Sedia maklum, Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan pinjaman pendidikan untuk membayar yuran dan sara hidup para pelajar di peringkat pendidikan kolej dan universiti.

Selepas tamat pengajian, kenalah bayar semula pinjaman PTTPN ini, bukan? Dah nama pun hutang.

Terutamanya bagi orang Islam, hukum membayar hutang adalah wajib.

Jadi, bagaimana pendekatan yang boleh diambil untuk segera langsaikan hutang PTPTN ini?

Jom baca artikel ini yang akan berkongsi maklumat berkaitan pinjaman PTPTN dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk cepat-cepat menyelesaikan hutang PTPTN.

Pengenalan

PTPTN telah ditubuhkan pada 01 Julai 1997 di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (Akta 566).

Selain menyediakan pinjaman kewangan kepada para pelajar, PTPTN turut bertanggungjawab memungut kembali hutang pinjaman ini selepas mereka tamat pengajian.

Bagi pelajar yang mendapat ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama, mereka dikecualikan daripada membuat bayaran semula apabila pinjaman ini ditukar menjadi biasiswa.

Bayaran balik pinjaman inii digunakan untuk membiayai semula pelajar-pelajar yang baru memulakan pengajian.

Oleh sebab itu, amatlah penting untuk para peminjam PTPTN, membayar semula hutang PTPTN untuk melengkapkan kitaran pinjaman ini, di samping, memang menjadi kewajipan untuk melunaskan hutang yang telah diberikan.

Kaedah Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

Artikel lengkap mengenai cara buat bayaran balik pinjaman PTPTN boleh dibaca di artikel ini.

Ringkasnya, terdapat 5 cara mudah untuk melakukannya, iaitu:

  1. Pembayaran di mana-mana kaunter PTPTN menggunakan wang tunai, kad kredit, kad debit
  2. Bayaran di kaunter pejabat bos dan bank terpilih dengan caj perkhidmatan tambahan antara 50 sen – RM2
  3. Potongan gaji berjadual dengan pendaftaran atas talian di laman web PTPTN
  4. Bayaran secara perbankan atas talian seperti CIMBClick, Maybank2u dan sebagainya
  5. Pengeluaran akaun 2 KWSP

Tips Bayaran Balik Pinjaman PTPTN

Untuk melepaskan diri dari belenggu hutang, anda perlu tekad dan konsisten dalam melunaskan pinjaman hutang ini. Berikut merupakan beberapa tips dan panduan yang boleh diikutii untuk melangsaikan hutang PTPTN anda.

#1 Niat dan Tekad

Pertama sekali, anda kena set dalam minda anda untuk berusaha membayar hutang PTPTN anda.

Sebagai orang Islam, kita kena yakin dan sentiasa berusaha untuk melunaskan apa-apa hutang, sebagaimana banyak hadis yang telah direkodkan seperti,

Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya.”

Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari.

#2 Penstrukturan Semula Bayaran

Anda boleh pergi ke mana-mana kaunter PTPTN atau cuba hubungi pejabat khidmat pelanggan PTPTN untuk bertanyakan tentang penstrukturan semula bayaran balik pinjaman PTPTN.

Antara skim yang akan disyorkan oleh staf PTPTN ialah penukaran kepada skim ujrah.

Skim ini mengenakan caj yuran pentadbiran serendah 1% setahun berbanding skim bayaran balik konvensional sebanyak 3-5%.

#3 Gabungan Pinjaman

Sekiranya anda membuat pinjaman PTPTN untuk banyak peringkat pengajian seperti diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana, anda boleh menggabungkan pinjaman-pinjaman ini dan melayakkan anda membayar satu jenis yuran caj pentadbiran sahaja yang pastinya lebih menjimatkan.

Gabungan ini akan disertai dengan pakej skim ujrah bagi meringankan lagi beban anda.

#4 Keluarkan Wang KWSP

Duit KWSP anda dalam akaun 2 boleh digunakan untuk membayar hutang PTPTN.

Cara ini, anda akan kurang berasa ralat untuk menggunakannya kerana akaun 2 KWSP ini tidak boleh dikeluarkan dan dibelanjakan sewenang-wenangnya, hanya boleh digunakan untuk bayaran tertentu sahaja.

Lebih baik daripada anda menggunakan wang poket anda, bukan?

