Walaupun kita banyak mendapat info tentang takaful, kadangkala kita mungkin terlepas beberapa fakta penting. Ini menyebab berlakunya salah faham takaful.

Takaful merupakan satu skim atau pelan insurans Islam yang mana telah disahkan dan dibenarkan oleh syariah Islam. Justeru, penggunaan takaful dianggap sebagai satu alternatif perlindungan yang boleh diambil oleh individu atau masyarakat khususnya yang beragama Islam selain daripada insurans konvensional dalam menyediakan perlindungan pada masa hadapan.

Namun demikian, seiring dengan perkembangan takaful pada masa kini, skim atau pelan takaful ini tidak terlepas daripada mempunyai kesilapan-kesilapan teknikal. Sungguhpun begitu, kesilapan-kesilapan ini dapat dielakkan sekiranya peserta takaful dan terutamanya pengendali takaful dapat mengenal pasti kesilapan-kesilapan teknikal yang wujud di dalam operasi takaful.

Justeru, artikel ini adalah bertujuan untuk menjelaskan atau menyatakan kesilapan-kesilapan teknikal yang boleh dikenal pasti untuk penambahbaikan operasi takaful pada masa akan datang. Antara kesilapan-kesilapan teknikal yang mungkin berlaku di dalam pengendalian takaful adalah seperti berikut;

  1. Konsep atau akad tabarru’ difokuskan sebagai konsep asas takaful tanpa menyatakan sama ada sumbangan atau caruman peserta adalah tabarru’ sepenuhnya seperti takaful berkumpulan dan takaful am ataupun tabarru’ pelaburan seperti takaful keluarga.
  2. Pengendali takaful tidak membezakan di antara tabarru’ dan mu’awadhah  di mana mu’awadhah di dalam takaful melibatkan dua akad iaitu wakalah ala al ‘amal iaitu upah ke atas pengendalian takaful dan wakalah bi al istithmar iaitu upah ke atas pengendalian pelaburan bagi Akaun Khas Peserta (AKP) dan dana tabung tabarru’. Manakala tabarru’ dan ta’awun adalah kontrak di antara para peserta takaful untuk saling tolong-menolong.
  3. Pengendali takaful tidak menjelaskan kadar upah yang dikenakan ke atas kedua-dua kontrak mu’awadhah yang dinyatakan di atas. Ini kerana, kewujudan jahalah (ketidaktahuan) di dalam konsep mu’awadhah boleh mengakibatkan pelanggaran syariah Islam, justeru menjejaskan kesahihan konsep takaful.
    Selain itu, penjelasan berkenaan kadar atau jumlah yang dikenakan perlu kerana operasi takaful ingin menjana keuntungan atau pendapatan melalui upah yang dikenakan. Ianya tidak boleh disamakan dengan konsep upah dalam pengurusan wakaf atau harta anak yatim kerana tujuan asal pengendalian adalah bukan untuk menjana keuntungan atau pendapatan.
  4. Peserta takaful hanya dimaklumkan berkenaan jumlah manfaat yang diperolehi dan jumlah simpanan serta keuntungan pelaburan daripada simpanan Akaun Khas Peserta (AKP). Kebiasaannya, peserta tidak dimaklumkan tentang bahawa kadar keuntungan di mana pada lazimnya sebanyak 5.5% hanyalah jangkaan sahaja bukannya jumlah keuntungan yang sebenar.
  5. Pengendali takaful tidak membezakan di antara dua akaun iaitu akaun syarikat dan akaun tabarru’ atau dana takaful peserta takaful.
  6. Pengendali takaful tidak menyatakan di dalam sijil takaful di mana pengendali takaful bertindak memberi perlindungan atau membayar pampasan mewakili tabung dana takaful atau tabarru’ dan dalam masa yang sama mewakili semua peserta lain untuk beriltizam memberi perlindungan atau bantuan tertentu ketika berlakunya musibah berdasarkan prinsip iltizam bi al tabarru’.
  7. Pengendali takaful tidak membezakan di antara lebihan (surplus) dan keuntungan pelaburan daripada dana takaful atau tabarru’.
  8. Pengendali takaful tidak menyatakan dengan jelas tentang pembahagian lebihan (surplus), terutamanya dalam takaful model wakalah sama ada dikongsi antara peserta dan pengendali takaful berdasarkan nisbah perkongsian ataupun kepada peserta sahaja ataupun dikembalikan kepada tabung dana takaful atau tabarru’. Ini kerana persetujuan peserta amatlah penting dan ianya dianggap sebagai syarat yang dipersetujui.

Kebanyakkan pengendali atau syarikat takaful pada hari ini memandang serius tentang kesilapan-kesilapan teknikal yang mungkin berlaku di dalam pengendalian takaful. Ini bertujuan untuk memastikan takaful sentiasa mematuhi kehendak dan larangan syariah Islam sekali gus menghilangkan keraguan di kalangan peserta-peserta takaful.

Oleh itu, ianya terpulang kepada individu itu sendiri untuk membuat kajian dan mendapatkan informasi-informasi yang tepat tentang pengendali atau syarikat takaful yang ada dalam membuat keputusan atau memililih pengendali atau syarikat takaful yang diyakini mampu menyediakan perlindungan kepada individu dan dalam masa yang sama memastikan individu masih mematuhi kehendak dan larangan syariah Islam.

Semoga jelas artikel salah faham takaful ini. Jemput juga baca artikel kepentingan takaful dan jenis takaful

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.