Insurans dan takaful adalah perlindungan yang semakin mendapat tempat dihati rakyat Malaysia. Semakin ramai yang sedar tentang kepentingan perlindungan insurans. Apakah beza di antara insurans dan takaful? Kedua-duanya menawarkan perlindungan kepada pemegang polisi, cuma bezanya insurans adalah konvensional sementara takaful adalah berasaskan syariah. Terdapat pelbagai jenis insurans dan takaful di Malaysia.

Sumber: TrashB

Jenis-jenis insurans di Malaysia

Untuk pengetahuan anda, terdapat beberapa jenis insurans di Malaysia iaitu:

Insurans hayat ( Life insurance )

Insurans hayat adalah perlindungan yang diberikan kepada pemegang polisi daripada beberapa risiko seperti :

  • Penyakit
  • Hilang upaya
  • Pendapatan semasa persaraan
  • Kematian dalam tempoh polisi

Insurans  Am (General Insurance)

Insurans am adalah polisi insurans yang melindungi anda daripada pelbagai risiko selain daripada yang dilindungi oleh insurans hayat termasuklah:

  • Kecederaan atau kematian akibat daripada kemalangan
  • Kerosakan harta-benda seperti kebakaran rumah atau kecurian kereta
  • Liabiliti akibat kerosakan kepada pihak ketiga yang disebabkan oleh anda

Insurans Perjalanan adalah insurans yang sangat popular di Malaysia. Jika anda suka melancong sama ada di dalam atau di luar negara, insurans ini memberikan perlindungan disepanjang perjalanan anda. Untuk maklumat anda, sesetengah negara terutamanya Eropah memerlukan insurans perjalanan jika seseorang mahu pergi ke negara itu. Tanpa insurans perjalanan, visa tidak akan dikeluarkan. Di antara perlindungan yang berikan oleh Insurans Perjalanan ialah pampasan kemalangan, pembayaran balik perbelanjaan perubatan, enggantian barang yang hilang, perlindungan ganda dalam bentuk pampasan apabila kemalangan pesawat berlaku, pembayaran balik perbelanjaan ahli keluarga. orang tanggungan pemindahan perubatan, penggantian disebabkan oleh kelewatan penerbangan dan perlindungan rumah terbengkalai.

Jenis-jenis takaful di Malaysia

Berikut adalah dua jenis takaful yang ada di Malaysia iaitu takaful keluarga dan takaful am.

Takaful Keluarga

Takaful Keluarga menawarkan perlindungan dan simpanan jangka panjang untuk individu dan keluarga. Di antara produk di bawah takaful keluarga ialah:

  • Takaful berkaitan Pelaburan iaitu takaful keluarga yang menggabungkan pelaburan patuh Shariah dan pelindungan Takaful dalam masa yang sama.
  • Takaful Perubatan dan Kesihatan adalah perlindungan untuk kos rawatan dan kemasukan ke wad di hospital swasta.
  • Takaful Pendidikan Anak iaitu takaful yang menyediakan perlindungan kewangan untuk anak anda sekiranya anda ditimpa malapetaka seperti kemalangan, kecacatan kekal, atau kematian. Pada masa yang sama, pelan Takaful ini juga bertindak sebagai simpanan jangka panjang untuk menampung pengajian anak anda.

Takaful Am

Sementara itu, takaful am pula mempunyai produk-produk seperti berikut:

  • Takaful Kenderaan yang merangkumi takaful pihak ketiga yang melindungi anda dari kerugian dan kerosakan keatas kenderaan pihak ketiga yang disebabkan oleh kemalangan, kecurian, ataupun kebakaran. Apa yang istimewa, takaful ini turut melindungi pemegang polisi insurans daripada sebarang risiko kerugian dan kerosakan keatas harta, kecederaan dan juga kematian. Pelan takaful kenderaan yang menyeluruh akan melindungi pemegang dan juga pihak ketiga termasuk penumpang dari sebarang kerugian dan kecederaan akibat kemalangan, kecurian atau kebakaran.
  • Takaful Rumah adalah takaful yang terbahagi kepada 2 jenis iaitu Takaful Rumah (Houseowner) dan Takaful Isi Rumah (Householder). Takaful rumah melindungi struktur rumah pemegang polisi daripada sebarang kerosakan dan kerugian disebabkan oleh banjir, kebakaran, atau bencana lain. Takaful isi rumah (Householder) pula melindungi isi rumah, seperti   perabot, barangan rumah, peralatan elektrik, dan lain-lain dari kerosakan dan kerugian yang mungkin dialami.
  • Takaful Kemalangan Diri adalah takaful yang melindungi anda dan keluarga dengan cara menyediakan pampasan sekiranya berlaku kematian, kecederaan, atau kecacatan yang disebabkan oleh kemalangan yang mungkin berlaku.
Sumber: Renewtakaful

Beza di antara insurans dan takaful

Insurans dan takaful memberikan perlindungan kepada pemegang polisi. Secara asasnya kedua-duany memberikan perlindungan yang sama, namun terdapat beberapa perbezaan di antara keduanya. Di antara perbezaan di antara insurans dan takaful ialah:

  • Insurans adalah bersifat konvensional manakala takaful adalah bersifat islamik iaitu berlandaskan syariah.
  • Insurans adalah berdasarkan faktor komersial sahaja iaitu berasaskan keuntungan manakala takaful adalah berdasarkan konsep kerjasama memandangkan ia adalah patuh syariah.
  • Beza yang seterusnya ialah insurans adalah tertakluk kepada akta & undang-undang yang diwartakan kerajaan sahaja manakala takaful adalah tertakluk kepada undang-undang syariah dan undang-undang kerajaan.
  • Bagi insurans, premium yang disumbangkan oleh pemegang insurans boleh dilabur dalam semua bentuk pelaburan termasuk bidang yang tidak patuh Shariah manakala bagi takaful, wang pemegang takaful hanya boleh dilaburkan dalam pelaburan yang patuh syariah sahaja. Ini adalah perbezaan yang sangat penting bagi mereka yang beragama islam. Ini juga adalah di antara punca mengapa takaful semakin mendapat tempat dihati penganut agama islam.
  • Seterusnya, insurans mungkin mengandungi unsure Riba’, Gharar (ragu-ragu), dan Masyir (perjudian) sementara takaful adalah bebas daripada dari Riba’, unsur Gharar (ragu-ragu), dan Masyir (perjudian).
  • Beza yang terakhir ialah bagi insurans, risiko akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat insurans selepas bayaran dibuat oleh pemegang insurans sementara bagi takaful, risiko adalah dikongsi bersama oleh semua pihak dibawah perlindungan Takaful tersebut yang telah dipersetujui bersama.
Sumber: Acko

Itulah dia info tentang jenis insurans dan takaful perlu anda tahu yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang kelebihan takaful cara mudah memahami kontrak insurans dan kelebihan insurans perlindungan takaful

Rujukan:

1. Duduk Bersila

2. Compare Hero

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.