Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal merupakan seorang insan berketurunan Bajau. Dillahirkan pada 20 Oktober 1956 di daerah Semporna. Beliau yang berketurunan Bajau etnik Kubang dari daerah Semporna ini telah berkahwin dengan pasangannya yang bernama Datin Seri Panglima Shuryani binti Datuk Shuaib. Pasangan ini dikurniakan dengan lima orang cahaya mata.

Salah seorang anak beliau iaitu Sabrina, telah berjaya dipilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen ke-70 Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 27 Mei 2009 dalam jurusan Pengajian Perniagaan di UiTM Lendu, Melaka dengan HPNG 3.84.

Tahap Pendidikan

Mendapat pendidikan di Victoria Institution Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan pengurusan dan perkapalan dari Kolej Perniagaan, London. Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie seterusnya menyambung pengajian di Universiti Staffordshire, England di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi dengan Kepujian daripada Politeknik Staffordshire Utara (1992).

Imej via malaymail

Kerjaya Perkhidmatan Awam

Beliau menjawat jawatan sebagai Pegawai Ahli Ekonomi di Kementerian Kewangan Negeri Sabah pada tahun 1982. Pada tahun 1984, beliau bertukar ke Jabatan Ketua Menteri Sabah sebagai Pegawai Pentadbir Kanan. Kemudian, pada tahun 1987 beliau telah diberi jawatan sebagai Penolong Setiausaha Kanan di Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Luar Bandar Sabah. Beliau seterusnya bertukar ke Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi pada tahun 1991, sebagai Setiausaha Politik kepada Tan Sri Datuk Hj. Sakaran bin Dandai sehingga tahun 1993.

Kerjaya Politik

Penyertaan beliau dalam parti UMNO adalah ketika mula-mula parti itu mula bertapak di Sabah. Beliau telah terpilih menjadi Exco Pemuda UMNO dari tahun 1993 hingga 1996.

Pada tahun 1995, beliau telah terpilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah serta Ketua UMNO Bahagian Semporna tatkala telah memenangi tempat ke-12 dengan undian sebanyak 198. Pada tahun yang sama juga beliau turut dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan. Malah, pada tahun yang sama beliau turut dilantik sebagai Ahli Parlimen Kawasan Semporna, Sabah sehingga tahun 2006.

Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie juga telah bertukar ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan dilantik sebagai Timbalan Menteri pada 25 Mei 1999. Beliau kemudiannya telah bertukar ke Kementerian Pertahanan pada 14 Disember 1999 hingga 29 Mac 2004 dan merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO antara tahun 2000 dan 2003.

Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie kemudiannya telah menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada tahun 2004. Beliau Ketika itu memegang portfolio Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

Imej via utusan

Pilihanraya 2008

Semasa Pilihanraya Umum 2008, calon lawan PKR iaitu Ab Azis bin Ab Hamid telah berjaya ditewaskan oleh beliau dengan memenangi undian sebanyak 19,419 atas tiket Barisan Nasional/UMNO. Atas kemenangan yang diperolehi, beliau telah dipilih menjadi Naib Presiden UMNO gandingan bersama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan juga Datuk Seti Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada tahun 2015, oleh kerana terdapatnya rombakan kabinet oleh mantan Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, beliau telah kehilangan portfolio Pembangunan luar bandar dan wilayah. Kehilangan portfolio tersebut telah menyebabkan beliau membentuk sebuah parti pembangkang yang baru dan dikenali sebagai WARISAN. Penubuhan parti ini telah mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 17 Oktober 2016.

Oleh kerana ingin menumpukan perhatian kepada parti baru yang ditubuhkan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie mengambil Keputusan meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 2016. Akhirnya, beliau menjadi Ketua Menteri Sabah ke-15 mulai 12 Mei 2018 hingga 25 September 2020.

Kemenangan Parti Warisan

Parti WARISAN di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie telah memenangi sebanyak 21 kerusi berbanding DAP dan PKR yang masing-masing hanya memenangi enam dan dua kerusi Sahaja. Walaupun kemenangan bersama telah diperolehi, namun belum membolehkan ketiga-tiga parti tersebut membentuk kerajaan baru kerana jumlah kerusi yang dimenangi hanyalah 29 kerusi, iaitu kurang 2 lagi kerusi untuk mencapai majoriti mudah bagi membentuk sebuah kerajaan.

Namun, setelah enam orang ADUN daripada Barisan Nasional menyertai pembangkang parti WARISAN, ianya cukup untuk membentuk kerajaan Sabah dengan majoriti mudah.

Sikap Peribadi

  • Beliau merupakan seorang yang berpandangan luas, mesra rakyat serta tegas dalam membuat keputusan membuatkan beliau digeruni serta mudah disantuni oleh orang ramai
  • Merupakan seorang yang berintegriti tinggi terhadap pendirian serta padu dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan
  • Berani mengusulkan perkara yang benar di Dewan Rakyat demi kepentingan rakyat negeri khususnya Borneo Sabah tanpa mengira kaum dan agama

Senarai Jawatan Yang Pernah Disandang (Bidang Politik)

  1. Naib Presiden UMNO
  2. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
  3. Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan
  4. Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah
  5. Ketua Menteri Sabah

Senarai Anugerah / Pingat Yang Diperolehi

2014

  • Negeri Sarawak
  • Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) – Dato Sri

2011

  • Negeri Sabah
  • Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) – Datuk Seri Panglima

2010

  • Negeri Pahang
  • Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) – Dato’

2008

  • Negeri Perlis
  • Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) – Dato’ Seri

2002

  • Negeri Melaka
  • Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) – Datuk

1994

  • Negeri Sabah
  • Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) – Datuk

Jom baca biodata Zahid Hamidi dan biodata Khairy Jamaluddin

Rujukan

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.