Ustaz Haji Jafri antara tokoh agamawan yang terkenal di Malaysia dan sangat aktif dalam bidang dakwah. Nama penuh beliau ialah Jafri bin Abu Bakar@Mahmud dan lebih dikenali dengan nama Ustaz Jafri Mahmoodi.
Beliau dilahirkan pada tahun 1976 di Kampung Tambun Tulang, Arau, Perlis, putera bongsu daripada 5 orang adik beradik. Ustaz Haji Jafri dikurniakan 8 orang cahaya mata serta memiliki tiga orang isteri. Beliau sangat gemar berbasikal dan sering melakukannya jika ada kesempatan.
Imej via Facebook
Ustaz Haji Jafri bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tambun Tualang mulai darjah 1. Ketika darjah 6, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah diperkenalkan dan beliau telah berjaya mendapat keputusan 4A 1C.
Beliau memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah, Arau, Perlis yang merupakan sekolah aliran agama. Antara ulama dan tokoh agamawan yang pernah mendapat pendidikan di sekolah ini adalah Allahyarham Tuan Guru Dato’ Dr Haron bin Din, Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, Datuk Hassan Mahmudal Hafiz pernah bersekolah di sekolah yang sama.
Walaupun berada di sekolah aliran agama, namun Ustaz Haji Jafri tidak mengambil aliran agama dan memilih aliran sastera. Sentiasa cemerlang dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biarpun belajar di saat akhir. Beliau juga telah dihadiahkan dengan sebuah motosikal kerana mendapat keputusan SRP yang cemerlang. Biarpun cemerlang dalam SPM, namun Ustaz Haji Jafri tidak meneruskan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi, sebaliknya mencari pekerjaan.
Ustaz Haji Jafri telah memulakan kerjaya pertama sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Jabatan Pendidikan, Pulau Pinang. Gaji permulaan pada ketika itu hanyalah RM 400. Sekolah pertama beliau adalah Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas dan subjek yang diajar adalah Sains dan Matematik untuk tempoh dua tahun. Kemudian, beliau menjawat jawatan pegawai bahagian pinjaman di Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) bagi tempoh tiga tahun. Selepas berakhirnya kerjaya di bidang perbankan, Ustaz Haji Jafri beralih pula ke industri pembinaan dengan bekerja di Bertam Properties.
Beliau menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA)di Open University Malaysia (OUM.) Universiti ini sesuai untuk orang yang bekerja kerana boleh terus menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Ustaz Haji Jafri turut menimba ilmu agama di Madrasah milik Tuan Guru Haji Abdul Mutalib bin Hj Maarof ketika itu. Beliau juga turut berkhidmat untuk Tuan Guru dengan membawanya ke tempat memberi kuliah, ceramah, mengajar kitab dan sebagainya. Namun, perkhidmatannya terhadap Tuan Guru terpaksa dihentikan sebaik sahaja bapa beliau telah disahkan menghidap kanser limfoma.
Beliau sekeluarga telah berpindah ke rumah bapanya dan tinggal bersama di Perlis demi menjaga bapanya yang sedang sakit. Pada ketika ini beliau telah kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan buat seketika. Namun, beliau telah ditawarkan bekerja dengan Syarikat HPA Industries Sdn Bhd di bahagian business development dan international marketing.
Oleh kerana beliau sangat fasih berbahasa inggeris dan bahasa Arab, Ustaz Haji Jafri telah diberi peluang untuk mengembangkan perniagaan tersebut dengan membuka cawangan HPA di Dubai, Arab Saudi, UAE, Jakarta, Brunei, Singapura dan banyak lagi. Semasa bekerja dengan Syarikat HPA, beliau telah banyak menimba pengalaman serta mengasah bakat dalam pertuturan serta ilmu pentadbiran perniagaan.
Setelah beberapa ketika berkhidmat dengan Syarikat HPA, Tuan Guru Haji Abdul Mutalib telah memanggil semula dan menasihati Ustaz Haji Jafri agar terus belajar serta mendahulukan hal keagamaan berbanding duniawi. Ditakdirkan rezeki beliau dapat menjejakkan kaki ke Mekah dan ketika itu beliau beristikharah.
Beliau diberikan petunjuk agar berpindah ke madrasah dan berhenti dari pekerjaan lama. Ustaz Haji Jafri bersama keluarga telah berpindah ke madrasah dan kembali mendalami ilmu agama di Yayasan An-Nahdhoh, Pulau Pinang. Beliau telah kembali berkhidmat dan berbakti kepada Tuan Guru Haji Abdul Mutalib dan pada masa yang sama turut menuntut ilmu dengan Tuan Guru pada waktu malam.
