Pada mulanya Dr. Mahathir berpandangan bahawa Komanwel tidak dapat membantu Malaysia dan sebagai sebuah pertubuhan yang tidak berfungsi yang dikuasai oleh Negara-negara Maju terutama Britain.

Apakah yang berlaku seterusnya?

Teruskan bacaan artikel ini untuk mengetahui sejarah Komanwel dan pendirian serta peranan Dr. Mahathir dalam mencorakkan hala tuju dan ekonomi negara melalui Komanwel semasa era pemerintahan beliau menjadi Perdana Menteri ke-4 Malaysia.

Pengenalan

Pertubuhan Komanwel adalah sebuah pertubuhan yang lama dianggotai oleh Malaysia iaitu selepas mencapai kemerdekaan.

Apabila Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia, beliau telah mengambil sikap dingin dan berkecuali terhadap pertubuhan Komanwel yang memang selama ini adalah dianggap penting dan banyak membantu Malaysia.

Beliau berpendapat Komanwel sebagai sebuah pertubuhan yang tidak berfungsi secara lebih berkesan dan Malaysia tidak perlu memberi perhatian terhadap Komanwel.

Ia juga disebabkan oleh sikap beliau sebagai seorang anti Barat telah membuatkan beliau tidak mahu melibatkan diri secara langsung dengan Komanwel.

Komanwel dianggap telah dikuasai oleh Britain kerana kebanyakan negara yang menganggotai Komanwel adalah negara yang pernah dijajah oleh Britain. Kebanyakan negara anggota Komanwel mempunyai pandangan dan mentaliti yang masih memandang tinggi terhadap Britain walaupun telah merdeka.

Latar Belakang Komanwel

Ahli Komanwel terdiri daripada negara-negara yang pernah dijajah oleh pihak Britain. Pada tahun 1884, idea Commonwealth of Nations dicetuskan oleh Lord Rosebury. Beliau adalah seorang ahli politik British.

Tujuan penubuhan Komanwel adalah bagi mengkategorikan wilayah-wilayah yang sudah berkerajaan sendiri seperti Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Irish Free State. Namun begitu, ketua kerajaan masih lagi Raja Britain. Komanwel diwujudkan selepas Imperial Conference pada tahun 1926 di London.

Pada tahun 1931, negara-negara ini telah dikenali sebagai the British Commonwealth of Nations dan diberi hak bersuara dalam Statue of Westminster.

Keahlian Komanwel

Keahlian Komanwel terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  1. Negara-negara ahli yang masih mengiktiraf Ratu Britain sebagai ketua negara seperti Australia, New Zealand dan Fiji
  2. Negara-negara Republik seperti India, Pakistan dan Singapura
  3. Negara yang mempunyai raja sendiri seperti Malaysia dan Brunei Darussalam

Pada asasnya Komanwel ditubuhkan dengan tujuan untuk menyatukan semula tanah jajahan Inggeris yang telah merdeka dan secara tidak langsung pihak Britain masih dapat menjaga kepentingan ekonomi mereka.

Komanwel adalah sebuah badan runding yang tidak terikat dengan sebarang perjanjian dan menjadi forum perbincangan ahli-ahli anggota bagi mencari persefahaman isu-isu bersama. Keanggotaan ahli Komanwel adalah secara sukarela.

Kronologi Komanwel

Selepas Perang Dunia Kedua

Keadaan politik dunia telah berubah dengan adanya proses dikolonialisasi. Pada tahun 1947, negara India dan Pakistan mencapai kemerdekaan.

Walaupun negara India sudah menjadi sebuah negara republik, namun keahliannya diterima dan diluluskan pada tahun 1949 dalam Persidangan Perdana Menteri Negara-negara Komanwel.

Seterusnya melalui Deklarasi London 1949 Komanwel Moden telah ditubuhkan. Nama British Commonwealth of Nations telah berubah menjadi Commonwealth of Nations.

Ianya bagi mencerminkan kebebasan dan kedaulatan negara-negara ahli Komanwel. Syarat bagi menerima raja atau ratu Britain sebagai ketua kerajaan negara-negara ahli Komanwel telah tidak dikuatkuasakan lagi.

1950

Komanwel mempunyai anggota terdiri lapan negara iaitu negara Australia, Britain, Kanada, Ceylon, India, New Zealand, Pakistan dan Afrika Selatan.

