Takaful perubatan dan kesihatan memberi perlindungan kepada anda terhadap perbelanjaan rawatan perubatan persendirian seperti kos hospital dan penjagaan kesihatan sekiranya anda didiagnosis atau disahkan menghidap penyakit-penyakit tertentu atau telibat di dalam kemalangan. Perlindungan takaful jenis ini boleh diambil secara berasingan atau sebagai kontrak tambahan kepada pelan asas takaful keluarga.

Konsep Takaful Perubatan Dan Kesihatan

Apabila menyertai takaful perubatan dan kesihatan, anda akan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful berdasarkan bentuk caruman penyertaan atau tabarru’. Anda akan mengikat perjanjian atau aqad bagi membolehkan anda menjadi salah seorang peserta yang bersetuju untuk saling bantu-membantu di antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta mengalami bencana atau musibah seperti dimasukkan ke hospital atau didiagnosis menghidap penyakit-penyakit tertentu.

Jenis Perlindungan Takaful Perubatan Dan Kesihatan

Takaful perubatan dan kesihatan menyediakan pelbagai perlindungan. Antara perlindungan yang disediakan adalahs seperti berikut;

1. Yuran profesional dan perkhidmatan hospital

Pelan takaful perubatan dan kesihatan memberi perlindungan kepada anda terhadap perbelanjaan perkhidmatan hospital dan yuran profesional akibat kecederaan atau penyakit yang dialami seperti caj wad, caj pembedahan atau caj unit rawatan rapi. Perlindungan-perlindungan ini boleh dihadkan kepada amaun maksimum atau bilangan hari atau kedua-duanya sekali.

2. Manfaat penghospitalan

Melalui takaful perubatan dan kesihatan, anda akan diberi elaun harian bagi setiap hari anda berada di hospital sama ada disebabkan oleh penyakit ataupun kecederaan kerana kemalangan. Elaun harian tersebut juga tertakluk kepada bilangan hari maksimum.

3. Penyakit kritikal

Pelan takaful perubatan dan kesihatan juga memberi manfaat sekali pembayaran seandainya anda disahkan menghidap salah satu daripada penyakit-penyakit kritikal yang dinyatakan di dalam sijil takaful anda.

Pengendali atau syarikat takaful anda boleh menawarkan pelan-pelan takaful tersebut secara individu atau gabungan. Justeru, anda perlu berhati-hati dengan memilih pelan yang memenuhi kehendak dan memahami setiap perincian dan maklumat seperti terma dan syarat sesuatu pelan takaful.

Manfaat Yang Dilindungi Di Bawah Pelan Takaful Perubatan Dan Kesihatan

Pembayaran manfaat adalah bergantung kepada jenis pelan yang anda sertai. Oleh itu, anda perlu merujuk kepada sijil pelan takaful anda mengenai maklumat lanjut manfaat yang diberikan seperti perkara-perkara yang dilindungi dan tidak dilindungi serta bila dan bagaimana manfaat-manfaat tersebut akan dibayar. Kebiasaannya, antara manfaat-manfaat yang dilindungi di bawah pelan takaful perubatan dan kesihatan adalah seperti berikut;

  • Penghospitalan
  • Unit rawatan rapi
  • Rawatan pesakit luar
  • Lawatan pemeriksaan oleh doktor
  • Pembedahan
  • Bius
  • Perkhidmatan ambulans
  • Manfaat kematian
  • Lawatan sebelum masuk hospital
  • Penyakit-penyakit kritikal

Penyakit-penyakit kritikal yang termasuk di dalam manfaat yang dilindungi oleh takaful perubatan dan kesihatan biasanya meliputi 36 jenis penyakit kritikal seperti di bawah;

  • Serangan sakit jantung
  • Pembedahan pintasan arteri koronari
  • Buah pinggang gagal berfungsi
  • Pemindahan organ utama
  • Sklerosis berganda
  • Buta
  • Pekak
  • Hilang suara
  • Kelecuran yang teruk
  • Penyakit terminal
  • Jangkitan HIV daripada pemindahan darah
  • Jangkitan HIV yang diperolehi melalui pekerjaan
  • Anemia aplastik
  • Tumor otak benigna
  • Strok
  • Barah
  • Hepatitis fulminan
  • Kelumpuhan
  • Hipertensi arteri pulmonari utama
  • Pembedahan injap jantung
  • Pembedahan aorta
  • Penyakit Alzheimer
  • Koma
  • Penyakit neuron motor
  • Penyakit Parkinson
  • Kecederaan kepada yang teruk akibat kemalangan yang mengakibatkan trauma
  • Distrofi otot
  • Kuman ensefalitis
  • Penyakit hati yang kronik
  • Meningitis bakteria akut
  • Sindrom apalik
  • Pembedahan otak
  • Poliomelitis
  • Penyakit-penyakit koronari lain yang serius
  • AIDS pada peringkat awal
  • Penyakit paru-paru kronik

