Zakat merupakan salah satu komponen ekonomi dalam Islam yang membantu kebajikan umat Islam. Kutipan dan agihan zakat di Malaysia diuruskan oleh Majlis Agama yang dilantik.

Sejauh mana tahap kecekapan mereka menguruskan kewangan dan melakukan agihan zakat?

Jom baca artikel ini.

Pengenalan

Zakat merupakan salah satu instrumen kewangan dan sumber pembangunan ekonomi Islam. Zakat berpotensi mengurangkan jurang kemiskinan di samping mengukuhkan kedudukan ekonomi umat Islam setempat.

Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menyenaraikan hal berkaitan agama Islam adalah tertakluk di bawah bidang kuasa negeri-negeri iaitu diletakkan di bawah Perlembagaan Persekutuan: Jadual Kesembilan, Senarai 2: Senarai Negeri, yang menyenaraikan perkara-perkara berkaitan urusan wasiat, zakat, baitulmal dan sebagainya.

Setiap negeri telah memperuntukkan perkara berkaitan kutipan dan agihan zakat melalui Akta atau Enakmen negeri masing-masing. Ini jelas dilihat dalam Enakmen khusus zakat ataupun sebahagian daripada peruntukkan dalam Akta dan Enakmen pentadbiran agama pihak berkuasa iaitu:

  • Majlis Agama Islam negeri-negeri antaranya dalam Akta 559: Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997
  • Enakmen Pentadbiran Agama Islam (negeri Johor) 2003
  • Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
  • Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001
  • Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004
  • Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004
  • Enakmen Zakat dan Fitrah (Negeri Sabah) 1993

Agihan Zakat

Terdapat banyak pendapat dan pandangan berkaitan pembahagian zakat kepada asnaf.

Malaysia ialah negara yang mengamalkan mazhab Imam Syafie. Menurut pandangan mazhab Imam Syafie, apabila urusan mengagihkan wang zakat itu adalah oleh imam (pemerintah/Majlis agama Islam Negeri-MAIN), maka agihan hendaklah dibuat kepada kelapan-lapan golongan asnaf.

Bahagian pertama diambil oleh amil kerana itu sebagai imbuhan mereka telah bersusah payah mengutip wang zakat dan selebihnya diagihkan kepada golongan lain di atas dasar persamaan hak antara mereka.

Tetapi sekiranya agihan dilaksanakan oleh pembayar zakat itu sendiri, maka gugurlah hak amil tersebut dan agihan hanya perlu dilakukan kepada 7 golongan sahaja.

Golongan Penerima Zakat (Asnaf)

Imej via iLabur

Zakat hanya boleh digunakan atau diagihkan kepada 8 golongan sahaja berdasarkan al-Qur’an dalam surah at-Taubah, ayat 60 iaitu:

  1. al-fuqara’ (orang fakir)
  2. al-masakin (orang miskin)
  3. amil
  4. muallaf
  5. al-riqab (hamba)
  6. al-gharimin (orang yang dibebani hutang)
  7. fisabilillah (orang yang berjuang di jalan Allah)
  8. Ibn sabil (musafir di perjalanan)

Menurut mazhab Imam Syafie, zakat boleh juga diagihkan kepada sekurang-kurangnya 3 golongan yang mana golongan ketiga ialah amil, dan itu sudah memadai.

Secara umumnya, terdapat 4 golongan yang perlu diberikan keutamaan dahulu selain amil dalam menerima wang zakat menurut pandangan Imam Syafie ini iaitu:

  • al-fuqara’ (orang fakir),
  • al-masakin (orang yang miskin)
  • al-gharimin (orang yang dibebani hutang)
  • ibn sabil (musafir di perjalanan)

Analisis Prestasi Agihan Zakat oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)

Imej via Mole

Berdasarkan kaedah analisis nisbah aliran tunai, Wahid et al. (2017) telah menganalisis data sekunder yang diperoleh iaitu laporan kewangan tahunan setiap MAIN.

Agihan Zakat

Secara keseluruhan, institusi zakat telah menunjukkan prestasi agihan kewangan dan bukan kewangan yang semakin meningkat, walaupun nilai skor yang diperoleh agak tidak konsisten.

Jumlah lebihan agihan zakat di bawah nilai 0.228% bagi skor kecekapan lebihan zakat adalah dianggap berprestasi baik walaupun belum mencapai tahap agihan yang optimum kepada 100%.

