Beliau antara pemimpin yang mempunyai pengalaman melebihi 30 tahun dalam dunia politik. Malah, beliau mempunyai pengalaman dalam bidang perbankan.

Biarpun cabaran dan dugaan datang silih berganti, namun beliau tidak gentar untuk meneruskan perjuangannya dalam UMNO. Jom kita selidiki biodata Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO Malaysia.

Imej via wikimedia

Latar Belakang

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi dilahirkan pada 4 Januari 1953 di Bagan Datuk, Perak. Beliau merupakan anak kepada pasangan Raden Hamidi Abdul Fatah dan Tuminah Abdul Jalil.

Bapanya berasal dari Kulon Progo manakala ibunya pula berasal dari Ponogoro, Indonesia. Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan anak sulung daripada sembilan beradik (tujuh lelaki dan 2 perempuan).

Pendidikan

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Balai. Beliau kemudiannya bersekolah di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh dan Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Setelah tamat sesi persekolahan, beliau telah melanjutkan pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1975 – 1976 dalam bidang Sastera. Seterusnya, beliau juga telah menghadiri kursus Certificate in Banking pada tahun 1976 (Bank Negara Malaysia) dan Diploma Pemasaran di Institute of Marketing (1983).

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Komunikasi Korporat pada tahun 2000. Beliau juga telah dianugerahkan dengan Ijazah Doktor Kehormat, PhD dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 2008.

Sepanjang beliau berada di Universiti Malaya, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga pernah menjadi penyunting untuk tabloid Mahasiswa Negara yang diterbitkan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

Kerjaya

Pekerjaan pertama yang disandang oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah sebagai Pegawai Bank di bank OCBC bermula tahun 1976 hingga 1977. Kemudiannya, beliau telah menjadi Penolong Pengurus di Bank Simpanan Nasional sehingga tahun 1979.

Pada tahun 1979 hingga 1984 pula, beliau telah dilantik menjadi Pengurus Pemasaran di Amanah Saham Nasional Berhad. Setelah itu, beliau menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif di Scandinavian Motors Sdn Bhd dari tahun 1984 hingga 1987.

Beliau pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan dari tahun 1987 hingga 1990. Malah, pernah juga menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan dari tahun 1990 hingga 1993.

Setelah tamat tugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri, beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan di Kretam Holdings Bhd. Seterusnya, beliau telah dilantik menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional pada tahun 1995 hingga 1998.

Bermula pada tahun 1998, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid juga telah dilantik menjadi Pengerusi Seng Hup Berhad sehingga tahun 2002. Pada masa yang sama iaitu pada tahun 1999, beliau juga dilantik menjadi Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Pengerusi Tekala Corporation sehingga tahun 2004.

Selain itu, beliau juga telah dilantik menjadi Pengerusi Ramatex Berhad pada tahun 2004.

Imej via mstar

Pengalaman Politik

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid telah memulakan langkah pertamanya dengan menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan Kampung Sungai Nipah Dara, Bagan Datuk, Perak iaitu pada tahun 1976. Beliau kemudiannya telah dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Sungai Nipah Dara, Bagan Datuk, Perak (1977).

Beliau telah menyertai Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian pada tahun 1978. Seterusnya beliau telah dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk pada tahun 1982.

Pada tahun 1984, Dato’ Seri telah menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak dan beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak pada tahun 1987. Bermula tahun 1988, beliau telah menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia.

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid telah dilantik menjadi Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk pada tahun 199 5 dan menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia untuk 2 tahun (1996 – 1998). Beliau kemudiannya telah menjadi Ahli Majli Tertinggi UMNO Malaysia pada tahun 2000 hingga 2008.

Pada tahun 2009 sehingga 2018, beliau telah dilantik menjadi Naib Presiden UMNO Malaysia dan telah menjalankan tugas – tugas Timbalan Presiden. Beliau telah dilantik menjadi Pengerusi Barisan Nasional Malaysia dan juga sebagai Presiden UMNO Malaysia mulai tahun 2018 sehingga sekarang.

Kerjaya Politik

Seawal tahun 1991, beliau telah mula dilantik menjadi Ahli Dewan Negara sehingga tahun 1994. Beliau kemudiannya menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuk mulai tahun 1995 sehingga kini.

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid pernah menjadi Timbalan Menteri Pelancongan di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas Pilihanraya Umum 2004 sehingga tahun 2006. Pada tahun 2006 hingga 2008 pula, beliau telah dilantik menjadi Menteri Penerangan.

Selepas Pilihanraya Umum tahun 2008, beliau telah dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan kemudiannya telah dilantik menjadi Menteri Pertahanan pada April 2009.

Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri pada tahun 2013 hingga 2018 dan menggantikan jawatan yang disandang oleh Datuk Hishamuddin Hussein. Manakala Datuk Hishamuddin pula menyandang jawatan sebagai Menteri Pertahanan.

Kepimpinan yang ditonjolkan oleh beliau membolehkan beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015 sehingga 2018 bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tahanan Politik ISA

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid pernah menjadi tahanan politik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1998. Pada ketika itu beliau merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Beliau telah ditahan bersama empat orang pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kerana menyokong aktiviti Reformasi yang dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (bekas Timbalan Perdana Menteri).

Ketika beliau menjadi tahanan ISA, jawatan Ketua Pemuda UMNO pada ketika itu telah ditanggung oleh Datuk Hishamudin Tun Hussein.

Sejarah Kemenangan Pilihanraya Umum Malaysia

  • 1995 – Beliau telah memenangi kerusi di Parlimen Bagan Datuk atas tiket Barisan Nasional / UMNO dan mengalahkan Asha’ri Marsom dari Semangat 46
  • 1999 – Beliau telah menewaskan Mohamad Dahalan Arshad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR)
  • 2004 – Beliau telah berjaya menewaskan Ayyathurai Achutharaman dari Parti Keadilan Rakyat (PKR)
  • 2008 – Beliau telah berjaya menewaskan Madzi Hasan dari parti Keadilan Rakyat (PKR)
  • 2013 – Beliau telah berjaya menewaskan Madhi Hasan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR)
  • PRU 2018 – Beliau telah berjaya menewaskan Pakhrurrazi Arshad dari Pakatan Harapan (PH)

Kesimpulan

Selepas memenangi Pilihanraya Umum 2018, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerajui UMNO dan meneruskan tugasnya sebagai Presiden UMNO. Biarpun pelbagai rintangan harus ditempuhi, namun semangatnya dalam memperjuangkan politik tanah air begitu utuh.

Beliau tidak akan mensia – siakan kepercayaan yang telah diberikan kepadanya untuk memikul tanggungjawab besar dalam mengemudi kepimpinan UMNO.

Jemput baca biodata Tengku Noor Zakiah dan biodata biodata Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.