31 Disember 2021.

BSN akan menyediakan jumlah pinjaman sebanyak 100% daripada harga pembelian dan tambahan 5% daripada harga pembelian untuk membiayai insurans (MRTA).

Menariknya, skim ini menawarkan jaminan pinjaman 10% bagi pembelian rumah pertama golongan belia. Selain itu, skim ini membantu para peminjam untuk mendapat pembiayaan penuh apabila melepasi semua syarat yang ditetapkan.

Tambahan lagi, skim ini akan memberi bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 per bulan untuk dua tahun pertama bagi meringankan beban kewangan para peminjam.

Syarat-syarat Skim Perumahan Belia

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Pembelian rumah untuk rumah pertama sahaja.
  3. Golongan belia yang layak ialah yang berusia 25 hingga 40 tahun sahaja.
  4. Pemohon telah berkahwin.
  5. Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10k sebulan.
  6. Nilai rumah dalam julat RM100k-500k.
  7. Perlu membuka akaun bank BSN.
  8. Tempoh pinjaman ialah minimum 5 tahun dan maksimum 35 tahun.
  9. Rumah yang dibeli tidak boleh dijual semula atau dipindah milik dalam tempoh 5 tahun pertama.
  10. Pinjaman perumahan adalah dikira berdasarkan kadar boleh ubah dan pemohon menawarkan rumah anda sebagai cagaran untuk pinjaman ini.
  11. Jumlah pinjaman maksimum adalah berdasarkan penilaian maklumat kewangan pemohon dengan syarat bahawa nilainya sepadan dengan kelayakan pemohon atau keupayaan pembayaran balik.
  12. Kadar faedah konvensional : Antara KA + 0.60% sehingga KA + 3.00% bergantung kepada profil dan lokasi hartanah yang dipilih oleh pemohon.
  13. Kos dokumentasi pinjaman termasuk kos guaman adalah ditanggung oleh pembeli.
  14. Peminjam perlu memaklumkan kepada Pusat Khidmat PelangganBSN secara bertulis atau melalui emel jika terdapat sebarang perubahan dalam butir-butir perhubungan. Hal ini bagi memastikan bahawa semua surat-menyurat sampai kepada peminjam tepat pada masanya.

Cara Memohon

Pemohon perlu mengunjungi mana-mana kaunter BSN dan lengkapkan borang yang diberikan.

Antara dokumen yang perlu disertakan bersama permohonan ialah:

  • Borang permohonan pembiayaan kewangan BSN
  • Perjanjian jual dan beli/resit deposit/proforma/pesanan pembelian
  • Salinan kad pengenalan
  • Salinan slip gaji untuk 3 bulan terkini
  • Salinan penyata bank untuk 3 bulan terkini (jika mempunyai pendapatan sampingan, perlu nyatakan salinan penyata bank untuk 6 bulan terkini)
  • Salinan penyata KWSP
  • Surat pengesahan bekerja yang dikeluarkan oleh majikan
  • Borang EA/EC

Bagi mereka yang tidak makan gaji dan bekerja sendiri, antara dokumen yang diperlukan ialah:

  • Borang B/BE dan resit LHDN
  • Surat pendaftaran syarikat (SSM)
  • Salinan penyata bank untuk 6 bulan terkini
  • Dokumen lain yang dirasakan perlu

Kelebihan Skim Perumahan Belia

  1. Dokumen pembiayaan diberi pengecualian duti setem sebanyak 50%.
  2. Pengecualian duti setem sepenuhnya (100%) ke atas surat cara perjanjian pemindahan hak milik dan perjanjian pembiayaan bagi nilai rumah RM300k dan ke bawah.
  3. Kemudahan skim ini ditawarkan untuk membeli hartanah yang sama ada sudah siap dibina, sedang dalam pembinaan atau hartanah subsale.
  4. Kerajaan akan memberi bantuan ansuran bulanan dengan nilai RM200 setiap bulan untuk tempoh 2 tahun pertama, bermula dari tarikh pengeluaran pertama kepada pemaju atau penjual. Amaun ini akan terus dikreditkan ke dalam akaun pembiayaan pelanggan.

Pinjaman Dilunaskan Sebelum Tempoh Pinjaman Berakhir

Hartanah masih tidak boleh dipindah milik atau dijual kepada pihak lain dalam tempoh 5 tahun.

Pemohon perlu mengemukakan notis bertulis kepada Bank untuk mendapatkan amaun penjelasan awal. Penjelasan awal boleh dilakukan pada bila-bila masa waktu bekerja dan di mana-mana Cawangan Bank.

Implikasi Gagal Melunaskan Komitmen Bulanan kepada BSN

  1. Penalti Lewat Bayar sebanyak satu peratus (1%) akan dikenakan ke atas amaun tertunggak.
  2. Pihak Bank berhak membuat tolakan (set-off) mana-mana baki kredit dalam mana-mana akaun pemohon di bank untuk menyelesaikan sebarang baki tertunggak tertakluk kepada notis awal diberikan dalam tempoh tujuh (7) hari sebelum tolakan dilaksanakan.
  3. Tindakan undang-undang akan diambil sekiranya peminjam gagal untuk bertindak balas terhadap notis peringatan dan kos guaman akan ditanggung oleh peminjam.
  4. Tindakan undang-undang terhadap peminjam boleh memberi kesan kepada rekod kredit yang akan menyebabkan kemudahan kredit peminjam menjadi lebih sukar untuk masa akan datang.

Antara bantuan atau pembelaan yang peminjam boleh dapatkan jika tersepit dalam situasi kewangan ialah dengan menghubungi agensi-agensi seperti berikut:

  • Menghubungi pihak BSN dengan segera untuk membincangkan alternatif pembayaran kerana pihak Bank juga mahukan transaski kredit yang sama-sama ‘cun’
  • Perkhidmatan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan percuma berkaitan pengurusan wang, kaunseling kredit, pendidikan kewangan dan penyusunan semula hutang untuk individu.
  • Bagi melaporkan aduan mengenai produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh pihak BSN, anda boleh menghubungi pihak terus Pusat Khidmat Pelanggan, BSN di talian 1300 88 1900 / 603-2613 1900 (Luar Negara).
  • Jika pertanyaan atau aduan anda tidak diselesaikan dengan sepenuhnya oleh pihak Bank, anda boleh menghubungi Bank Negara Malaysia LINK atau TELELINK di talian 1300 88 5465, Faks : 03-2174 1515 dan Emel : [email protected]

Produk Pinjaman Perumahan BSN

Selain Skim Perumahan Belia BSN MyHome ini, terdapat beberapa lagi produk pinjaman yang boleh dimohon dengan mengunjungi mana-mana kaunter BSN untuk maklumat lanjut, seperti:

  • BSN MyHome (Hartanah Kediaman)
  • BSN MyHome (Hartanah Komersial)
  • BSN MyHome (Skim Perumahan Belia)
  • BSN MyHome [Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estet (SKRE)]
  • BSN MyHome (Projek Perumahan Rakyat)
  • BSN MyHome [Affordable Home (AHB40)]
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.