Dari segi istilah bahasa, zakat membawa maksud suci dan subur. Manakala dari segi syarak, zakat bermaksud mengeluarkan sebahagian harta pada kadar tertentu berdasarkan syarat-syarat tertentu untuk diagihkan atau diberikan kepada golongan-golongan tertentu.
Jom ketahui syarat wajib bayar zakat.
Seperti penerima-penerima zakat yang mempunyai syarat-syarat tertentu sebelum boleh dikategorikan sebagai layak menerima zakat, pembayar zakat juga mempunyai syarat-syarat tertentu yang mewajibkan mereka untuk membayar zakat. Mungkin ada di antara kita yang belum arif tentang syarat-syarat yang menjadikan anda seorang yang wajib membayar zakat.
Adakah apabila kita sudah mempunyai pekerjaan dan memperoleh pendapatan secara tetap sudah menjadikan kita wajib membayar zakat? Atau adakah apabila kita mempunyai sejumlah simpanan tidak kira wang ringgit atau emas ataupun harta perumahan telah memasukkan kita ke dalam golongan-golongan yang perlu mengeluarkan zakat?
Oleh itu, artikel ini akan membincangkan tentang syarat-syarat yang mewajibkan kita untuk mengeluarkan zakat. Semoga dengan perbincangan ini dapat menambah ilmu pengetahuan dan mengurangkan kekeliruan tentang pengeluaran zakat yang mungkin berlegar di benak fikiran kita.
Syarat yang pertama adalah pemilik harta merupakan seorang yang beragama Islam. Ini kerana zakat hanya disyariatkan kepada orang Islam sahaja dan mengeluarkan zakat ini merupakan salah satu cara untuk orang Islam mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan sebagai bukti taat dan patuh kepada perintah Allah S.W.T. Ini boleh dibuktikan dengan merujuk semula kepada rukun Islam yang mana mengeluarkan zakat merupakan rukun ketiga.
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, dari Abi Abdul Rahman Abdullah bin Umar al-Khattab R.A berkata, ” Aku mendengar Nabi S.A.W bersabda ‘ Islam dibina di atas lima perkara; Bersaksikan tiada tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan.'”.
Melalui hadis di atas dapat dilihat dengan jelas dan nyata yang kewajipan membayar zakat hanya disyariatkan untuk orang Islam sahaja.
Berdasarkan pengertian dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merdeka membawa maksud bebas daripada jajahan atau kurungan atau naungan atau berdiri sendiri bermakna tidak bergantung kepada orang lain. Oleh itu, syarat merdeka di sini bermaksud seseorang individu itu adalah seorang yang bebas. Iaitu bebas daripada perhambaan atau tidak bergantung kepada orang lain.
Dewasa ini mungkin tidak wujud lagi hamba atau perhambaan tetapi para ulama tetap mengekalkan seseorang itu perlu merdeka sebelum diwajibkan membayar zakat. Tetapi jika merujuk kepada maksud merdeka iaitu tidak bergantung kepada orang lain, maka anak-anak yang masih di bawah jagaan ibu bapa mahupun penjaga tidak diwajibkan untuk mengeluarkan zakat meskipun anak-anak itu menepati syarat-syarat yang lain.
Seterusnya, seseorang itu diwajibkan mengeluarkan zakat apabila harta yang dimiliki itu adalah hak milik yang jelas dan nyata hanya kepada dirinya sahaja dan tiada orang lain yang mempunyai hak ke atas harta tersebut. Ini bermakna pemilik harta boleh mengendalikan harta yang dimiliki itu sendiri dan keuntungan yang diperolehi melalui harta menjadi miliknya sendiri dan tidak dikongsi dengan orang lain.
Justeru, harta-harta yang bukan pemilikan mutlak seseorang individu seperti harta wakaf ataupun harta baitulmal tidak wajib untuk mengeluarkan zakat. Ulama menyandarkan zakat hanya untuk harta pemilikan sempurna berdasarkan firman Allah S.W.T di dalam surah al-Taubah pada ayat ke-103 yang bermaksud,
” Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui”.
Nisab bermaksud kadar harta yang mewajibkan dikeluarkan zakat daripadanya. Justeru, cukup nisab di sini bermaksud apabila sesuatu harta yang dimiliki itu telah mencapai atau mencukupi kadar harta yang diwajibkan untuk dikeluarkan zakat maka barulah pemilik harta perlu mengeluarkan zakat.