1960

Pada tahun 1960, Komanwel hanya terdiri 11 negara dan pada tahun 1970, ia meningkat kepada 30 negara. Penubuhan Komanwel ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan kerana banyak negara di bawah empayar Britain yang telah mencapai kemerdekaan terus menjadi ahli anggota Komanwel

1965

Sekretariat Komanwel telah ditubuhkan di London pada tahun 1965 sebagai pusat pentadbiran Komanwel dan ia diketuai oleh Setiausaha Agung Komanwel.

1971

Walau bagaimanapun Prinsip-prinsip Deklarasi Komanwel Singapura 1971 diwujudkan pada Persidangan Ketua-ketua Komanwel di Singapura yang mempunyai empat belas prinsip utama. Prinsip-prinsip ini telah disahkan pada Deklarasi Komanwel Harare 1991.

Malaysia dan Komanwel

Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia menjadi anggota ahli Komanwel. Dalam dasar luar Malaya, Komanwel menjadi pertubuhan yang kedua terpenting selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

Pandangan Dr. Mahathir Terhadap Komanwel

Mahathir menjelaskan perkataan Komanwel membawa makna berkongsi kemewahan antara ahli-ahli, istilah Komanwel digunakan untuk menggambarkan satu bentuk kerajaan yang ditubuhkan oleh Oliver Cromwell di mana kekayaan negara dinikmati bersama.

Pada hakikatnya bukanlah bermakna kongsi kemewahan. Negara-negara yang kaya dalam Komanwel tidak mahu berkongsi kekayaan mereka dengan negara-negara miskin dalam Komanwel.

Setelah mengambil alih tampok pemerintahan, Dr. Mahathir telah mengambil keputusan untuk mengkaji semula kedudukan Komanwel yang dianggap kurang membantu Malaysia terutama kepada beberapa negara dalam Komanwel. Beliau berkata:

“Not getting much help, particularly from certain Commonwealth countries.”

Malaysia meletakkan kedudukan Komanwel di tempat keempat dalam hubungan luar negara selepas ASEAN, OIC dan NAM. Dr. Mahathir menjelaskan:

“It is because of this that Malaysia has relegated the Commonwealth to fourth place in order of priority in its foreign relations.”

Selain daripada kesamaan yang terdapat antara negara-negara Komanwel tidak ada apa kelebihan yang boleh dikongsi kemewahan di Komanwel. Dr. Mahathir menyatakan:

“We appreciate the ambience created by the knowledge of common language. We do feel comfortable in surroundings which are often familiar, but beyond that there is really very little.”

Anggapan Dr. Mahathir Terhadap Komanwel

Antara ungkapan yang pernah disampaikan oleh Dr. Mahathir berkaitan konsep Komanwel ialah:

  • hidup segan
  • creature of the past
  • tidak banyak memberi faedah kerana lebih banyak bercakap daripada bekerja
  • Komanwel dianggap tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dunia dan juga tidak mampu menyumbang apa-apa kepada dunia
  • There is too much talk with nothing tangible

Tindakan Dr. Mahathir

Mesyuarat di Melbourne

Dr. Mahathir tidak menyertai Mesyuarat-mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel yang telah diadakan iaitu di Melbourne, Australia pada tahun 1981 dan di New Delhi, India pada tahun 1983.

Beliau berpendapat bahawa mesyuarat-mesyuarat tersebut tidak begitu memberi kesan dalam menyelesaikan masalah-masalah Negara-negara Membangun terutama dalam bidang ekonomi dan perdagangan di mana kerjasama daripada Negara-negara Maju dalam Pertubuhan Komanwel untuk mengatasi masalah tersebut tidak menggalakkan.

Penentangan Dasar Aparteid

Berbeza pada Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel yang diadakan di Nassau, Bahamas pada 16hb hingga 22hb Oktober, 1985 beliau telah mengambil keputusan untuk menghadirinya.

Beliau ingin menggunakan kesempatan tersebut bagi menggesa ahli-ahli Komanwel terutama negara-negara Barat untuk bersatu dalam mengambil tindakan tegas dari segi sekatan ekonomi dan perdagangan terhadap negara Afrika Selatan supaya negara tersebut dipaksa menghapuskan sama sekali dasar aparteid yang telah mengakibatkan penderitaan dan pengorbanan nyawa terutama rakyat kulit hitam di Afrika Selatan.

