Tahukah anda, kerajaan Melaka pada zaman dahulu merupakan sebuah kerajaan pemerintahan yang masyhur? Tinggalan sejarah seperti barangan logam, penempatan dan tinggalan budaya yang dikaitkan dengan kehidupan berkurun-kurun yang lampau, menunjukkan bahawa era kegemilangan Melaka telah menarik ramai pedagang dari luar dan merancakkan perkembangan perdagangan di rantau ini.

Oleh itu, artikel kali ini ingin berkongsikan sejarah matawang yang digunakan dalam urusan perdagangan dan kewangan. Kita throwback mata wang kesultanan Melayu Melaka semula. Jom baca!

Pendahuluan

Kerajaan Melayu Melaka, Srivijaya, Oc Eo, Ligor, Singora, Lembah Bujang, Kuala Selinsing, Kan-t’o-li, Jambi, Majapahit dan lain-lain menjana pendapatan kawasan sekitar sejak sebelum kedatangan kuasa penjajah lagi.

Jalan-jalan perdagangan ini akhirnya dikuasai oleh pedagang-pedagang dari Portugis dan Belanda yang telah mula berlayar merentasi Lautan Hindi sejak abad ke-16. Dominasi ini berlaku akibat daripada kekayaan yang dinikmati oleh pusat perdagangan di Alam Melayu contohnya kedudukan Kerajaan Melayu Melaka di Selat Melaka yang menjadi pusat pertembungan dalam hubungan perdagangan di antara Timur dan Barat.

Melaka yang berfungsi sebagai pelabuhan entrepot telah menarik minat Portugis dan berjaya menguasainya pada tahun 1511. Kedatangan Portugis juga telah membuka minat kepada pihak Belanda dan Inggeris untuk mula meluaskan kawasan perdagangan mereka ke kawasan Asia Tenggara dan seterusnya memonopoli perdagangan di Alam Melayu.

Imej via Billyinfo

Transaksi dan Mata Wang

Sistem transaksi atau penyelesaian pembayaran dalam perniagaan atau urus niaga yang paling awal ialah sistem barter pada Zaman Logam.

Zaman logam telah wujud di rantau ini apabila penduduk tempatan mempunyai hubungan dengan luar. Manusia zaman ini telah mengetahui menggunakan logam sebagai peralatan.

Pada zaman logam ini, masyarakat Melayu tradisional dipercayai sudah pandai membina dan menggunakan perahu. Masyarakat ini juga telah mula menukar barangan dengan pedagang-pedagang dari luar.

Dengan ini, wujud sistem barter dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional. Sistem barter ini memainkan peranan penting dalam kewujudan sistem kewangan dalam masyarakat Melayu tradisional khususnya di kawasan Melaka.

Sistem Barter

Sistem barter ialah sistem ekonomi yang berasaskan keperluan secukup hidup tidak memerlukan sistem pemasaran yang meluas. Sistem barter adalah salah satu contoh pertukaran barang-barang secara langsung yang tidak melibatkan apa-apa pertimbangan seperti zaman moden.

Dalam pertukaran ini, konsep pertimbangan tidak wujud secara langsung. Oleh sebab itu, tiada konsep harga dalam transaksi ini. Dalam sistem barter ini, ketepatan kuantiti sesuatu barang biasanya telah ditentukan berasaskan adat iaitu untung yang dapat daripada transaksi ini adalah biasanya berbeza daripada keuntungan yang dapat daripada sistem perniagaan yang lebih sistematik dan tepat.

Keuntungan ini tidak sama antara kedua-dua pihak yang terlibat dalam transaksi ini. Dalam sistem sistem barter ini, kadar pertukaran ditentukan sebagai nisbah pertukaran. Nisbah pertukaran ini perlu ditetapkan berdasarkan keadaan dan tiada nisbah yang tetap.

Kelemahan Sistem Barter

Namun begitu penggunaan sistem ini sememangnya mempunyai banyak kelemahan. Kelemahan yang utama ialah tiada wujudnya standard atau kadar yang sesuai dan tepat untuk menentukan nilai-nilai barang yang ingin diurus niagakan.

Barang yang ditukarkan mungkin mempunyai nilai yang tidak setaraf atau sesuai dengan barang yang hendak ditukarkan. Sistem barter ini juga hanya berfungsi sekiranya wujud kemahuan yang serentak dari kedua-dua belah pihak.

Kemahuan yang serentak ini juga merupakan salah satu kelemahan dalam pelaksanaan sistem ini.

Kelemahan-kelemahan inilah yang akhirnya membawa kepada kemunculan sistem mata wang yang diwujudkan bertujuan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam sistem barter dan memudahkan lagi urusan perdagangan dijalankan.

Wang Primitif

Cengkerang siput cowrie yang dijadikan simbol mata wang zaman dahulu. Imej via Facebook Kelab Rekreasi Borneo

Pada peringkat permulaan, wang primitif berbentuk siput Cowrie dan kepingan logam atau syiling yang diguna pakai sebagai pengganti kepada sistem barter.

