“Apa yang kamu faham tentang revolusi perindustrian 4.0?”

Wah, sejak kebelakangan ini, soalan terrsebut merupakan soalan yang paling banyak ditanya dalam temu duga/interview kerja.

Jom baca artikel ini untuk mengetahui mengenai revolusi perindustrian 4.0.

Pengenalan

Bak kata peribahasa, sekali air bah, sekali pantai berubah.

Bagitu halnya dengan perubahan sektor ekonomi apabila berlakunya perubahan penjanaan ekonomi melalui sektor-sektor tertentu.

Di zaman moden ini, sumber pendapatan eknonomi di peringkat dunia kebanyakannya tertumpu dalam bidang perindustrian. Sekarang, dunia sudah berada di fasa revolusi perindustrian 4.0.

Apakah yang dimaksudkan dengannya? Apa pula cabaran yang bakal dihadapi penduduk dunia secara amnya?

Ayuh kita fahami.

Definisi Revolusi Perindustrian 4.0

Klaus Schwab yang merupakan seorang pengasas Forum Ekonomi Dunia telah memetik dalam bukunya, The Fourth Industrial Revolution, menjelaskan bahawa Revolusi Industri Keempat ini dikenali dengan munculnya perkembangan teknologi yang lebih maju untuk mengatasi kelemahan batasan sumber manusia melalui penghasilan

  1. superkomputer
  2. robot pintar
  3. kenderaan tanpa pengemudi
  4. suntingan genetik
  5. perkembangan neuroteknologi

Dalam bahasa mudahnya, kehidupan seharian manusia akan menjadi lebih mudah dengan adanya bantuan teknologi ini sebagai pendamping atau “kawan” kita untuk membantu menguruskan tugasan dan beban kerja.

Sejarah Revolusi Perindustrian

Peralihan ekonomi yang melibatkan penjanaan pendapatan dari sektor pertanian, perlombongan dan sebagainya telah mendorong munculnya revolusi perindustrian untuk memaksimumkan hasil bermula dari kurun ke-18 lagi.

Secara amnya, fokus bagi setiap revolusi perindustrian adalah seperti berikut

  • Revolusi perindustrian 1.0 – penggunaan mesin berkuasa wap
  • Revolusi perindustrian 2.0 – penggunaan elektrik secara meluas
  • Revolusi perindustrian 3.0 – berasaskan teknologi maklumat dan perkembangan komputer
  • Revolusi perindustrian 4.0 – pelbagai teknologi baharu dengan intergrasi sistem, internet, data dan simulasi

Tujuan Pengenalan Revolusi Perindustrian 4.0

Dengan kepesatan teknologi yang kini mencapai teknologi 5G, semakin banyak aplikasi dan sistem berkomputer automatik tanpa keperluan sumber tenaga manusia boleh dibangunkan.

Hasilnya, kita akan lebih cepat melakukan sesuatu atau boleh melakukan pelbagai kerja dalam satu masa, di samping memberi keselesaan kepada tugasan harian kita.

Bayangkan, anda boleh memasak sambil membasuh pakaian, memberi makan kepada binatang peliharaan, menyiram pokok dalam satu masa yang sama dengan hanya memberikan arahan melalui alat kawalan jauh atau aplikasi telefon bimbit sahaja.

Senang cerita, anda boleh mula membayangkan kehidupan bagai dalam komik Doraemon yang mempunyai pelbagai peralatan canggih.

Hampir semua perkara yang kita anggap mustahil untuk wujud, kini sudah mula mendapat tempat di pasaran dan menjadi kebiasaan para pengguna.

Penggunaan alat navigasi arah jalan seperti Waze dan Google Map adalah permulaan teknologi ini.

Lihat betapa canggih dan banyaknya kebaikan teknologi tersebut untuk mengetahui kesesakan jalan raya dan memberi jalan yang paling dekat.

Lebih banyak lagi teknologi seumpama dan lebih maju yang sedang dibangunkan.

