Berdasarkan definisi dari Dewan Bahasa dan Pustaka, wang adalah alat pertukaran yang mempunyai nilai tertentu dan diakui sah. Untuk negara Malaysia, wang yang sah adalah dalam bentuk ringgit dan sen.
Oleh itu, dapat disimpulkan, wang atau duit atau fulus sama ada dalam bentuk kertas atau syiling merupakan suatu alat ukuran nilai yang digunakan dalam hal pertukaran. Wang juga merupakan suatu harta yang setaraf dengan emas atau perak yang mana memberikan kuasa membeli kepada si empunya.
Justeru, wang yang disimpan atau wang simpanan yang disimpan di dalam bank atau di dalam mana-mana institusi kewangan seperti KWSP perlu dikeluarkan zakat sekiranya menepati syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat.
Zakat wang atau wang simpanan telah ditetapkan melalui ayat-ayat suci al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. Antara ayat yang menunjukkan wajib untuk mengeluarkan zakat wang simpanan adalah berdasarkan surah at-Taubah pada ayat ke 34 dan ke-35 yang bermaksud;
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu”.
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa mengeluarkan zakat wang simpanan itu wajib kerana wang simpanan atau wang kertas adalah sama taraf seperti emas dan perak yang mana ianya boleh digunakan sebagai alat untuk mendapatkan atau membeli sesuatu.
Selain itu, Imam Muslim juga telah meriwayatkan hadis Rasulullah S.A.W tentang zakat wang simpanan;
“Dari Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda: Tidaklah ada ganjaran bagi orang yang memiliki harta simpanan namun tidak menunaikan haknya, melainkan Allah SWT akan melemparkannya ke dalam api neraka jahanam pada hari kiamat, hingga dahinya, tepinya serta punggungnya dibakar, sampai Allah memutuskan perkara di antara hamba-hambanya di hari yang lamanya sekitar 50,000 tahun di bumi, kemudian dia melihat jalannya, baik ke syurga mahupun ke neraka.”.
Hadis ini menguatkan lagi tentang kewajipan mengeluarkan zakat wang simpanan yang mana ia dianggap berdosa sekiranya berkemampuan tetapi tidak mengeluarkan zakat wang simpanan.
Kadar zakat wang adalah 2.5% daripada wang simpanan atau satu perempat puluh. Kadar zakat wang juga diambil kira setelah cukup nilai nisabnya iaitu bersamaan dengan 85 gram emas atau 595 gram perak.
Ini kerana nilai wang kertas berbeza setiap masa mengikut nilai harga pasaran berbanding dengan nilai emas dan perak. Justeru, apabila seseorang memiliki wang yang kadarnya boleh membeli salah satu kadar emas atau perak atau lebih, maka dia perlu mengeluarkan zakat, tidak dikira perbezaan nama mata wang; Riyal, Dinar, Dollar, Ringgit atau sebagainya. Tidak dikira juga sama ada mata wang itu kertas, logam atau lain-lain lagi.
Sebagaimana yang telah diketahui, nilai wang sentiasa berubah setiap masa. Seseorang yang ingin mengeluarkan zakat mesti melihat nilai harganya ketika tiba masa wajib membayar zakat iaitu ketika genap setahun atau sampai haul.
Oleh kerana zakat wang simpanan diambil kira berdasarkan nisab emas atau perak, justeru penulis akan berkongsi kaedah pengiraan zakat wang simpanan berdasarkan harga emas semasa.
Sebelum itu, anda perlu mengetahui tentang nisab zakat emas dan perak. Untuk emas, nisabnya adalah 20 misqal. Satu misqal bersamaan dengan 4.25 gram. Jadi 20 misqal bersamaan dengan 85 gram. Manakala untuk perak, nisabnya adalah 200 dirham yang mana satu dirham bersamaan dengan 2.975 gram. Jadi, 200 dirham bersamaan dengan 595 gram.
Jadi kita akan melihat kaedah pengiraan zakat wang simpanan berdasarkan harga emas semasa terlebih dahulu. Langkah pertama adalah anda perlu mendapatkan nilai nisab untuk zakat wang simpanan iaitu bersamaan dengan 85 gram emas.
Bermakna nisab untuk zakat wang simpanan anda adalah 85 x harga emas semasa (RM207.21) = RM17,612.85. Kemudian, anda perlu semak penyata akaun anda di bahagian baki wang simpanan untuk sepanjang tahun. Tidak kira anda pernah memasukkan atau mengeluarkan sepanjang tahun tersebut, kerana zakat wang simpanan mengambil kira baki akaun anda.