Namun begitu, kajian ini berpendapat analisis aspek lebihan dana zakat perlu diperhalusi lagi kerana ia melibatkan perekodan jumlah kutipan zakat oleh hampir keseluruhan negeri yang sebahagian besarnya berlaku di akhir tahun yang memungkinkan nilai kutipan ini tidak dilaporkan secara tepat pada tahun semasa.

Ini akan mewujudkan nilai jurang yang berbeza antara jumlah kutipan yang berlaku di akhir tahun dan jumlah pengagihan yang berlaku sepanjang tahun. Kajian ini juga mendapati institusi zakat juga telah berjaya meningkatkan prestasi agihan bukan kewangan ini dengan melaksanakan agihan yang adil mengikut keutamaan asnaf mazhab Imam Syafie.

Oleh itu, institusi zakat perlu mencari alternatif terbaik supaya kedua-dua kecekapan ini dapat dicapai secara serentak serta kecekapan agihan zakat yang optimum dan adil dapat dilakukan.

Kecekapan Pengurusan

Dapatan analisis jelas menunjukkan hampir kesemua institusi mencapai skor kecekapan keutamaan asnaf yang baik iaitu menghampiri 0.46. Ini menunjukkan wang zakat telah diagihkan hampir mengikuti kepentingan kategori asnaf mazhab Imam Syafie.

Di samping itu, mengkorporatkan kutipan serta agihan asnaf telah memberi tumpuan kepada asnaf yang lebih menyeluruh berbanding asnaf fakir, miskin dan amil. Ini jelas menunjukkan prestasi pengurusan zakat yang semakin baik akibat pengkorporatan institusi zakat bukan sahaja berjaya meningkatkan jumlah kutipan zakat secara tahunan, malah telah berupaya mengagihkan zakat secara optimum.

Isu yang Perlu Diberi Perhatian

#1 Definisi Keutamaan Asnaf  Zakat

Definisi keutamaan agihan asnaf yang mungkin berbeza antara mazhab-mazhab fiqh yang 4 iaitu menurut Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Hanbali. Ini memerlukan satu kajian perbandingan antara 4 mazhab.

#2 Definisi Asnaf yang Berbeza

Definisi asnaf yang berbeza terutamanya dalam mengkategorikan jenis program bantuan.

Contohnya bantuan pendidikan bagi kebanyakkan negeri adalah di bawah kategori asnaf fisabilillah. Namun bagi Majlis Agama Islam
Negeri Sembilan (MAINS), program bantuan pendidikan diletakkan di bawah asnaf al-riqab manakala bagi kes di Acheh, Indonesia, bantuan pendidikan adalah di bawah kategori asnaf ibn-sabil.

Kesimpulan

Kecekapan prestasi agihan zakat merupakan sesuatu yang dipandang penting oleh masyarakat Islam terutama para pembayar zakat.

Prestasi agihan zakat yang baik dan cekap mampu mempengaruhi kutipan zakat di masa akan datang. Prestasi pengagihan zakat amat bergantung kepada prestasi pengurusan kewangan oleh sesebuah institusi MAIN yang merupakan organisasi induk kepada institusi zakat.

Prestasi pengurusan kewangan yang baik oleh sesebuah institusi MAIN bukan sahaja dapat membuat perancangan kewangan penggunaan input seperti pekerja, amil dan sebagainya malah ia juga memberi kesan yang positif terhadap pengurusan zakat terutamanya dalam aspek pengagihan zakat.

Prestasi kewangan oleh MAIN amat penting dalam memastikan perjalanan organisasi tersebut adalah lancar dan dapat mencapai matlamat terutamanya dalam aspek pengurusan zakat serta wakaf serta harta-harta lain yang berkaitan dengan harta umat Islam.

Ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan masyarakat Islam terhadap institusi MAIN sebagai institusi pemegang amanah.

Rujukan

  1. Aminuddin, A. F., Wahid, H., & Nor, M. A. M. (2017). KECEKAPAN PENGURUSAN KEWANGAN DAN PENGURUSAN AGIHAN ZAKAT: KAJIAN TERHADAP MAJLIS AGAMA ISLAM JOHOR (EFFICIENCY OF FINANCIAL AND ZAKAT DISTRIBUTION MANAGEMENT: A STUDY AT JOHOR ISLAMIC RELIGIOUS COUNCIL). UMRAN-International Journal of Islamic and Civilizational Studies4(3).
  2. Wahid, H., Ahmad, S., Nor, M. A. M., & Rashid, M. A. (2017). Prestasi kecekapan pengurusan kewangan dan agihan zakat: perbandingan antara majlis agama islam negeri di Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia51(2), 39-54.

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.