Isu perumahan dan pemilikan rizab Melayu sememangnya topik yang sangat ‘panas’ dalam dunia politik mahupun ekonomi.

Ayuh selusuri sejarah isu perumahan di Malaysia dan realiti kemelut perumahan yang melanda di negara kita. Jom!

Pengenalan

Pembangunan yang pesat di sekeliling kawasan-kawasan khusus ini teleh memberi tekanan yang tinggi terhadapnya untuk membangun seiring dengan pembangunan semasa. Justeru dalam Draf Pelan Struktur KL 2020, kerajaan berniat untuk menyusun semula kawasan-kawasan ini.

Pembangunan ini dirancang melalui penubuhan perbadanan-perbadanan pembangunan dengan kerjasama kerajaan dan swasta. Walau bagaimanapun, rancangan pembangunan ini telah mencetuskan konflik antara kerajaan dengan penduduk yang menentang usaha yang dianggap menggugat hak-hak mereka dan juga menghapuskan perkampungan Melayu yang menjadi warisan di kota metropolitan ini.

Kerajaan dituntut supaya nama-nama perkampungan tradisi Melayu di kawasan-kawasan Mukim Sentul, Setapak dan Gombak dikekalkan dan hak milik mereka mesti dimaktubkan di dalam Undang-Undang Tanah Negara dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kerajaan juga digesa menaikkan nilai tanah rizab Melayu setaraf dengan nilai harga di dalam kawasan lain di Kuala Lumpur.

Sejarah Isu Perumahan

Isu pengambilalihan tanah Kampung Chubadak

Imej via SelangorKini

Kerajaan telah memutuskan pengambilalihan tanah seluas 1.5 ekar termasuk kawasan Rezab Melayu di Kampung Chubadak yang membabitkan antara 25 hingga 30 buah keluarga bagi membina jajaran Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE).

Pengambilalihan ini telah menyebabkan sebuah lagi perkampungan tradisional orang Melayu lenyap di Kuala Lumpur memandangkan Kampung Cubadak tidak termasuk dalam senarai 12 buah kampung tradisional dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, isyarat itu jelas akan menjadi kenyataan.

Pemaju mendakwa jajaran alternatif yang dicadangkan itu lebih tinggi kosnya sedangkan kutipan tol selama 30 tahun nanti sudah lebih dari cukup untuk menampung kos tersebut.

Jawatankuasa bertindak berkenaan telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi pada 16 April 2006. Bagaimanapun bantahan dan rayuan penduduk gagal menghalang kerajaan meneruskan projek tersebut.

Pada 5 Disember 2006, DBKL merobohkan baki rumah di Kampung Chubadak dalam suasana kesedihan yang menyelubungi penduduk. Pihak polis menahan dua penduduk wanita ketika mereka cuba menghalang jentolak, tetapi mereka dibebaskan kemudiannya.

Isu penempatan setinggan

Imej via ISMA

Dasar setinggan sifar membawa banyak implikasi politik kepada parti pemerintah antaranya ialah kepercayaan umum bahawa kerajaan Barisan Nasional telah melakukan peminggiran terhadap orang Melayu di Kuala Lumpur secara sistematik.

Dalam era kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi, rancangan menghapuskan pendudukan setinggan telah diumumkan. Menurut Pengarah Pembangunan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan DBKL Azmi Abdul Hamid, kerajaan telah mengisytiharkan tahun 2005 sebagai tahun ‘Setinggan Sifar’, bagaimanapun ia dianjak ke tahun 2008.

Perobohan-perobohan setinggan telah membangkitkan kemarahan rakyat dan pada 14 September 2006, kira-kira 500 penduduk kampung setinggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor telah mengadakan bantahan secara aman di hadapan bangunan Parlimen kerana tidak puas hati dengan tindakan kerajaan Persekutuan dan negeri merobohkan rumah mereka.

Bantahan selama 2 jam oleh penduduk dari 15 kampung itu dianjurkan oleh Persatuan Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan di bawah Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).

Mereka membawa bersama poster dan sepanduk sambil melaung menuntut hak perumahan mereka. Gabungan itu menuntut agar pengusiran secara paksa, terutamanya di Selangor dan Kuala Lumpur segera dihentikan dan semua keputusan dan penyelesaian harus melalui rundingan bersama.

Kerajaan juga diminta menyediakan perumahan kos rendah yang tetap, sesuai dan selesa untuk mereka yang diarah berpindah.

Isu perumahan untuk golongan berpendapatan rendah

Imej via Datumjelatek

Salah satu masalah besar rakyat terutamanya generasi muda di bandar ialah perumahan mampu milik. Kerajaan lebih menumpukan pembangunan perumahan mewah yang dibangunkan oleh pemaju swasta yang lebih bermatlamatkan keuntungan rakyat begitu memerlukan rumah mampu milik.