Langkah seterusnya, anda perlu semak sama ada baki wang simpanan anda untuk sepanjang tahun tersebut pernah atau tidak kurang daripada jumlah nisab iaitu RM17,612.85.
Jika tidak pernah, anda wajib mengeluarkan zakat. Seterusnya, anda perlu mengenal pasti jumlah baki terendah untuk sepanjang tahun tersebut atau baki terendah di antara dua belas bulan dalam tahun tersebut. Akhir sekali, berdasarkan baki terendah itu, anda perlu keluarkan zakat sebanyak 2.5%.
Untuk lebih jelas, mari kita lihat kepada carta pengiraan di bawah:
Sebagai contoh tarikh adalah 16 Disember 2019 dan nisabnya adalah RM17,612.85. Jadi, kita mulakan dengan pengiraan zakat wang simpanan untuk satu akaun wang simpanan.
Tarikh | Wang Masuk (RM) | Wang Keluar (RM) | Baki (RM) |
22/01/19 | 15,000 | 1,000 | 30,000 |
02/02/19 | 0 | 1,000 | 29,000 |
03/03/19 | 0 | 2,000 | 27,000 |
16/04/19 | 1,000 | 0 | 28,000 |
20/05/19 | 1,000 | 4,000 | 25,000 |
30/06/19 | 2,000 | 500 | 26,500 |
17/07/19 | 1,000 | 0 | 27,500 |
08/08/19 | 0 | 500 | 27,000 |
13/09/19 | 5,000 | 0 | 32,000 |
30/10/19 | 0 | 6,500 | 25,500 |
02/11/19 | 0 | 0 | 25,500 |
15/12/19 | 0 | 500 | 25,000 |
Untuk sepanjang tahun 2019, baki akaun anda tidak pernah kurang daripada nilai nisab. Oleh itu, anda perlu membayar zakat berdasarkan baki terendah akaun anda pada tahun 2019 iaitu RM25,000. Justeru; 2.5% x RM25,000 = RM625. RM625 adalah jumlah zakat wang simpanan yang anda perlu keluarkan.
Manakala untuk anda yang mempunyai beberapa akaun simpanan, cara pengiraan zakat wang simpanan anda adalah lebih kurang sama dengan pengiraan zakat wang simpanan untuk satu akaun. Anda cuma perlu menjumlahkan baki terendah untuk setiap bulan dari kesemua akaun untuk mendapatkan jumlah baki terendah.
Anda boleh melihat cara pengiraan zakat wang simpanan untuk beberapa akaun seperti di bawah;
Tarikh | Baki Terendah Akaun 1 (RM) | Baki Terendah Akaun 2 (RM) | Baki Terendah Akaun 3(RM) | Jumlah Baki Untuk Akaun 1,2 & 3 |
31/01/19 | 5,000 | 5,000 | 20,000 | 30,000 |
28/02/19 | 4,000 | 5,000 | 21,000 | 30,000 |
31/03/19 | 4,000 | 5,000 | 24,000 | 33,000 |
30/04/19 | 1,000 | 4,000 | 28,000 | 33,000 |
31/05/19 | 5,000 | 4,000 | 25,000 | 34,000 |
30/06/19 | 2,000 | 500 | 26,500 | 29,000 |
31/07/19 | 1,000 | 2,000 | 27,500 | 30,500 |
31/08/19 | 4,000 | 5,000 | 27,000 | 36,000 |
30/09/19 | 5,000 | 5,000 | 32,000 | 42,000 |
31/10/19 | 7,000 | 6,500 | 28,000 | 41,500 |
30/11/19 | 10,000 | 8,000 | 25,000 | 43,000 |
31/12/19 | 9,000 | 6,000 | 25,000 | 40,000 |
Jadi, untuk sepanjang tahun 2019, jumlah baki terendah akaun wang simpanan anda tidak pernah kurang daripada nilai nisab, justeru anda wajib mengeluarkan zakat berdasarkan jumlah baki terendah pada tahun tersebut iaitu RM29,000. Oleh itu, jumlah zakat yang perlu dikeluarkan adalah 2.5% x RM29,000=RM725.
*Jemput juga membaca artikel tentang syarat waib bayar zakat