Pandangan Isu Politik dan Ekonomi Negara

Selain daripada tujuan utama itu, Dr. Mahathir telah juga memberi pandangan-pandangan terhadap isu-isu politik dan juga ekonomi yang penting bagi Malaysia kepada forum tersebut dan telah berusaha mendapatkan komitmen daripada rakan-rakan sejawat beliau dari negara-negara Komanwel lain untuk bersatu dan bermufakat mengatasi masalah-masalah semasa yang dihadapi.

Beliau telah menegaskan di mesyuarat tersebut perlunya bagi Negara-negara Maju dalam Komanwel menukar sikap terhadap dasar ekonomi dan perdagangan mereka dan menunjukkan tanda ikhlas dalam membantu ahli-ahli Komanwel yang lain supaya potensi pertubuhan itu dapat dicapai demi kebaikan bersama.

Perubahan Komanwel

Tindakan Dr. Mahathir dengan ucapan yang bernas dan berterus-terang oleh beliau di Persidangan Komanwel di Bahamas telah mendapat reaksi daripada semua ahli-ahli anggota Komanwel yang menghadiri mesyuarat tersebut begitu menggalakkan sekali.

Malah dengan ucapan yang begitu tegas itu telah pun mencetuskan suasana yang sesuai untuk perbincangan-perbincangan seterusnya telah pun diadakan dengan penuh serius. Beberapa keputusan telah pun dicapai dan menguntungkan semua pihak.

Pihak Britain sendiri telah pun menukar sikapnya yang begitu berdegil pada mulanya kepada satu sikap tolak ansur sebagaimana yang terdapat dalam perjanjian terakhir mesyuarat tersebut.

Kepentingan Malaysia – Komanwel

Sekembali Dr. Mahathir daripada Persidangan Kemuncak Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Nassau, Bahamas, Dr. Mahathir telah menggesa supaya diadakan satu kajian tentang objektif dan kepentingan Malaysia di dalam Komanwel.

Pada tahun 1986, Kementerian Luar Negara berserta dengan Institut Kajian Strategik dan Hubungan telah membuat kajian semula rasional keanggotaan Malaysia dalam Komanwel, antaranya:

  • kegunaan dan keunikan Komanwel sebagai sebuah forum perbincangan di antara Ketua-Ketua Kerajaan
  • peranan Komanwel di peringkat antarabangsa yang mempunyai pengaruh sebagai satu kumpulan yang mewakili kuasa moderate dan konstruktif bagi keamanan dunia dan kerjasama
  • peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai perunding multilateral
  • pengiktirafan pelbagai badan  dalam Komanwel sendiri
  • potensi bagi pembangunan kerjasama intra-Komanwel
  • Malaysia juga boleh memainkan peranan yang lebih aktif dan meminta perubahan yang konstruktif dalam Komanwel

Akhirnya Malaysia mengambil pendirian untuk meneruskan keahliannya dalam Komanwel. Dr. Mahathir mengiktiraf peranan Komanwel dibandingkan sebelum ini sebagai sebuah forum antara bekas negara-negara penjajah dengan negara-negara yang dijajah.

Kesimpulan

Komanwel adalah sebuah pertubuhan yang dapat memberi teguran atau kritikan terhadap sesuatu isu dengan lebih efektif apabila semua anggota mendapat persetujuan dan tiada kuasa veto.  Walaupun Britain adalah sebuah negara yang telah menjajah anggota negara Komanwel tetapi tidak lagi dapat menguasai Komanwel.

Perubahan masa telah menyebabkan Malaysia tidak lagi condong kepada Britain dan keputusan yang diambil adalah mengikut pendirian majoriti.

Mahathir telah meletakkan semula Komanwel sebagai sebuah pertubuhan yang boleh membantu Malaysia dan secara tidak langsung dapat mengembangkan dan meningkat ekonomi Malaysia serta menarik dari pelbagai negara yang melabur di Malaysia. Kelebihan yang terdapat dalam Komanwel digunakan oleh Malaysia terutama dalam aspek ekonomi.

Jemput baca artikel sumbangan perdana menteri Malaysia

Rujukan

  1. Daud, M. A., Besar, J. A., & Lyndon, N. (2016). PERANAN MAHATHIR DALAM MENCORAKKAN HALA TUJU MALAYSIA TERHADAP KOMANWEL (Role of Mahathir Shaping the Direction of Malaysia in the Commonwealth). e-Bangi13(4).
  2. Muda, M. (1991). Malaysia’s foreign policy and the Commonwealth. The Round Table80(320), 455-466.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.