Terdapat pelbagai pilihan entiti pelaburan yang terdapat di pasaran di Malaysia untuk dijadikan pilihan. Perkembangan pesat dalam industri kewangan sejak 15 tahun yang lalu telah menyaksikan perkembangan dan kemunculan produk baru yang inovatif terutamanya dalam industri kewangan Islam.

Ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat bagi kewangan Islam. Justeru, artikel ini akan menjelaskan tentang takaful berkaitan pelaburan.

Takaful berkaitan pelaburan atau invesment-linked takaful plan (ILTP) adalah pelan takaful keluarga yang menggabungkan pelaburan dan perlindungan takaful. Sumbangan anda akan menyediakan perlindungan takaful di mana termasuk manfaat kematian dan hilang upaya, dan sebahagian sumbangan anda akan dilaburkan dalam pelbagai dana pelaburan yang dibenarkan oleh syariah Islam berdasarkan pilihan anda.

Sebagai peserta, anda boleh menentukan peruntukan sumbangan anda terhadap perlindungan takaful dan pelaburan. Dana pelaburan akan dibahagikan kepada unit yang sama nilainya bagi memperolehi harga seunit pelaburan berkenaan. Dan harga unit ini akan dipaparkan di akhbar bagi membolehkan anda menyemak nilai pelaburan anda.

Walaupun syarikat insurans konvensional juga menawarkan produk berkaitan pelaburan dan pelaburan dibuat pada instrumen-intrumen pelaburan yang patuh syariah, namun perlindungan insurans yang ditawarkan pula tidak mematuhi undang-undang syariah Islam.

Konsep Takaful Berkaitan Pelaburan

Di dalam takaful berkaitan pelaburan (ILTP), sebahagian daripada sumbangan yang anda lakukan akan diperuntukkan kepada dana takaful dalam bentuk penyertaan atau tabarru’, manakala baki sumbangan akan digunakan untuk membeli unit-unit berkaitan pelaburan.

Anda akan membuat satu kontrak atau aqad untuk menjadi salah satu peserta di mana anda bersetuju untuk saling bantu-membantu di antara satu sama lain, sekiranya mana-mana peserta mengalami musibah atau bencana seperti kematian atau hilang upaya.

Sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tempoh bertakaful, anda berhak untuk berkongsi lebihan yang ada dalam dana takaful. Lebihan ini akan dikongsi di antara anda dan pengendali atau syarikat takaful berdasarkan konsep perkongsian lebihan mengikut nisbah yang telah dipersetujui di dalam kontrak.

Kemudian, bahagian lebihan anda akan digunakan untuk membeli unit pelaburan tambahan. Pengendali atau syarikat takaful anda akan bertindak sebagai pengurus untuk menguruskan pengurusan dana pelaburan. Sebagai ganjaran, pengendali atau syarikat takaful akan menerima upah atau ujrah untuk perkhidmatan yang diberikan.

Jenis-Jenis Takaful Berkaitan Pelaburan

Terdapat dua jenis takaful berkaitan pelaburan. Jenis-jenis takaful berkaitan pelaburan tersebut adalah;

1. Pelan sumbangan tunggal

Di dalam pelan ini, anda akan membuat bayaran premium tunggal secara sekaligus. Kemudian, jumlah perlindungan adalah berdasarkan peratusan bayaran sumbangan tunggal yang anda lakukan. Dan bayaran manfaat merupakan jumlah perlindungan dan nilai unit berkaitan pelaburan.

2. Pelan sumbangan berkala

Melalui pelan sumbangan berkala, anda sebagai peserta akan membuat pembayaran sumbangan secara bulanan, suku tahunan, separa tahunan mahupun tahunan. Kebiasaannya, jumlah perlindungan merupakan gandaan sumbangan tahunan anda. Seperti pelan sumbangan tunggal, bayaran manfaat bagi pelan ini juga merupakan jumlah perlindungan dan nilai unit berkaitan pelaburan.

Ciri-Ciri Takaful Berkaitan Pelaburan

Takaful berkaitan pelaburan mempunyai ciri-ciri yang unik. Antaranya adalah anda diberikan kelonggaran untuk memilih kadar perlindungan dan pelaburan yang anda inginkan. Selain itu, anda juga boleh mengubah jumlah sumbangan atau caruman anda mengikut keadaan kewangan anda yang mungkin berubah dari masa ke semasa.

Di samping itu, takaful berkaitan pelaburan juga membolehkan anda untuk menukar dana pelaburan semasa anda kepada jenis dana pelaburan yang lain. Melalui takaful jenis ini juga, anda boleh menuntut sebahagian daripada unit pelaburan anda pada bila-bila masa yang anda inginkan. Akhir sekali, anda diberikan peluang untuk memilih dan melabur daripada pelbagai dana pelaburan seperti ekuiti, bon atau instrumen kewangan yang lain.

Tuntutan Unit Berkaitan Pelaburan

Bagi membuat tuntutan atau menebus unit berkaitan pelaburan anda, anda mempunyai pilihan untuk menjual unit berkaitan pelaburan anda melalui dua cara. Cara-cara untuk melakukan penebusan adalah;

1. Pengeluaran separa

Anda boleh membuat permohonan ini dengan melengkapkan Borang Pengeluaran Separa yang menyatakan pilihan. Pilihan yang dinyatakan adalah seperti bilangan unit yang anda ingin jual dan nilai tunai yang anda perlukan.

