Sebaik sahaja diambil sebagai seorang pekerja pastinya anda akan diberikan surat tawaran bekerja yang menyenaraikan semua tugasan dan tanggung jawab anda sepanjang bekerja di syarikat berkenaan. Dalam surat tawaran tersebut juga dinyatakan semua faedah yang akan anda perolehi seperti jumlah cuti tahunan, jumlah cuti sakit, benefit perubatan dan pergigian, dan sebagainya. Namun tahukah anda bahawa yang sebenarnya hak anda sebagai pekerja adalah lebih luas daripada apa yang disenaraiakan didalam surat tersebut.

Kesemua hak anda sebagai seorang pekerja ada tersenarai didalam Akta Buruh yang diguna pakai di seluruh Malaysia tidak kira apa syarikat sekali pun yang menjadi majikan anda. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan akta dalam Akta Buruh yang melindungi hak anda sebagai seorang pekerja. Ketahui kesemua akta ini agar anda tidak ditindas oleh majikan sendiri.

Apakah akta yang melindungi hak pekerja di Malaysia?

Akta yang melindungi hak pekerja di Malaysia ialah Akta Buruh 1955. Jika anda seorang pekerja yang ingin membuat sebarang aduan ke Pejabat Buruh, atau ingin mengetahui sama ada anda dilindungi oleh akta tersebut serta perlindungan yang diberikan, ini adalah akta yang boleh anda rujuk. Sebarang keputusan dan tindakan yang akan dilakukan oleh pihak berwajib juga akan dibuat berdasarkan Akta Buruh 1955.

Siapakah pekerja yang dilindungi oleh Akta Buruh 1955?

Menurut Akta Buruh 1955, pekerja yang dilindungi dibawah akta tersebut  ialah:

  • Semua pekerja yang menerima gaji tidak melebihi RM2,000.00 sebulan
  • Semua pekerja manual tanpa had gaji
  • Pekerja asing yang sah penggajiannya di Malaysia

Oleh itu, anda akan dilindungi oleh Akta Buruh 1955 sekiranya anda termasuk dalam tiga kategori yang dinyatakan di atas. Jika anda tidak termasuk dalam salah satu kategori tersebut anda tidak dilindungi oleh akta ini.

Adakah terdapat sebarang larangan pekerjaan di Malaysia?

Menurut Akta Buruh 1955, seorang wanita dilarang daripada melakukan pekerjaan yang berikut:

  • Bekerja di bawah tanah
  • Bekerja didalam sektor perusahaan atau pertanian di antara pukul 10.00 malam sehingga 5.00 pagi.

Larangan ini adalah tanpa pengecualian daripada Ketua Pengarah Buruh. Tiada pengecualian boleh dibuat untuk kedua-dua larangan ini.

Jika anda diberhentikan kerja, berapa lamakah tempoh notis yang perlu diberikan oleh majikan?

Pastinya anda ingin tahu berapa lamakah notis yang perlu diberikan oleh majikan sekiranya anda akan diberhentikan kerja. Bolehkah majikan menghentikan anda secara tiba-tiba pada hari ini dan anda tidak perlu datang bekerja mulai esok hari? Jawapannya ialah bergantung kepada apa yang tertulis didalam kontrak semasa anda dilantik bekerja. Jika didalam kontrak ada dinyatakan berapa lama notis perlu diberikan, maka tempoh tersebut akan diguna pakai.

Sekiranya kontrak perkhidmatan tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk notis berhenti kerja, maka tempoh notis adalahseperti berikut:

  • 4 minggu notis jika anda bekerja kurang daripada dua tahun
  • 6 minggu notis jika anda telah bekerja selama dua tahun atau lebih tetapi kurang daripada lima tahun
  • 8 minggu notis jika anda telah bekerja selama lima tahun atau lebih

Jika majikan anda tidak mengikut tempoh masa seperti yang termaktub didalam surat lantikan, kontrak bekerja atau tidak mahu mengikuti tempoh masa yang ditetapkan seperti dalam akta, anda boleh membuat aduan.

Bolehkan majikan menamatkan kontak anda tanpa sebarang notis?

Untuk maklumat anda, majikan dan juga pekerja boleh menamatkan kontrak perkhidmatan tanpa memberi sebarang notis sekiranya:

  • Membayar indemniti sebagai ganti notis. Ini bermaksud, majikan atau pekerja membayar jumlah gaji yang patut diberikan atau diperolehi bagi tempoh sepatutnya notis diberikan.
  • Sekiranya berlaku apa-apa perlanggaran yang disengajakan terhadap syarat-syarat kontrak perkhidmatan, maka pekerja atau majikan berhak untuk menamatkan kontrak tanpa sebarang notis.

Apakah yang dimaksudkan dengan perlanggaran yang disengajakan terhadap syarat-syarat kontrak perkhidmatan? Di antara contohnya ialah seperti berikut:

  • Majikan gagal membayar gaji dalam tempoh 7 hari selepas hari terakhir bagi tempoh pembayaran upah.
  • Pekerja tidak datang bekerja selama lebih daripada dua hari berturut-turut tanpa sebarang makluman atau mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada majikan.

Berapakah jumlah gaji yang wajib dibayar jika pekerja diminta bekerja pada hari cuti?

Sekiranya anda diminta oleh majikan untuk bekerja pada hari cuti, jumlah yang perlu dibayar oleh majikan untuk hari tersebut ialah bersamaan dengan jumlah gaji anda untuk sehari. Jika anda diminta untuk bekerja sekerat hari, maka anda perlu dibayar gaji untuk sekerat hari.

Bolehkah pekerja diminta bekerja 7 hari seminggu tanpa rehat?

Menurut Akta Buruh 1955, setiap pekerja berhak mendapat satu hari cuti rehat dalam setiap minggu. Majikan tidak dibenarkan untuk memaksa pekerja bekerja selama 7 hari seminggu tanpa sebarang cuti. Hari rehat ditetapkan oleh majikan.

Sumber: Cybintsolutions

Berapakah kadar bayaran untuk kerja lebih masa?

Jika anda diminta oleh majikan untuk melakukan kerja lebih masa, berikut adalah kadar bayaran yang wajib dibayar kepada anda:

  • Jika anda kerja lebih masa pada hari kerja biasa, kadar bayaran ialah 1 1/2 kali kadar gaji sejam.
  • Jika anda diminta bekerja lebih masa pada hari rehat, anda perlu dibayar 2 kali kadar gaji sejam.
  • Jika anda diminta kerja lebih masa pada hari cuti am, anda perlu dibayar 3 kali kadar gaji sejam.

Apakah yang boleh anda adukan sebagai seorang pekerja?

Sebagai seorang pekerja yang dikindungi oleh Akta Buruh 1955, anda boleh membuat aduan sekiranya merasakan terdapat  tindakan dan keputusan majikan yang tidak adil dan tidak mengikut undang-undang didalam akta ini.

Itulah dia info tentang Akta Buruh dan hak anda sebagai pekerja di Malaysia  yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang kepentingan caruman Perkeso dan inisiatif Malaysia Kerja.

Rujukan:

  1. Kementerian Sumber Manusia: Pertanyaan. https://www.mohr.gov.my/index.php/ms/pertanyaan/faq?boxed=1(link)
Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.