Hari ini hampir semua daripada kita mempunyai insurans. Kebiasaannya, apabila ejen insurans anda memberikan dokumen dasar tentang insurans anda, apa yang anda lakukan adalah menyimpan dokumen tersebut bersama-sama dengan dokumen-dokumen penting yang lain, bukan begitu?

Perlu diingatkan, perlindungan untuk orang Islam adalah berkonsepkan takaful.

Sekiranya anda membelanjakan ribuan ringgit setiap tahun untuk insurans, tidakkah anda terfikir bahawa anda perlu mengetahui semua tentangnya?

Memang betul anda boleh merujuk kepada ejen atau penasihat insurans anda untuk memahami bentuk dan dasar insurans anda, tetapi anda juga harus mengetahui isi kandungan kontrak anda. Justeru, dalam artikel ini, kita akan membincangkan tentang pembacaan kontrak insurans anda dengan mudah supaya anda dapat memahami prinsip asas dasar tersebut dan bagaimana ia digunakan dalam kehidupan seharian anda.

Kepentingan Kontrak Insurans

Terlebih dahulu, anda perlu tahu bahawa kontrak insurans anda bukan sekadar dokumen untuk disimpan, tetapi ia merupakan suatu kepentingan. Kepentingan yang pertama adalah berkenaan dengan penawaran dan penerimaan.

Semasa anda memohon insurans, perkara yang terlebih dahulu anda lakukan adalah mendapatkan borang cadangan daripada syarikat insurans. Selepas mengisi borang, anda akan hantar kepada syarikat insurans yang mana ini adalah tawaran anda.

Kemudian, sekiranya syarikat insurans tersebut setuju untuk melindungi anda, ini dipanggil penerimaan. Ini menunjukkan bahawa insurans yang anda beli adalah berdasarkan tawaran anda kepada syarikat insurans dan penerimaan syarikat insurans terhadap tawaran anda.

Kedua, kontrak penting untuk menunjukkan pertimbangan. Bagi anda, pertimbangan adalah wang yang anda bayar kepada syarikat insurans manakala bagi syarikat insurans, pertimbangan merujuk kepada wang yang akan dibayar kepada anda sekiranya anda memfailkan tuntutan insurans.

Seterusnya, kontrak insurans juga merupakan satu dokumen yang menunjukkan anda layak untuk mempunyai insurans. Ini menunjukkan kepentingan kontrak insurans dari segi kapasiti undang-undang di mana anda perlu bertauliah secara sah untuk menandatangani perjanjian.

Sebagai contoh, sekiranya anda pesakit mental atau seorang yang ditanggung, anda mungkin tidak layak untuk membeli insurans. Begitu juga dengan syarikat insurans, di mana syarikat insurans dan ejen mereka perlu mempunyai lesen yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum memberikan apa-apa kontrak kepada anda.

Yang terakhir, kontrak insurans adalah untuk tujuan undang-undang. Di mana dengan dokumen kontrak ini dapat membantu anda dalam tujuan atau kegunaan undang-undang sekiranya perlu.

Nilai Kontrak

Sebagai makluman, kebanyakan kontrak insurans adalah kontrak pampasan atau perlindungan atau ganti rugi. Kontrak ini dikenakan kepada insurans yang mana kerugian atau kerosakan yang dialami dapat dinilai dengan wang.

Untuk lebih jelas berkenaan dengan kontrak pampasan ini, anda perlu tahu tentang prinsip kontrak tersebut. Prinsip pampasan adalah satu prinsip yang menyatakan bahawa syarikat insurans akan membayar ganti rugi atau pampasan tidak lebih daripada kerugian yang dialami. Prinsip ini juga untuk memastikan anda dalam kedudukan atau keadaan kewangan yang sama sebelum kejadian atau insiden yang membawa kepada tuntutan insurans berlaku.

Sebagai contoh, sekiranya kereta Perodua Kancil lama anda telah dicuri, anda tidak boleh mengharapkan syarikat insurans anda akan menggantikannya dengan sebuah kereta Honda Civic yang baru atau memberi pampasan bukan berdasarkan harga semasa kenderaan anda yang hilang.

