Sekiranya tidak mempunyai wang yang cukup untuk beli sesuatu, ada yang akan memilih untuk berhutang bagi mendapatkannya. Persoalannya, barangan itu keperluan atau kehendak?

Berhutang itu dibenarkan tetapi perlu berhati-hati dalam membuat pinjaman hutang terutamanya bagi golongan yang cukup makan dengan pendapatan yang tidak seberapa.

Mari baca artikel ini yang akan mengupas dengan lebih lanjut gejala berhutang dalam kalangan golongan B40 di Malaysia.

Pengenalan

Selepas menyelesaikan beberapa keperluan asas, tinggal sedikit sahaja daripada gaji yang diterima dan bagi memenuhi tuntutan hidup ada ketikanya, kita terpaksa meminjam wang daripada pihak lain untuk memenuhi keperluan-keperluan yang selain keperluan asas.

Akibatnya kita perlu membayar semula hutang tersebut dan mungkin terus terjerat dalam lingkaran hutang ini.

Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2010 merekodkan nisbah hutang isi rumah terhadap pendapatan negara telah mengalami peningkatan yang mendadak sebanyak 76.6% pada tahun 2009 yang mana ia merupakan angka yang tertinggi di Asia (tidak termasuk Jepun).

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 1 April 2016 menyatakan bahawa bagi tempoh lima tahun (2012-2016), nisbah hutang isi rumah berubah-ubah, daripada 80.5% pada tahun 2012, 86.2% pada tahun 2013, 86.8% pada tahun 2014, 89.1% pada tahun 2015, dan 84.4% pada tahun 2016.

Manakala nisbah hutang isi rumah terhadap pendapatan boleh guna individu telah mencatatkan sebanyak 140.4% pada tahun 2009, iaitu lebih tinggi daripada Singapura (105.3%) dan Amerika Syarikat (123.3%).

Tujuan Berhutang

Imej via iLabur

Aktiviti masyarakat berkaitan penggunaan hutang ketika ini sebenarnya lebih menggambarkan sifat atau ciri-ciri masyarakat yang suka berhutang berbanding penggunaan tunai. Ini kerana mereka tidak perlu mengeluarkan sejumlah wang simpanan mereka.

Penggunaan hutang sebenarnya adalah mengikut tujuan dan mempunyai matlamat tertentu, seperti bertujuan untuk membebaskan dirinya daripada kesempitan hidup.

Keinginan untuk kelihatan hidup selesa boleh mengundang kepada pengambilan hutang, lebih-lebih lagi apabila kemudahan untuk berhutang mudah diperoleh.

Perkembangan yang kian rancak dalam budaya hidup mewah telah didorong oleh akses kredit yang meluas serta mudah diperoleh. Kesannya, peningkatan gejala perbelanjaan melebihi kemampuan dan pengurusan kewangan peribadi yang teruk serta pelaburan yang tidak bijak menyebabkan peningkatan hutang isi rumah di Malaysia.

Hukum Berhutang Menurut Islam

Islam membenarkan berhutang untuk keperluan daruriyyat dan hajiyyat. Hukum berhutang boleh menjadi wajib apabila niat berhutang tersebut adalah untuk memenuhi keperluan asas yang dharuri yang jika tidak berhutang akan menyebabkan 5 perkara asas yang dilindungi dalam Islam akan musnah iaitu:

  • agama
  • nyawa
  • akal
  • maruah
  • harta

Berhutang dibenarkan dalam Islam apabila ia menjadi satu keperluan dan bukan untuk sesuatu yang tidak berfaedah. Walau bagaimanapun, hutang bagi tujuan bermegah adalah bertentangan dengan syariat Islam.

Gejala Berhutang Golongan B40

Kumpulan berpendapatan rendah (B40) sering mendapat perhatian daripada banyak pihak termasuklah badan-badan NGO dan kerajaan. Keprihatinan kerajaan terhadap kumpulan B40 telah dibentangkan di dalam banyak forum termasuklah pembentangan Belanjawan Negara setiap tahun, di mana kerajaan telah menyediakan banyak bantuan dan manfaat untuk golongan ini.

Disebabkan kos sara hidup yang tinggi di Malaysia, meminjam untuk memenuhi keperluan-keperluan asas sudah menjadi lumrah dalam kehidupan mereka yang berpendapatan rendah.

