Pada umumnya, individu yang telah bersara memerlukan lebih kurang 60% daripada gaji terakhirnya untuk mengekalkan taraf kehidupannya pada masa selepas bersara. Caruman di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menjadi sumber pendapatan yang penting selepas bersara. Namun ia mungkin tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan perbelanjaan selepas bersara.

Kajian yang dilakukan oleh KWSP menunjukkan bahawa lebih kurang 72% pencarum menghabiskan kesemua simpanan mereka dalam tempoh 3 tahun dari tarikh pengeluaran selepas persaraan. Justeru, ada di antara anda yang telah bersara terpaksa mencari punca pendapatan bagi menampung keperluan hidup.

Oleh yang demikian, anda mungkin perlu mendapatkan simpanan sampingan selain daripada KWSP anda. Salah satu daripada simpanan sampingan yang anda boleh lakukan adalah dengan menggunakan pelan anuiti persaraan untuk menyediakan pendapatan berterusan sepanjang selepas persaraan anda.

Konsep Anuiti Dan Keperluannya

Pelan anuiti persaraan adalah satu kontrak di mana syarikat insurans bersetuju untuk menyediakan anda dengan pendapatan yang berterusan untuk sepanjang hayat anda sebagai balasan kepada caruman premium yang dibayar sekali gus.

Syarikat insurans akan memastikan bayaran sekali gus anda itu ditukar menjadi pendapatan seumur hidup untuk anda. Ini secara lansung dapat meringankan ketidakpastian dan masalah yang mungkin anda akan hadapi sekiranya anda telah kehabisan sumber kewangan selepas bersara.

Selain itu, anda juga boleh membeli pelan anuiti yang menjamin pembayaran pendapatan kepada orang yang anda sayangi selepas anda meninggal dunia. Untuk membeli pelan anuiti, anda boleh membayar premium kepada syarikat insurans sekali gus semasa anda menghampiri umur persaraan.

Namun demikian, sebagai suatu alternatif, anda juga boleh membuat bayaran premium secara berperingkat sehingga umur persaraan yang anda pilih. Dengan itu, apabila anda bersara, syarikat insurans akan memberikan bayaran sebagai pendapatan bulanan sepanjang hayat anda. Anda boleh membeli anuit persaraan daripada mana-mana syarikat insurans yang menawarkan produk anuiti.

Jenis-Jenis Anuiti

Terdapat dua jenis pelan anuiti yang biasa ditawarkan. Kedua-dua jenis anuiti itu adalah seperti berikut;

1. Anuiti serta-merta

Bagi jenis ini, anda akan mendapat pembayaran pendapatan bermula dalam tempoh 12 bulan selepas anda membeli anuiti. Jenis anuiti ini sesuai untuk anda yang hampir bersara atau telah bersara. Untuk premiumnya pula perlu dibayar sekali gus ketika pembelian anuiti dibuat.

Ini bermakna sekiranya anda bersara pada umur 55 tahun kemudian anda membuat caruman premium sekali gus kepada syarikat insurans, dalam tempoh 12 bulan selepas pembayaran premium, anda akan mendapat pendapatan pertama.

2. Anuiti tertunda

Bagi jenis ini pula, pembayaran pendapatan akan bermula lebih daripada tempoh 12 bulan selepas anda membeli anuiti. Ini kerana anda boleh membeli jenis anuiti ini pada bila-bila masa sahaja sepanjang anda bekerja. Bagi premiumnya pula, anda boleh membuat pembayaran sekali gus atau secara berperingkat sehingga anda bersara.

Ini bermakna, sekiranya anda membeli anuiti pada umur 30 tahun dan memilih untuk bersara pada umur 55 tahun, anda boleh memilih untuk membayar premium tersebut secara sekali gus atau membayar secara berperingkat sehingga umur anda 54 tahun.

Selain itu juga, premium yang dibayar secara sekaligus pada masa umur anda 30 tahun adalah lebih rendah berbanding premium yang dibayar sekali gus pada masa umur anda 54 atau 55 tahun. Ini kerana, premium yang dibayar sekali gus pada masa umur anda 30 tahun akan dilaburkan oleh syarikat insurans sepanjang tempoh penyimpanan anuiti iaitu dari umur 30 tahun sehingga 54 tahun.

