Ketahui konsep takaful yang sebenar. Sedikit berbeza dengan insurans walaupun seakan sama.

Takaful diambil daripada perkataan arab kafala  yang membawa maksud jamin. Jadi, takaful dari segi bahasa bermaksud saling jamin-menjamin. Manakala dari segi istilah syara’, takaful membawa maksud persetujuan atau pakatan satu kumpulan untuk saling jamin-menjamin dan bantu-membantu antara satu sama lain ketika para peserta kumpulan tersebut ditimpa sesuatu musibah atau bencana.

Takaful juga boleh dikatakan satu jenis insurans Islam di mana ahli atau pesertanya menyumbang wang ke dalam sistem tabungan untuk menjamin satu sama lain dari segi kerugian atau kerosakan yang berlaku.

Takaful ini adalah insurans yang berasaskan syariah Islam atau undang-undang agama Islam di mana ia juga menunjukkan bagaimana seseorang Muslim itu bertanggungjawab untuk bekerjasama dan melindungi satu sama lain. Seperti insurans konvensional, polisi takaful juga meliputi kesihatan, kehidupan dan keperluan perlindungan yang lain.

Takaful juga diperkenalkan untuk menjadi alternatif lain kepada industri insurans konvensional yang mana telah dikategorikan sebagai haram kerana melanggar syariah Islam. Insurans konvensional dikategorikan sebagai haram kerana mempunyai riba, maisir (judi) dan gharar (ketidakpastian) yang mana ketiga-tiga unsur ini adalah dilarang oleh Allah.

Fahami Konsep Takaful

Konsep utama takaful adalah menyumbang sejumlah wang kepada dana takaful dalam bentuk sumbangan penyertaan atau disebut tabarru’. Peserta atau ahli akan membuat kontrak (aqad) untuk menjadi salah seorang ahli dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain sekiranya mana-mana ahli mengalami apa jua bentuk bencana atau musibah yang dilindungi dibawah takaful yang disertai peserta tersebut.

Konsep tabarru’ yang dijadikan asas operasi takaful mungkin kelihatan sama dengan konsep mu’awadhah atau jual beli yang menjadi konsep utama insurans konvensional. Namun, mu’awadhah adalah berlainan dengan tabarru’ dari segi konsep dan syaratnya. Oleh itu, anda perlu mengetahui perbezaan di antara konsep tabarru’ dan mu’awadhah.

Kontrak tabarru’ merupakan kontrak yang melibatkan pemindahan hak milik kepada pemilik baru tanpa sebarang bayaran atau pampasan seperti hibah, sumbangan, derma, wasiat atau wakaf. Ciri-ciri tabarru’ adalah seperti berikut:

  1. Pada asasnya, kontrak tabarru’ ialah tolak ansur dan memberi maaf. Secara umumnya, tabarru’ bermaksud membelanjakan harta tanpa mendapat balasan atau ganjaran dunia. Justeru, kesamaran yang keterlaluan atau jahalah tidak mencacatkan kesahihan transaksi yang berlaku kerana ianya tidak membawa kepada perbalahan. Para ahli feqah atau para fuqaha telah menyebut satu kaedah feqah iaitu: ‘terdapat perkara yang dibenarkan (dimaafkan) dalam tabarru’ tetapi tidak dibenarkan (dimaafkan) dalam mu’awadhah.
  2. Majoriti ulama’ feqah bersetuju bahawa kontrak atau aqad tabarru’ hanya akan dikira sebagai ‘mengikat’ selepas berlakunya penyerahan.
  3. Unsur jahalah atau kesamaran adalah dibenarkan kerana tabarru’ melibatkan pemindahan hak milik tanpa sebarang bayaran gantian atau pampasan.