2. Penyerahan

Bagi permohonan ini, anda perlu melengkapkan Borang Serahan di mana ia menyatakan anda ingin menjual semua unit berkaitan pelaburan anda. Dan nilai unit berkaitan pelaburan anda adalah berdasarkan harga yang sama seperti dinyatakan di dalam sijil takaful anda.

Imej via iLabur

Tips Memilih Pelan Takaful Berkaitan Pelaburan

Sebelum anda membuat pilihan pelan takaful berkaitan pelaburan, anda harus mempertimbang beberapa perkara terlebih dahulu. Antara perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan adalah seperti;

1. Perlindungan takaful

Kebiasaannya, sumbangan anda menyediakan perlindungan takaful untuk kematian dan hilang upaya. Dengan sumbangan tambahan, anda boleh menambah perlindungan asas dengan perlindungan tambahan seperti kemalangan diri dan penyakit-penyakit kritikal.

2. Pemilihan dana pelaburan

Anda mempunyai pilihan untuk melabur di dalam pelbagai dana pelaburan. Apa yang anda harus tahu, harga unit berkaitan pelaburan ada turun naik mengikut nilai dana pelaburan. Justeru, apabila harga unit turun, maka nilai pelaburan anda juga akan berkurang dan begitu juga sebaliknya. Jadi, anda mungkin akan memperolehi keuntungan atau mengalami kerugian apabila anda menjual unit berkaitan pelaburan anda.

Justeru, ianya adalah amat penting untuk anda memilih dana pelaburan yang menunjukkan tahap risiko yang mampu anda ambil, kerana risiko pelaburan akan ditanggung oleh anda sahaja. Selain itu juga, anda tidak boleh menjadikan prestasi dana pelaburan tahun sebelumnya sebagai panduan untuk anda memilih dana pelaburan anda.

3. Yuran dan caj

Pengendali atau syarikat takaful boleh mengenakan yuran dan caj untuk perkhidmatan yang disediakan seperti pengurusan dana, caj perkhidmatan dan penyerahan. Untuk makluman, yuran pengurusan dana akan dikenakan setiap tahun dan dikira sebagai peratusan nilai dana pelaburan. Sementara caj  perkhidmatan dikenakan bagi menampung perbelanjaan dalam menguruskan takaful berkaitan pelaburan anda. Manakala caj penyerahan hanya akan dikenakan sekiranya berlaku serahan awal sebelum tempoh matang.

4. Pemindahan dana

Sekiranya anda merasakan anda telah tersalah membuat pilihan atau anda ingin menukar profil portfolio pelaburan anda, anda akan dibenarkan untuk menukar unit berkaitan pelaburan anda daripada satu dana kepada dana yang lain. Apa yang anda harus tahu, kebanyakkan syarikat takaful membenarkan satu penukaran dalam setahun tanpa sebarang yuran perpindahan, namun sedikit yuran mungkin akan dikenakan bagi setiap tambahan penukaran.

5. Nilai tunai terkumpul

Caruman atau sumbangan tetap takaful berkaitan pelaburan tidak dapat mengumpul nilai tunai anda yang mencukupi pada tahun awal sijil takaful. Ini bermakna, jika sijil ditamatkan pada peringkat awal, anda mungkin tidak dapat mengembalikan sebarang nilai pelaburan anda.

6. Harga bida dan tawaran

Anda akan diberikan dua jenis harga iaitu harga tawaran dan harga bida. Harga tawaran adalah untuk unit jualan, manakala harga bida adalah untuk pembelian balik. Ini adalah sama seperti unit amanah. Perbezaan di antara harga ini dikenali sebagai ‘spread’ bida/tawaran. Kebiasaanya perbezaan ini dinyatakan sebagai peratusan daripada harga tawaran dan biasanya adalah sekitar 5%.

7. Tempoh bertenang

Anda mempunyai tempoh bertenang selama 15 hari untuk anda memutuskan sama ada anda mahu meneruskan takaful berkaitan pelaburan selepas anda menandatangani kontrak. Sekiranya anda membuat keputusan untuk membatalkan takaful anda dalam tempoh ini, pengendali atau syarikat takaful akan membayar balik unit berkaitan pelaburan dan caruman anda setelah ditolak yuran perubatan dan perbelanjaan menaja jamin yang ditanggung dalam menilai risiko. Manakala nilai unit berkaitan pelaburan akan dibayar berdasarkan harga yang dinyatakan di dalam sijil.

Kesimpulan

Sebelum anda melaburkan wang anda dengan takaful berkaitan pelaburan, seharusnya anda memikirkan risiko yang anda bersedia untuk hadapi dan memahami sepenuhnya risiko-risiko yang ada. Anda juga harus bersedia untuk membiarkan wang anda terikat dalam tempoh tertentu.

Selain itu juga, anda boleh mendapatkan khidmat nasihat profesional daripada pengendali atau ejen takaful anda berkenaan dengan risiko dan manfaat takaful berkaitan pelaburan. Di samping itu, anda harus membaca kesemua maklumat-maklumat yang disediakan secara teliti dan terperinci sebelum anda membuat pilihan untuk melaburkan wang anda dalam takaful berkaitan pelaburan.

Jemput juga baca artikel lain seperti:

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.