Contohnya kawasan Keramat di Jalan Jelatik telah bertukar dari kawasan perumahan untuk golongan rendah menjadi ‘Datum Jelatik’, perumahan golongan elit yang menjadi tumpuan ekspatriat asing.

Jika sebelum ini warga Kuala Lumpur masih boleh mengharapkan untuk mencari perumahan selesa di kawasan Keramat, Setiawangsa, dan Wangsa Maju, keadaan itu dijangkakan akan berubah apabila semua kawasan itu sudah diwar-warkan sebagai kawasan elit terbaru yang mempunyai nilai hartanah yang tinggi kerana terletak sangat hampir dengan pusat bandaraya.

Kampung Sungai Penchala juga telah dihambat pembangunan pesat dengan pembinaan kondominium-kondominium mewah yang sudah tentu tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan orang-orang Melayu.

Realiti Isu Perumahan di KL dan Lembah Klang

Imej via iLabur

Jumlah nilai pelaburan hartanah, terutama bangunan komersial di Kuala Lumpur jelas menggambarkan ketidakseimbangan ketara dalam soal pemilikan kekayaan.

Di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang misalnya, kaum Melayu hanya memiliki sekitar 5% manakala kaum Cina mendominasi lebih daripada 75%.

Di Kuala Lumpur yang pendapatan isi rumah sederhana paling tinggi, rumah mampu milik sepatutnya sekitar RM280,000. Dengan pendapatan yang tidak cukup tinggi, golongan terbabit didapati sukar membeli rumah malahan dalam keadaan sekarang, sekurang kurangnya 75% daripada golongan berpendapatan rendah di bandar, tidak mampu membeli rumah.

Kenaikan kos sara hidup

Kos sara hidup di Malaysia telah melonjak sehingga 33% merangkumi kos-kos berkaitan dengan telekomunikasi, makanan, barangan, perubatan dan perbankan. Keperitan rakyat ini disukarkan lagi dengan kos pembelian rumah yang sangat tinggi.

Sejarah kenaikan harga rumah di Malaysia telah menunjukkan kenaikan mendadak berlaku antara tahun 2010 hingga 2013, sedangkan purata pendapatan bagi rakyat Malaysia antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan tetapi harga rumah kebanyakannya berharga antara RM250,000 dan ke atas.

Lambakan kondominium

Situasi di Kuala Lumpur bahawa berlakunya lambakan kondominium mewah berjumlah 21,069 unit berharga lebih RM800 sekaki pada
akhir tahun 2014. Ini menunjukkan berlaku peningkatan sehingga 21 peratus berbanding tahun 2013.

Antara lambakan kondominium-kondominium mewah yang kurang penyewa ini adalah seperti

  • Setiasky Residence Blok C di Jalan Tun Razak
  • The Green di Taman Tun Dr. Ismail
  • Icon Residences @ Platinum Park di Jalan Stonor, KLCC
  • The Robertson (South Tower) di Jalan Pudu, Kuala Lumpur

Dilema Rakyat

Realiti dilema yang dihadapi warga kota Kuala Lumpur hari ini adalah ketidakupayaan memiliki rumah sendiri. Data menunjukkan 64% tidak layak membeli rumah di Kuala Lumpur.

Harga purata rumah di negara ini adalah 4.4 kali lebih tinggi berbanding purata gaji tahunan sebenar rakyat Malaysia dan kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati, harga itu ‘sangat tidak mampu dimiliki’ atau ‘sangat mahal’ berdasarkan piawaian antarabangsa.

Kesimpulan

Isu-isu perumahan di Kuala Lumpur akan terus kekal menjadi suatu isu yang akan terus diperdebatkan pada masa kini dan masa yang akan datang. Hakikatnya isu-isu perumahan di Kuala Lumpur adalah sangat kompleks yang memerlukan suatu perancangan dan keazaman yang kuat daripada pihak pemerintah untuk mengatasinya.

Arus pembangunan pesat menyebabkan tekanan yang tinggi ke atas beberapa kawasan di Kuala Lumpur yang  membabitkan pengagihan guna tanah, kawasan pertumbuhan baru dan pembangunan infrastruktur yang secara tidak langsung menyentuh kehidupan rakyat dari segenap lapisan adalah bahagian yang paling sukat ditangani oleh kerajaan yang memerintah sehingga kini.

Jemput juga abca artikel inflasi dan maksud pendapatan kasar

Rujukan

  1. Ali, M., Besar, J. A., & Yusof, M. F. (2016). ISU-ISU PERUMAHAN DAN IMPAK GEOPOLITIK DI KUALA LUMPUR: SEJARAH, REALITI & MASA DEPAN. e-BANGI11, 45-59.
  2. Himmelberg, C., Mayer, C., & Sinai, T. (2005). Assessing high house prices: Bubbles, fundamentals and misperceptions. Journal of Economic Perspectives19(4), 67-92.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.