Nak tahu perbezaan takaful dan insurans?

Takaful dari segi istilah membawa maksud penyertaan sekumpulan individu dalam satu skim yang membolehkan mereka bekerjasama dalam menanggung sebarang kemudaratan yang berlaku terhadap salah seorang daripada ahli peserta dengan cara membayar pampasan yang munasabah kepada ahli yang ditimpa kemudaratan melalui wang yang disumbangkan oleh peserta-peserta yang dibayar secara ansuran.

Sebagaimana yang didefinisikan oleh Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) iaitu takaful melibatkan kesepakatan antara sekumpulan individu atau peserta bagi tujuan mendapatkan perlindungan atau pampasan daripada kemudaratan atau risiko tertentu dengan memberi sumbangan berdasarkan kaedah iltizam bi al-tabarru’  iaitu beriltizam untuk melakukan tabarru’.

Melalui sumbangan berdasarkan kaedah ini, maka terbentuk atau muncul satu tabung yang diberi nama takaful yang memiliki shakhsiyyah i’tibariyyah atau satu entiti khas dari segi undang-undang yang memiliki hak dan tanggungjawab kewangan sendiri dan bersedia membayar tuntutan pampasan kepada peserta yang mengalami kemudaratan.

Skim ini berasaskan akad tabarru’ atau dalam erti kata lain sumbangan kebajikan dan ta’awun iaitu kerjasama dan tolong-menolong di mana para peserta memberi sumbangan ke dalam satu tabung khas yang akan digunakan bagi tujuan membantu peserta yang ditimpa musibah atau memerlukan pertolongan.

Konsep Dan Matlamat Takaful

Takaful mempunyai matlamat yang sama dengan insurans konvensional iaitu menyediakan khidmat untuk para pemegang polisi atau para peserta. Apa yang membezakan antara keduanya ialah konsep yang digunakan bagi mencapai tujuan tersebut.

Dalam hal ini, takaful menggunakan konsep kerjasama yang dibenarkan oleh syarak berasaskan kontrak tabarru’ dan ta’awun sebagaimana dinyatakan di atas. Konsep ini bebas daripada sebarang elemen yang bercanggah dengan hukum muamalat Islam seperti gharar, riba, perjudian dan elemen lain.

Dana takaful yang dibentuk daripada sumbangan para peserta atau pemegang polisi adalah berasaskan kontrak tabarru’ akan digunakan bagi menyelamatkan setiap peserta takaful daripada kecelakaan atau musibah yang menimpa. Sebarang lebihan yang berbaki selepas pembayaran pampasan, perbelanjaan, dan pemotongan untuk rizab akan dipulangkan kepada para peserta menurut kadar sumbangan masing-masing.

Konsep takaful ini sememangnya merupakan suatu konsep yang diiktiraf oleh Islam. Bahkan praktisnya pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa;

Qabilah Asy’ariyyin apabila mengalami kehabisan bekalan makanan dalam peperangan atau apabila mereka kekurangan bekalan ketika di Madinah, mereka mengumpulkan semua bekalan yang tinggal dalam satu kain, kemudian membahagikannya sama rata sesama mereka. Rasulullah bersabda: “Mereka ialah rakan aku dan aku ialah rakan mereka”.

Peristiwa ini boleh dijadikan sandaran untuk menyokong penubuhan tabung atau dana takaful bersasaskan konsep tabarru’ dan kerjasama atau ta’awun di antara para peserta. Penubuhan tabung tersebut tidak harus bermatlamatkan keuntungan semata-mata tetapi hendaklah berasaskan konsep tabarru’ untuk tujuan tolong-menolong sebagaimana difahami secara jelas daripada hadis tersebut.

Imej via MajalahLabur

Perbezaan Takaful Dan Insurans

Takaful dan insurans mempunyai tujuan yang sama pada asasnya iaitu memberikan jaminan dan pertolongan kepada peserta atau ahli dalam bentuk kewangan. Namun dalam persamaan tersebut, terdapat perbezaan yang besar di antara kedua-duanya. Perbezaan yang wujud dapat dilihat seperti berikut;

1. Hukum

Perniagaan takaful adalah berlandaskan syariah dan hukumnya adalah harus bagi umat Islam menyertai takaful. Manakala bagi perniagaan insurans, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa hukumnya adalah haram dan ia juga diputuskan oleh majlis-majlis fatwa yang lain. Ini kerana perniagaan insurans mengandungi unsur riba, maisir dan gharar. Oleh itu, pembelian polisi insurans dan segala hasil daripada syarikat-syarikat insurans dikategorikan sebagai haram.