Antara kelebihannya ialah

  • Boleh menggunakan akaun 2 KWSP peminjam atau ibu bapa
  • Tiada had pengeluaran selagi masih mempunyai baki dalam akaun 2
  • Tiada caj pemprosesan
  • Menikmati penjimatan kos upah/ pentadbiran dan pemendekan tempoh bayaran balik

#5 Tabungan Simpanan ASB

Simpanan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) ini memerlukan anda bersikap semangat kuat dalam menabung.

Setiap tahun, dividen yang diperolehi agak lumayan dan boleh disalurkan untuk pembayaran PTPTN.

Ditambah dengan bayaran secara konsisten kepada PTPTN setiap bulan, tidak mustahil anda boleh melunaskan hutang PTPTN kurang daripada 5 tahun.

Contohnya, anda berhutang sebanyak RM28k dengan PTPTN. Dengan gaji anda, anda asingkan RM500 untuk komitmen ini iaitu dengan membayar bayaran ansuran PTPTN sebanyak RM150 dan baki RM350 disimpan dalam akaun ASB.

RM150 yang dibayar pada setiap bulan ini telah membantu anda menjelaskan hampir RM9k daripada jumlah keseluruhan.

RM350 dalam akaun ASB selama 5 tahun pula menyumbang kepada RM21k.

Voila, anda telah berjaya menyelesaikan hutang PTPTN anda dalam tempoh 5 tahun. Berita baik juga, anda boleh nikmati dividen ASB yang anda kumpul pada setiap tahun itu dengan kadar 5-7% (tambahan wang RM1000-1500).

#6 Simpanan Semasa Bergelar Pelajar

Anda boleh merancang perbelanjaan kewangan anda pada peringkat anda masih belajar lagi, atau tips ini boleh diajarkan kepada adik-adik atau anak-anak anda yang sedang mengikuti pengajian menggunakan wang pinjaman PTPTN.

Para pelajar perlu sedar akan tugas hakiki mereka untuk fokus dalam pengajian. Jika anda mendapat keputusan cemerlang ijazah kelas pertama, anda tidak perlu fikir tentang bayaran semula PTPTN.

Jika rezeki tidak menyebelahi anda dari segi pelajaran, pengurusan kewangan sebagai seorang pelajar sangat perlu dititik beratkan melalui amalan penjimatan dan elakkan perbelanjaan yang boros atau mengikut nafsu.

Berpegang pada prinsip bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Bagi sesetengah institut pengajian yang mengenakan yuran pengajian dan kos kehidupan yang tinggi, para pelajar perlu menjadi kreatif untuk mencari pendapatan sampingan untuk kelangsungan hidup dan simpanan untuk masa depan yang seterusnya boleh digunakan untuk membayar balik hutang PTPTN usai tamat pengajian.

Antara pekerjaan sampingan yang boleh dilakukan ialah menjadi agen dropship produk, bekerja di pasar raya dan terlibat dalam ekonomi gig seperti penghantaran makananan dan e-hailing, mana-mana pekerjaan mengikut kesesuaian anda sebagai pelajar.

Namun, pelajaran harus sentiasa menjadi fokus utama.

Tips ini hanyalah sebagai cadangan.

#7 Rebut Inisiatif Bayaran Balik PTPTN

PTPTN menggalakkan usaha bayaran balik para peminjam dengan menawarkan beberapa tawaran menarik yang wajar direbut, seperti:

  • Diskaun 15% bagi penyelesaian penuh hutang PTPTN
  • Diskaun 10% bagi bayaran minimum 50% daripada jumlah pinjaman dengan sekali bayaran
  • Diskaun 10% bagi bayaran secara potongan gaji berjadual/direct debit

Kesimpulan

Jika anda berkemampuan untuk membayar hutang, khususnya hutang PTPTN, sila berbuat demikian demi kelangsungan pembiayaan pendidikan generasi akan datang.

Sesungguhnya terdapat hadis yang menyatakan bahawa “Penangguhan bayar hutang oleh orang yang mampu adalah satu kezaliman

Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari.

Menerusi artikel ini, penulis telah mencadangkan beberapa panduan untuk melunaskan hutang PTPTN dengan segera seperti menyimpan niat dan bertekad untuk menyelesaikan hutang, membuat penstruktruran semula bayaran, menggabungkan segala pinjaman PTPTN, mengeluarkan wang simpanan KWSP, simpanan ASB dan simpanan semasa bergelar pelajar lagi dan merebut tawaran bayaran balik yang diberikan oleh PTPTN.

Rujukan

  1. https://ilabur.com/bayaran-balik-pinjaman/
  2. https://www.ptptn.gov.my/faq-bayaran-balik-side/faq-ujrah-pertukaran-ujrah
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.