Sementara itu, kontrak mu’awadhah pula merujuk kepada kontrak yang melibatkan pertukaran dua nilai atau pampasan. Berikut adalah antara ciri-ciri mu’awadhah:

  1. Syarat am mu’awadhah adalah kedua-dua pihak mendapat keuntungan dan tiada pihak menanggung kerugian pada adatnta, selagi mana kontrak tersebut dilakukan atas dasar kerelaan dan persetujuan kedua-dua belah pihak.
  2. Transaksi mu’awadhah boleh melibatkan keuntungan atau kerugian.
  3. Kontrak hanya boleh dilakukan ke atas benda yang mempunyai nilai dan wujud semasa kontrak dimeterai.
  4. Sifat dan perkara yang berkaitan dengan kontrak mu’awadhah perlu diketahui bagi memastikan transaksi yang berlaku sah dan terjamin.
  5. Penerimaan pampasan dan pemberian sumbangan tidak boleh digabungkan bersama-sama dalam pelaksanaan kontrak mu’awadha jika sumbangan tersebut sendiri bergantung dan termasuk dalam kontrak.
  6. Mu’awadhah boleh melibatkan pertukaran antara barang dengan barang, atau barang dengan wang, atau perkhidmatan dengan wang atau boleh juga disebut sebagai ijarah yang membawa maksud sewa atau upah.

Imej via Google

Melihat kepada ciri-ciri konsep tabarru’ dan perbandingan dengan sistem mu’awadhah, para cendekiawan Islam bersepakat bahawa konsep takaful adalah berdasarkan konsep tabarru’. Para ulama’ juga berpendapat takaful lebih hampir kepada konsep tabarru’ dan ta’awun (kerjasama) berbanding konsep as-Sawaab Bi Syarti al-Hibah (hibah dengan syarat balasan.

Pendapat para ulama’ ini juga disokong dengan fakta di mana syarikat-syarikat takaful tidak memiliki bayaran ansuran yang disumbangkan oleh para peserta secara mutlak. Sementara itu, bayaran pampasan yang akan dibayar kepada peserta yang ditimpa bencana tidak boleh dianggap sebagai bayaran pampasan ke atas bayaran ansuran sumbangan peserta.

Ini kerana, pada hakikatnya bayaran ansuran tersebut disalurkan kepada dana atau tabung takaful yang dikumpulkan untuk membantu para peserta apabila ditimpa bencana. Sekiranya terdapat lebihan daripada tabung takaful tersebut, dana akan dikembalikan kepada peserta ataupun dikumpul dan disedekahkan bagi tujuan amal jariah.

Sedekah atau amal jariah ini adalah di antara kelebihan dan keindahan sistem takaful yang tidak wujud di dalam sistem insurans konvensional. Di samping menikmati kemudahan hidup di dunia, peserta juga bakal menikmati habuan akhirat. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T di dalam al-Quran. Antaranya seperti firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah, ayat ke-261 yang bermaksud;

“Perumpamaan (derma yang dikeluarkan oleh) orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; pada setiap tangkai seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.”

Terjemahan “membelanjakan hartanya di jalan Allah” merujuk kepada perbelanjaan untuk perjuangan Islam, pembangunan pengurusan Islam dan berbagai lagi. Dan antara kepentingan takaful adalah untuk memperjuangkan ekonomi Islam. Allah S.W.T juga telah menjanjikan ganjaran kepada orang yang bersedekah seperti firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat ke-274 yang bermaksud;

“Orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang hari secara bersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada yang mengkhuatirkan mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

Kesimpulan

Walaupun takaful dan insurans mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk menyediakan perlindungan semasa musibah atau bencana, tetapi perlaksanaan takaful adalah berbeza dengan insurans konvensional. Sistem takaful menggunakan konsep tabarru’ sebagai konsep asas atau induk operasi mereka.

Konsep tabarru’ yang diakui oleh para ulama’ mematuhi aspek syariah Islam sekaligus menjadikan takaful merupakan satu alternatif yang tepat dan efisyen kepada umat Islam untuk mendapatkan perlindungan semasa ditimpa musibah atau bencana.

Konsep tabarru’ yang digunakan oleh takaful ini juga bukan sahaja menawarkan perlindungan semasa ditimpa musibah, bahkan turut mengajak para peserta untuk beramal jariah atau bersedekah untuk jalan Allah. Dalam erti kata lain, takaful bukan sahaja memberi ganjaran dunia, bahkan cuba membekalkan ganjaran akhirat kepada peserta.

*Jemput baca juga artikel tentang perbezaan takaful dan isnurans dan kepentingan khairat kematian

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.