Pada tahun 2009, Ustaz Haji Jafri telah diminta untuk mengajar di sekolah Tahfiz. Malah, beliau juga turut diminta menggantikan Tuan Guru untuk menyampaikan kuliah kepada Jemaah luar semasa kuliah Dhuha dengan keizinannya. Disinilah bermulanya langkah pertama Ustaz Haji Jafri menceburi bidang dakwah. Beliau turut menuntut ilmu agama dengan beberapa guru lain, antaranya Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil (ilmu hadis dan feqah), Tuan Guru Hj Ahmad bin Ali (ilmu usul figh) dan serta ilmu muthalah sahih bukhari dan tasawwuf dari Tuan Guru Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli. Ilmu dituntut sehingga bapanya meninggal dunia.
Imej via jethrojeff
Setelah bapa Ustaz Haji Jafri meninggal dunia, beliau mulai terfikir untuk melakukan perkara yang dapat mengalirkan pahala secara berterusan kepada allahyarham bapanya. Dengan pengalaman yang dimiliki, beliau membangunkan madrasah sempena nama arwah bapa pada tahun 2009. Madrasah ini mengambil masa 2 tahun untuk dibangunkan dan siap pada tahun 2011 yang menyediakan kemudahan pengajian berbentuk umum masyarakat serta pra-tahfiz bagi anak-anak yang datang mengaji Al-Quran dan fardhu Ain pada waktu malam.
Ustaz Haji Jafri turut menyambung pengajian di peringkat diploma di Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) dalam bidang Tasawur Islam secara Pembelajaran Jarak Jauh (PJJ). Beliau kemudiannya telah ke Yaman pada tahun 2012 untuk menyambung pengajiannya di sana.
Ustaz Haji Jafri ke Yaman dengan dua tujuan iaitu mempelajari serta mendalami ilmu agama dengan para ulama di sana serta ingin memperkukuhkan bahasa Arab. Beliau telah mendaftar di Maahad Lughatul Arabiah yang terletak di Sana’a, Yaman dan menimba ilmu selama tiga tahun serta memperoleh keputusan cemerlang setelah tamat pengajian.
Ustaz Haji Jafri pernah dilantik menjadi Exco Dewan Dakwah Majlis Dakwah Negara, Timbalan Pengerusi Majlis Huffaz HESA negeri Kedah, Projek Kebajikan dan Keagamaan Orang Asli Kg Gapam Baru Melaka (Yayasan DMDI) dan banyak lagi. Beliau juga sering menjadi penceramah jemputan jabatan kerajaan dan swasta di Malaysia. Malah, beliau juga turut menjadi salah seorang panel dalam rancangan Tanyalah Ustaz TV9 dan TV3, Panelis Assalamualaikum TV Al-Hijrah, Panelis Al-Kuliyyah TV3 serta menjadi hos rancangan Ayat Riwayat Musim ke-5 dan 6 TV Al-Hijrah.
Selain rancangan televisyen, beliau juga turut menyampaikan dakwah melalui siaran radio Malaysia seperti Manis.FM Terengganu (Tazkirah Subuh), penceramah jemputan di Mutiara.fm, Perak.fm serta menjadi panel hiwar Islam di Selangor.fm. Beliau yang sememangnya komited terhadap penyampaian dakwah Islam turut menulis buku berjudul Amalan Mengangkat Darjat (Galeri Ilmu) 2017, Hidup dalam Sunnah (Galeri Ilmu) 2018, Amalan Mengundang Rahmat Allah (PTS Publication) 2019, Doa Dalam Al-Quran, Kisah dan Tafsiran (PTS 2020) dan Mukjizat Rasulullah S.A.W (Galeri Ilmu) 2021.
Beliau kembali ke tanah air dan membangunkan pula madrasah sendiri iaitu Maahad Tahfiz Darul Faizin pada tahun 2014 dan ianya yang pertama dibangunkan di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Pada tahun 2015, beliau telah memperbesarkan Maahad tersebut di atas tanah bersaiz lapan ekar di Bandar Baru, Kedah sehingga berjaya membangunkan sebuah Kompleks Islam Darul Faizin yang menempatkan Pra Tahfiz Darul Faizin, Maahad Tahfiz Darul Faizin serta kelas pengajian buat warga emas.
Demi agama tercinta, Ustaz Jafri sanggup menghabiskan masanya serta berkorban wang ringgit. Malah, beliau meletakkan sepenuh harapan kepada Allah yang Maha Mengetahui bagi setiap perjalanan kehidupannya. Beliau seorang yang sentiasa berusaha menimba ilmu dengan para ulama serta tuan guru biarpun telah memiliki sijil kelulusan pengajian dari university di pelbagai peringkat. Sifat kepimpimpinan yang sangat adil jelas terlihat tatkala beliau membahagikan tugas kepada ketiga – tiga isterinya yang turut bekerja di syarikat yang dibangunkan. Malah, Ustaz Haji Jafri juga sering mendapatkan nasihat serta merujuk kepada pandangan ulama dalam memikul tanggungjawab yang diberikan.
Ustaz Haji Jafri sememangnya sangat komited dalam menyampaikan dakwah di Malaysia. Pelbagai usaha telah dilakukan termasuklah membangunkan Maahad Tahfiz demi mengembangkan ilmu agama kepada masyarakat.
Jom semak biodata Ustaz Don dan biodata Ustaz Kazim Elias