Dalam erti kata lain, dengan prinsip ini, anda akan diberi pampasan berdasarkan jumpah wang yang anda bayar untuk insurans kereta anda.Terdapat beberapa faktor tambahan kontrak insurans anda yang mewujudkan situasi di mana nilai penuh aset yang diinsuranskan tidak diuntungkan.

Imej via iLabur

Terdapat beberapa faktor tambahan kontrak insurans anda yang mewujudkan situasi di mana nilai penuh aset atau harta yang diinsuranskan tidak dilindungi atau mendapat pampasan yang sepatutnya. Antara situasi-situasi tersebut adalah kurang insurans (under-insurance), lebihan (excess) dan boleh ditolak ( deductible).

Kurang insurans atau “under-insurance” biasanya berlaku apabila anda cuba menjimatkan wang untuk insurans. Sebagai contoh anda boleh menginsuranskan rumah anda pada RM400,000 apabila nilai keseluruhan sebenar rumah anda adalah RM500,000.

Semasa berlaku kerosakan atau kehilangan separa, syarikat insurans anda hanya akan membayar separuh daripada jumlah RM400,000 tersebut dan selebihnya anda perlu mengeluarkan simpanan anda bagi menampung baki kerugian yang dialami. Sebaiknya anda harus cuba mengelakkan “terkurang insurans” ini sebanyak mungkin.

Manakala lebihan atau “excess” pula merujuk kepada lebihan yang perlu anda bayar. Kebanyakkan syarikat insurans telah memperkenalkan peruntukan seperti lebihan bagi mengelakkan tuntutan-tuntutan remeh. Ini bermakna syarikat insurans anda hanya akan menampung kerugian anda sekiranya kerugian tersebut mencapai atau melebihi kadar lindungan.

Sebagai contoh anda mempunyai insurans kenderaan dengan lebihan sebanyak RM7,000. Kemudian anda telah mengalami kemalangan atau kereta anda mengalami kerosakan dengan jumlah kerugian RM8,000. Syarikat insurans anda akan membayar kepada anda sebanyak RM8,000 kerana kerugian melebihi had yang ditetapkan iaitu RM7,000.

Sebaliknya, jika kerugian yang perlu ditanggung adalah RM6,000, syarikat insurans tidak akan membayar satu sen pun dan anda sendiri yang perlu menanggung perbelanjaan kerugian yang dialami. Pendek kata, lebihan ialah had minimum yang membolehkan anda membuat tuntutan sekiranya berlaku kerugian pada aset yang anda insuranskan.

Seterusnya adalah prinsip boleh ditolak atau “deductible”. Ia adalah jumlah yang anda bayar dalam perbelanjaan luar sebelum syarikat insurans membiayai perbelanjaan baki. Prinsip ini juga bermaksud wang poket yang perlu dibayar sebelum syarikat insurans anda membuat apa-apa bayaran.

Ia adalah satu prinsip yang diguna pakai oleh syarikat-syarikat insurans bagi mengelakkan tuntutan yang terlalu banyak dan mengehadkan kepada tuntutan yang betul-betul perlu dan jelas memerlukan kos yang besar. Justeru, sebagai contoh jika ditolak RM5,000 dan jumlah kerugian yang diinsuranskan adalah RM15,000, syarikat insurans anda akan hanya akan membayar tuntutan sebanyak RM10,000.

Kesimpulan

Tidak semua kontrak insurans adalah kontrak pampasan. Kontrak insurans nyawa dan kontrak insurans kemalangan yang peribadi adalah kontrak bukan pampasan.

Anda boleh membeli dasar insurans nyawa bernilai RM1  juta, tetapi itu tidak menunjukkan bahawa nyawa anda adalah sama dengan jumlah wang ini. Ini kerana anda tidak boleh mengira nilai nyawa anda atau menetapkan harga untuknya, justeru, kontrak pampasan tidak boleh diguna pakai.

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.