2. Kontrak asas

Kontrak asas yang digunapakai oleh takaful insurans adalah berbeza. Takaful menggunakan kontrak derma atau tabarru’ di mana para peserta menyumbang ke dalam dana takaful dengan amaun yang ditetapkan dan menjamin peserta lain yang ditimpa musibah menggunakan dana tersebut.

Manakala dalam insurans konvensional pula, kontrak asas yang digunapakai adalah kontrak pertukaran atau mu’awadhah iaitu suatu kontrak dalam bentuk jual beli.

3. Kontrak-kontrak lain

Di dalam takaful, kontrak agensi atau wakalah dan kontrak mudharabah iaitu perkongsian untung rugi turut digunakan bagi menyokong kontrak asas iaitu tabarru’. Sebaliknya, di dalam insurans konvensional tidak terdapat kontrak-kontrak lain selain daripada kontrak jual beli di mana merupakan kontrak asas insurans konvensional.

4. Tanggungjawab pemegang polisi

Peserta takaful atau pemegang polisi takaful akan menyumbang caruman untuk saling menjamin di antara semua peserta dan penyertaan takaful merupakan satu akad dikalangan peserta. Manakala pembeli insurans akan membayar premium kepada penanggung insurans atau syarikat insurans. Dan pembelian insurans ini merupakan satu kontrak di antara syarikat insurans dan pemegang polisi.

5. Pelaburan

Melalui takaful, kumpulan wang takaful akan dilaburkan melalui instrumen pelaburan yang diharuskan oleh syariah dan pelaburan ini hanya akan dilakukan ke atas syarikat-syarikat yang telah dikategorikan sebagai patuh syariah yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Manakala pelaburan syarikat insurans pula adalah bebas kepada semua jenis instrumen tanpa mengira sama ada halal ataupun tidak. Ini termasuklah pelaburan wang insurans ke atas syarikat-syarikat perjudian dan arak.

6. Modus operandi

Syarikat-syarikat takaful mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang bertanggungjawab memberikan nasihat terhadap segala aktiviti termasuk pelaburan. Segala hasil tidak halal yang diperolehi oleh pengendali takaful tidak akan dikira sebagai pendapatan syarikat sebaliknya akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan. Syarikat-syarikat insurans konvensional tidak mempunyai ciri-ciri ini.

Pengendali takaful juga wajib membayar zakat perniagaan dan cukai manakala pengendali insurans hanya membayar cukai sahaja. Di samping itu, syarikat-syarikat insurans konvensional tidak mempunyai bahagian penasihat sharoah kecuali Syarikat MCIS Zurich Insurans.

Walau bagaimanapun, penasihat syariah ini hanya terlibat untuk memberi nasihat dalam beberapa perkara tertentu sahaja. Oleh itu, modus operandi syarikat ini masih lagi insurans konvensional.

7. Aspek perundangan

Dari segi aspek perundangan, pengendali takaful tertakluk kepada Akta Takaful 1984 manakala syarikat insurans tertakluk kepada Akta Insurans 1963 (pindaan 1966).

Kesimpulan

Walaupun pada asasnya takaful dan insurans mempunyai tujuan dan matlamat yang sama, namun terdapat tujuh perbezaan di antara keduanya. Perbezaan-perbezaan tersebut adalah dari segi hukum, kontrak asas dan kontrak sampingan, tanggungjawab peserta, saluran pelaburan, cara kedua-duanya beroperasi dan juga aspek perundangan untuk takaful dan insurans.

Islam mewajibkan umat Islam untuk mencari sesuatu halal dalam setiap perkara yang dilakukan. Sehubungan itu, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk meninggalkan produk-produk perlindungan insurans konvensional kerana ia adalah produk yang telah diputuskan haram dalam Islam. Justeru, umat Islam di negara ini sewajarnya memastikan mereka hanya menggunakan produk-produk perlindungan takaful yang berteraskan Islam dan patuh syariah.

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.