Komponen Utama Revolusi Perindustrian 4.0

Terdapat 9 tonggak utama yang menjadi peneraju revolusi ini, antaranya:

  1. Robotik autonomi – penggunaan robot untuk perkerjaan atau tugas yang rumit.
  2. Simulasi – sistem simulasi ini bertujuan untuk meramalkan konsep yang dicadangkan, jadi hal ini akan menjimatkan kos dan mengurangkan potensi masalah/memberi cadangan awal langkah penyelesaian
  3. Teknologi awan (cloud) – penyimpanan data tanpa memerlukan simpanan fizikal. Data ini boleh diakses di mana-masa sahaja.
  4. Integrasi sistem – sambungan sistem menyeluruh yang boleh diakses oleh banyak pihak yang terbabit, melicinkan urusan sistem.
  5. Industri teknologi peranti pintar (internet of things) – rangkaian peranti yang boleh berkomunikasi antara mesin dengan lebih pantas biarpun dengan simpanan data dan arahan yang besar dan kompleks
  6. Keselamatan siber – perlindungan data dan meminimumkan risiko kehilangan/kerosakan data melalui penciptaan sistem keselamatan siber
  7. Percetakan 3D – pembuatan bahan industri yang sesuai dengan keperluan teknologi baharu yang berskala kecil dan mempunyai spesifikasi tertentu (kecil, ringan, kualiti fizikal yang tinggi)
  8. Realiti maya – penyediaan maklumat secara visual secara tepat, khas bagi mengurangkan risiko kesilapan tenaga pakar
  9. Analisis data besar (big data) – analisis terhadap set data yang besar ini akan membantu mengoptimumkan kualiti pengeluaran, kos penjimatan dan perkhidmatan.

Kesan Jangka Panjang Revolusi Perindustrian 4.0

Pelaksanaan revolusi ini menandakan penglibatan manusia yang terhad kerana semuanya bergantung kepada teknologi baharu yang sentiasa dikemas kini bagi memberikan prestasi yang mantap.

Antara kesan yang boleh dijangka ialah:

  1. Kemunculan sistem fizikal siber yang memperlihatkan gabungan manusia, mesin dan kaedah teknologi baharu dalam kehidupan seharian.
  2. Mengatasi masalah kebergantungan terhadap sumber tenaga manusia dan fizikal
  3. Menuntut masyarakat yang berdaya saing, kreatif dan kritis supaya tidak terus terpinggir dengan kepesatan teknologi

Cabaran Revolusi Perindustrian 4.0

  • Semua sektor perlu mempersiapkan diri tidak kira dalam bidang ekonomi, sosial dan sebagainya. Suasana yang digambarkan telah memaksa manusia turut berevolusi dan tidak statik dengan pendekatan tradisi dalam kehidupan.
  • Pembaharuan dan pembangunan ini ditujukan kepada kaedah kehidupan yang diperbaharui, bukannya memperbaharui teras agama.
  • Kehilangan beberapa jenis pekerjaan tradisi dalam bidang-bidang tertentu kerana digantikan dengan gajet, teknologi dan aplikasi pintar.
  • Perubahan landskap industri dan jenis pekerjaan yang memfokuskan penggunaan teknologi.
  • Kehadiran teknologi pintar dalam pelbagai industri turut menyebabkan ekosistem ekonomi dan sosia.
  • Kemudahan penggunaan teknologi yang disalah guna akan menyebabkan wujudnya jenayah atas talian yang baru seperti aplikasi berbahaya serta boleh membawa kesan moral dan jenayah.

Kesimpulan

Sebagai negara yang sedang membangun, Malaysia dan rakyatnya harus peka dan beradaptasi dengan sebarang perubahan kemodenan yang melanda dunia.

Kemunculan teknologi baharu ini khususnya untuk menjayakan revolusi perindustrian 4.0 perlu disambut dengan baik kerana manfaatnya yang meluas, di samping, sama-sama mempelajari dan memahami sistem revolusi ini secara menyeluruh untuk tidak ketinggalan dan terpinggir.

Akan datang, lebih banyak revolusi yang bakal berlaku terutamanya dalam bidang ekonomi yang mempengaruhi kehidupan seharian kita secara tidak langsung. Jadilah masyarakat yang cakna dan celik ilmu.

Rujukan

  1. Alaloul, W. S., Liew, M. S., Zawawi, N. A. W. A., & Mohammed, B. S. (2018). Industry revolution IR 4.0: future opportunities and challenges in construction industry. In MATEC Web of Conferences (Vol. 203, p. 02010). EDP Sciences.
  2. https://bendahari.ump.edu.my/index.php/en/info-kewangan1/530-revolusi-industri-4-0
  3. https://rootofscience.com/blog/2018/sains-komputer/zaman-industri-4-0/
  4. Kamaruzaman, M. F., Hamid, R., Mutalib, A. A., & Rasul, M. S. (2019). Comparison of Engineering Skills with IR 4.0 Skills. International Journal of Online and Biomedical Engineering (iJOE), 15(10), 15-28.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.