Imej via iLabur

Simpanan Untuk Anuiti

Untuk membeli anuiti, anda mungkin perlu mempunyai perancangan simpanan bagi membolehkan anda membeli anuiti serta-merta menjelang waktu persaraan anda. Justeru sebagai alternatif sekiranya anda ingin membayar premium yang lebih rendah, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk membeli anuiti tertunda.

Namun begitu, lebih elok jika anda memulakan simpanan seawal mungkin sepanjang tempoh anda bekerja. Dengan ini, pembelian anuiti dapat memberikan anda dana yang cukup dalam menyediakan sumber kewangan yang mencukupi apabila anda bersara.

Ini kerana semakin tinggi nilai premium yang anda beli, semakin tinggi jumlah pendapatan bulanan yang anda akan terima selepas bersara. Sebagai ilustrasi, premium bernilai RM40,000 mungkin akan memberikan pendapatan bulanan sebanyak RM150, manakala premium bernilai RM100,000 mungkin memberikan pendapatan bulanan sebanyak RM500.

Pemilihan Anuiti Yang Tepat

Pada umumnya, jenis anuiti dan manfaatnya akan menentukan jumlah pendapatan yang anda akan terima selepas bersara. Oleh itu, ianya adalah penting untuk anda menyemak atau mengkaji semua pilihan yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat insurans sebelum anda membeli pelan anuiti yang paling sesuai dan tepat dengan keperluan anda.

Sebagai makluman, jumlah bayaran pendapatan yang anda akan terima adalah bergantung kepada jumlah bayaran yang anda buat untuk membeli anuiti atau nilai premium yang dibeli, umur anda pada waktu anda membeli premium anuiti serta jantina anda dan yang terakhir adalah manfaat-manfaat yang anda pilih semasa membuat pembelian premium.

Manfaat-manfaat yang terdapat di dalam pelan anuiti adalah seperti berikut;

1. Anuiti tetap tanpa tempoh terjamin

Manfaat anuiti ini akan membayar atau memberikan pendapatan kepada anda pada kadar yang tetap dan secara teratur untuk sepanjang hayat anda selepasa bersara.

2. Anuiti tetap dengan tempoh terjamin

Manfaat ini pula akan memberikan pendapatan kepada anda pada kadar yang tetap untuk tempoh sepanjang hayat anda ataupun untuk suatu tempoh terjamin sekurang-kurangnya.

Sebagai contoh, anda membeli anuiti dengan tempoh terjamin selama 8 tahun kemudian anda meninggal dunia selpas 5 tahun. Oleh itu, bayaran anuiti akan diteruskan kepada penama anda untuk baki tempoh 3 tahun seterusnya. Namun demikian, sekiranya anda masih hidup selepas tempoh terjamin iaitu 8 tahun, anda akan terus menerima pendapatan anuiti sepanjang hayat anda.

3. Anuiti meningkat

Manfaat ini pula akan membayar pendapatan yang meningkat setiap tahun pada kadar yang tetap bagi sedikit sebanyak dapat melindungi pendapatan anda daripada inflasi untuk sepanjang hayat anda.

Pendapatan yang anda akan terima dalam anuiti meningkat lazimnya lebih rendah pada peringkat permulaan berbanding pendapatan yang anda akan terima melalui anuiti tetap. Namun begitu, anuiti meningkat akan memberikan pendapatan yang lebih tinggi dan lebih baik pada tahun-tahun berikutnya selepas anda bersara.

4. Anuiti hayat bersama

Manfaat anuiti hayat bersama akan membayar pendapatan untuk sepanjang hayat anda dan seterusnya kepada penama anda untuk sepanjang hayat. Namun begitu, pendapatan yang akan diterima oleh penama anda mungkin akan kurang daripada pendapatan yang anda terima.

Oleh itu, anda harus membuat kajian dan penyelidikan yang menyeluruh berkenaan dengan pelan anuiti yang ada bagi membolehkan anda membeli premium anuiti yang paling sesuai dan bertepatan dengan keperluan anda dan juga pasangan atau tanggungan anda selepas anda bersara.

Jemput juga baca artikel jenis pengeluaran KWSP dan i-saraan

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.