Setiap kategori harta mempunyai nilai nisabnya sendiri. Sebagai contoh zakat haiwan ternakan seperti kambing dikira cukup nisab apabila jumlah kambing cukup atau melebihi 40 ekor. Atau kadar nisab emas dikira cukup apabila mencapai 20 dinar.
Manakala untuk wang simpanan, ulama bersepakat apabila kadar simpanan wang mencapai kadar yang sama dengan salah satu nisab emas atau perak, maka diwajibkan untuk dikeluarkan zakat daripadanya.
Haul dari segi bahasa boleh disinonimkan dengan assanah dalam Bahasa Arab yang bermaksud tahun. Melalui pengertian bahasa ini, cukup haul dari segi syarat wajib zakat bermaksud pemilikan harta itu cukup nisab untuk tempoh satu tahun.
Sebagai contoh sekiranya harta ternakan seperti kambing dari 1 Januari sehingga 31 Disember cukup atau lebih daripada 40 ekor, maka harta ternakan itu dikira cukup haul, justeru wajib dikeluarkan zakat daripadanya satu ekor kambing. Jadi, sekiranya pada 1 Januari hingga 30 November, bilangan kambing ternakan cukup nisab iaitu 40 ekor tetapi dari 1 Disember hingga 31 Disember bilangan kambing ternakan berkurang atau tidak cukup nisab 40 ekor, maka harta ternakan tersebut dikira tidak cukup haul, maka tidak diwajibkan untuk dikeluarkan zakat daripadanya.
Walaubagaimanapun, ulama telah sepakat bahawa pensyariatan haul tidak meliputi seluruh sistem zakat yang mana haul disyaratkan kepada harta seperti emas, perniagaan dan ternakan. Manakala, harta pendapatan dan pertanian tidak disyaratkan haul.
Syarat yang keenam ialah harta yang hendak dizakatkan mestilah berkembang atau bertambah ataupun ada potensi untuk bertambah atau membawa pulangan. Ini bermakna, harta-harta yang tidak berkembang atau tiada potensi untuk membawa keuntungan seperti kenderaan, jentera-jentera yang digunakan untuk perniagaan, perabot-perabot rumah dan seumpamanya tidak diwajibkan untuk dikeluarkan zakat oleh kerana ianya dimiliki untuk kegunaan sendiri sahaja dan tidak mempunyai potensi untuk membawa pulangan atau berkembang.
Islam meletakkan syarat hanya harta yang berkembang diwajibkan zakat adalah supaya pembayaran atau pengeluaran zakat tidak menyebabkan penyusutan harta pengeluar zakat. Ini bertepatan dengan maksud zakat iaitu suci yang mana zakat itu untuk menyucikan harta akan tetapi jika berlaku penyusutan terhadap kelansungan hidup individu, maka tidak diwajibkan untuk dikeluarkan zakat daripada harta yang dimilikinya.
Secara ringkasnya, terdapat 6 syarat wajib zakat iaitu Islam, merdeka, pemilikan sempurna, cukup nisab, cukup haul dan harta yang berkembang. Justeru, sekiranya di antara kita telah menepati keenam-enam syarat yang disebut di atas, maka wajib ke atas kita untuk mengeluarkan zakat.
Akan tetapi, kepada yang tidak menepati syarat-syarat di atas masih boleh mengeluarkan zakat kerana Islam amat menggalakkan umatnya untuk mengeluarkan zakat atau bersedekah. Seperti yang diriwayatkan oleh Muslim, sabda Rasulullah S.A.W;
“Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap Muslim bersedekah (zakat)”. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?”. Baginda menjawab, “Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah.” M
ereka bertanya, ” Kalau tidak mempunyai pekerjaan?”. Baginda bersabda, “Tolonglah mereka yang meminta pertolongan”. Mereka bertanya lagi, “Bagaimana pula jika tidak berkuasa?”. Baginda menjawab, “Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah”.
Oleh itu, semoga perkongsian ini dapat sedikit sebanyak menjawab persoalan-persoalan tentang syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat yang bermain-main di ruang fikiran kita semua.