Namun, disebabkan peredaran masa, mungkin hutang dalam kalangan B40 tidak lagi sepenuhnya dibelanjakan ke arah keperluan asas tetapi juga kepada keperluan tahsiniyyat disebabkan terdapatnya pengaruh oleh persekitaran seperti hubungan sosial.

Punca B40 Berhutang

Imej via iLabur

Hubungan sosial mempunyai hubungan yang positif dengan keputusan untuk menambah pinjaman dan gelagat pembelian barang bukan asas. Budaya hutang telah membelenggu kehidupan mereka di mana perkara-perkara asas dibeli secara hutang dan lebih malang lagi sekiranya melibatkan hutang riba.

Ini bermakna nsepanjang hayat mereka akan sentiasa bergelumang dengan hutang dan riba.

#1 Sikap terhadap Wang

Kecenderungan untuk berhutang juga berkait dengan sikap seseorang terhadap wang, yang menganggap wang merupakan bahagian penting dalam kehidupannya, sumber rasa hormat, kualiti hidup, kebebasan bahkan kejahatan. Keputusan ini menunjukkan bahawa nilai-nilai materialistik dapat digunakan untuk mengatasi ketidakpastian tentang nilai atau kecekapan diri.

#2 Pengaruh Sekeliling

Gelagat pembeli banyak dipengaruhi oleh kelompok-kelompok kecil. Kelompok-kelompok kecil adalah merujuk kepada teman, jiran dan keluarga. Setiap individu menginginkan teman dan sahabat yang merupakan naluri dari seseorang sebagai makhluk sosial. Sahabat bagi seseorang akan memenuhi beberapa keperluan individu terhadap kebersamaan, keinginan rasa aman, keinginan untuk berbincang masalah, dan sebagai ganti keluarga.

Sahabat memiliki pengaruh yang sangat kuat terhadap gelagat individu selepas keluarga. Pendapat atau kesukaan sahabat seringkali mempengaruhi keputusan individu dalam membuat keputusan membeli dan memilih produk atau jenama.

#3 Perasaan Malu Jika Kekurangan

Kekurangan dalam aspek fizikal akan mengundang perasaan malu terhadap orang lain. Sebagai contoh, keadaan rumah yang tidak baik boleh mengundang perasaan malu untuk bersosial dengan masyarakat.

Perasaan malu seringkali menjadi penghalang bagi seseorang untuk bergaul atau berkumpul dengan rakan-rakan sebayanya. Oleh yang demikian mereka akan mempamerkan sesuatu yang dapat menarik perhatian sosial walaupun hanya sekadar langsir atau tikar permaidani (yang diperolehi secara berhutang).

Kesimpulan

Hutang lazimnya melibatkan golongan miskin dan pertengahan untuk memenuhi keperluan seharian mereka. Kadar upah dan gaji yang mereka terima secara relatifnya diterima agak kecil atau terlalu rendah.

Perilaku berhutang dipengaruhi oleh dimensi gaya hidup, karakteristik, individual, nilai-nilai individu, karakteristik demografi dan sumber-sumber ekonomi lainnya, sehingga apabila seseorang membuat keputusan untuk mengambil pilihan untuk berhutang, maka faktor-faktor tersebut akan saling mempengaruhi dan menimbulkan kerumitan kepada keputusan untuk berhutang.

Hutang yang dibuat perlulah mengikut keperluan hierarki untuk mendatangkan banyak manfaat. Keperluan asas seperti makanan, perlindungan, pakaian dan tempat tinggal merupakan senarai produk yang diutamakan dalam penggunaan pendapatan sebelum perbelanjaan terhadap barang atau perkhidmatan dalam kategori kehendak.

Rujukan

  1. Hassan, M. K., & Khan, J. M. (2007). Zakat, external debt and poverty reduction strategy in Bangladesh. Journal of Economic Cooperation Among Islamic Countries28(4).
  2. Krumer-Nevo, M., Gorodzeisky, A., & Saar-Heiman, Y. (2017). Debt, poverty, and financial exclusion. Journal of Social Work17(5), 511-5
  3. Ngadiman, D. W. T., Yacoob, S. E., & Wahid, H. (2019). Pengaruh Hubungan Sosial terhadap Gelagat Pembelian Barangan Bukan Asas dan Niat Berhutang dalam Kalangan Isi Rumah B40. Jurnal Ekonomi Malaysia53(1), 35-46.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.