Senarai penyakit-penyakit ini mungkin berbeza di antara pengendali atau syarikat takaful. Kebiasaannya, manfaat penyakit kritikal hanya akan dibayar sekiranya anda masih hidup sekurang-kurangnya 30 hari selepas disahkan menghidap penyakit kritikal.

Imej via iLabur

Terma Dan Syarat Utama

Anda perlu memandang serius tentang kepentingan memahami terma-terma yang digunakan di dalam takaful perubatan dan kesihatan. Sekiranya terdapat sebarang ketidakpastian atau ketidakfahaman dengan maksud sesuatu terma itu, seharusnya anda bertanya kepada ejen atau pengendali takaful anda. Ini kerana sijil takaful merupakan kontrak yang sah, justeru maksud-maksud terma yang termaktub di dalam sijil akan diguna pakai apabila tuntutan dibuat. Antara terma-terma penting takaful perubatan dan kesihatan adalah;

1. Keadaan sedia ada

Keadaan sedia ada ini merujuk kepada penyakit yang sedia ada sebelum tarikh pelan takaful anda berkuatkuasa di mana anda sedang menerima rawatan atau telah menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit tersebut. Sekiranya anda telah berjumpa dengan doktor bagi sebarang kesakitan atau ketidakselesaan, ianya akan dianggap sebagai tanda-tanda hilang upaya.

2. Rawatan luar negeri

Anda boleh mendapatkan manfaat perlindungan terhadap rawatan yang diterima di luar negeri. Namun demikian, ianya tertakluk kepada pengecualian, had dan syarat yang termaktub di dalam sijil takaful.

3. Salah nyata umur

Umur anda merupakan fakta penting di dalam pelan takaful ini. Jika anda tersilap menyatakan umur anda dan mengakibatkan caruman yang lebih rendah, sebarang tuntutan di bawah sijil tersebut akan dipro ratakan, bergantung kepada caruman yang dibayar dengan caruman yang sepatutnya dibayar.

4. Tempoh layak

Kelayakan anda terhadap manfaat di bawah pelan takaful ini hanya akan bermula selepas 30 hari dari tarikh sijil anda berkuatkuasa.

Pengecualian

Kebiasaannya, takaful perubatan dan kesihatan tidak melindungi perkara-perkara berikut;

  • Penyakit sedia ada semasa permohonan menyertai takaful dibuat.
  • Tuntutan terhadap penyakit atau kecederaan yang disebabkan oleh perlakuan anda yang melanggar undang-undang.
  • Kehamilan atau kelahiran.
  • Penyakit venereal, jangkitan atau parasit.
  • Pembunuhan atau serangan fizikal.
  • Pembedahan plastik atau kosmetik.

Cara Membuat Tuntutan

Sebelum anda menerima atau mendapatkan sebarang rawatan, sebaiknya anda menghubungi pengendali atau syarikat takaful anda terlebih dahulu untuk memastikan sama ada perlindungan meliputi rawatan yang akan anda terima. Sekiranya perbelanjaan tersebut termasuk di bawah manfaat perlindungan, anda harus bersiap sedia dengan perkara-perkara berikut;

  • Anda perlu memberi notis bertulis kepada pengendali atau syarikat takaful anda dengan segera.
  • Anda perlu menyediakan dokumen-dokumen seperti kesemua bil dan resit asal rawatan, laporan lengkap doktor mengenai diagnosis penyakit yang dirawat serta pendapat doktor mengenai tarikh penyakit mula dihidapi dan keterangan ringkas mengenai perbelanjaan rawatan termasuk perubatan dan perkhidmatan yang diterima.

Selepas menerima rawatan, adalah amat penting bagi anda untuk mematuhi nasihat perubatan kerana pengendali atau syarikat takaful tidak akan bertanggungjawab sekiranya anda memerlukan rawatan atau perkhidmatan perubatan akibat kegagalan anda untuk mematuhi nasihat tersebut.

Jemput juga baca artikel takaful kemalangan diri dan takaful motor

Rujukan

 

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.