Kemudian menjelang pertengahan abad ke-15, pembuatan mata wang mula dijalankan di Tanah Melayu khususnya Melaka yang pada ketika tu sudah mula dikenali sebagai sebuah pelabuhan perdagangan yang dikenali ramai.

Pada ketika itu, mata wang logam diperbuat daripada kaleng atau turut dikenali sebagai Calains yang diperbuat dalam bentuk timah.

Contoh mata wang timah Calains. Imej via Cgrohaida

Penggunaan mata wang Calains inilah yang juga turut menjadi salah satu daripada punca Kerajaan Melaka menjadi pelabuhan yang dikenali ramai dan menjadi pusat perdagangan, selain dari kedudukan geografinya yang strategik, kemudahan dan perkhidmatan cemerlang yang disediakan di pelabuhan, jaminan keselamatan dan banyak lagi.

Meskipun penggunaan mata wang telah diwujudkan pada ketika itu, namun mata wang lain masih tetap digunakan dan aktiviti pertukaran mata wang juga turut dijalankan yang melibatkan antara mata wang asing dengan mata wang tempatan.

Sistem pertukaran mata wang dijalankan berdasarkan jadual-jadual khusus yang dengan jelasnya menetapkan nilai pertukaran setiap mata wang dan kadar timbangan yang akan digunakan. Hal ini adalah bertujuan untuk mewujudkan keseragaman dan kelicinan dalam urusan kewangan kerajaan.

Sistem Mata Wang Tersendiri

Pada zaman kesultanan Melaka, dipercayai bahawa mereka sudah mempunyai sistem mata wang sendiri.

Kerajaan Melayu Melaka sememangnya mempunyai mata wang sendiri yang mana pada ketika itu dikenali sebagai calain, cashes, reis dan ceitis.

Kesemua mata wang itu dikatakan berbentuk syiling yang diperbuat daripada timah dan syiling-syiling tersebut tertulis di atasnya nama-nama sultan yang memerintah Kerajaan Melaka pada waktu itu.

Nilai bagi mata wang yang sedia ada itu adalah 100 cashes bersamaan dengan 1 calain. Ini menunjukkan konsep nilai-nilai matawang apabila nilai calain lebih tinggi berbanding nilai cashes.

Kerajaan Melaka yang sememangnya dikenali sebagai sebuah pusat perdagangan pada masa itu, turut juga menggunakan mata wang dari Cambay dan Ormuz selain daripada mata wang mereka yang sedia ada itu.

Penggunaan Mata Wang

Walau bagaimanapun, sistem mata wang tidak begitu memainkan peranan yang penting di tempat-tempat pedalaman seperti di kawasan di mana datangnya hasil eksport dan bahan makanan.

Penggunaan mata wang ini lebih jelas kelihatan di kawasan pelabuhan-pelabuhan sahaja, manakala bagi masyarakat di bahagian pedalaman, ada yang langsung tidak menggunakannya atau paling kurang hanya menggunakan mata wang yang nilainya rendah sahaja.

Kesimpulan

Kemunculan bandar-bandar pelabuhan entrepot seperti Melaka telah menjadikan kawasan Asia Tenggara khasnya di Kepulauan Melayu menjadi kuasa besar dalam aktiviti perdagangan dunia di mana hubungan perdagangan antarabangsa dengan China, India dan Arab telah wujud.

Pengenalan cukai dan sistem mata wang telah menstabilkan lagi kedudukan ekonomi dan menjamin perdagangan yang lebih adil dan saksama berbanding dengan sistem barter yang dipraktikkan sebelum ini. Semoga anda menyukai artikel tentang mata wang kesultanan Melayu Melaka ini. Jemput juga baca mata wang dunia dan sejarah mata wang Malaysia

Rujukan

  1. Anuar AB.Razak, Perubahan Ekonomi Ruang Semenanjung Tanah Melayu Dari Kemantapan Zaman Tradisi Kepada Ketidakpastian Di Tahun 70-An Dan Janji-Janji Kemantapan Semula Pada Tahun-Tahun 80-An, Institut Bahasa, Kesisasteraan Dan Kebudayaan Melayu Universti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1989, hlm.2-3.
  2. Armando Cortesao, The Suma oriental of Tome Pires: an account of the East, from the Red Seato Japan, written in Malacca and India in 1512-1515, The Hakluyt Society, London, 1967, hlm. 275.
  3. Hamilton Alexander Rosskeen Gibb, Ibn Batutta Travels in Asia and Africa 1325-1354, Routledge & Kegan Paul, London, 1929, hlm. 273.
  4. Nordin Hussin, Geografi dan Perdagangan: Kepentingan Selat Melaka kepada Perdagangan Dunia, Asia dan Dunia Melayu 1700-1800, Akademika, Volume 73, 2008, hlm. 12-13.
  5. Robert S.Wicks, Money, Markets, And Trade In Early Southeast Asia The Development Of Indigenous Monetory Systems To AD 1400, Cornell University, New York, 1996, hlm. 6-9.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.