Jom belajar tentang prinsip takaful. Walaupun pada dasarnya takaful bersandarkan kepada kontrak tabarru’, namun beberapa jenis atau model kontrak lain telah digunakan untuk menyelaraskan hubungan antara peserta dan pengendali takaful. Antara jenis prinsip yang paling kerap digunakan adalah seperti wakalah, mudharabah serta gabungan antara keduanya.

Satu kesepakatan telah dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara di mana kontrak takaful secara amnya berasaskan prinsip syariah iaitu tabarru’ dan ta’awun, selain daripada perjanjian yang telah ditandatangani peserta dan pengendali takaful. Oleh itu, konsep tabarru’  adalah prinsip utama dalam mewujudkan takaful dan prinsip-prinsip lain adalah untuk menjadi pelengkap kepada konsep utama takaful.

Prinsip Wakalah

Wakalah dari segi bahasa membawa maksud memelihara, menjaga, menjamin atau mengganti. Dari segi istilah pula, wakalah adalah satu pihak menyerahkan sesuatu urusan yang boleh diwakilkan mengikut syariah kepada pihak lain ketika pihak yang menyerahkan itu masih hidup.

Melalui penggunaan prinsip ini, prinsip asas perwakilan digunakan dalam projek atau aktiviti penajaan jaminan (underwriting) dan pelaburan. Dalam aktiviti penajaan jaminan atau penjaminan, pengendali takaful akan bertindak sebagai wakil kepada peserta- peserta untuk mengendalikan dana takaful.

Namun begitu, semua risiko yang ditanggung oleh dana takaful dan lebihan kendalian dana tersebut masih dimiliki sepenuhnya oleh peserta-peserta. Pengendali takaful tidak akan terlibat dalam risiko yang ditanggung oleh dana takaful, begitu juga tidak berhak ke atas sebarang lebihan daripada dana tersebut. Sebaliknya, pengendali takaful hanya menerima bayaran tetap yang dipanggil upah wakil kerana menguruskan dana takaful bagi pihak peserta, di mana upah ini bergantung kepada peratusan sumbangan yang dilakukan.

Walau bagaimanapun, ganjaran atau upah kepada pengendali takaful mungkin melibatkan ganjaran prestasi yang dicaj atau dikenakan ke atas lebihan dana takaful sebagai insentif kepada pengurusan dana takaful yang cekap dan efektif. Ini kerana, dana pelaburan takaful juga berasaskan kepada kontrak wakalah bi ajr yang membolehkan pengendali takaful mengenakan bayaran tertentu terhadapa peserta-peserta takaful untuk perkhidmatan yang telah ditawarkan.

Prinsip Mudharabah

Mudharabah di ambil dari perkataan Arab dharb yang membawa maksud memukul atau berjalan. Dari segi bahasa, memukul atau berjalan ini lebih menunjukkan kepada proses seseorang memaksa dirinya dalam menjayakan sesuatu usaha.

Dari segi istilah, mudharabah bermaksud perjanjian antara pemilik modal dan pengusaha di mana pemilik modal bersetuju untuk membiayai sepenuhnya sesuatu projek perniagaan atau pelaburan dan pengusaha pula bersetuju mengusahakannya dan untuk berkongsi untung dengan nisbah perkongsian keuntungan yang telah dipersetujui bersama terlebih dahulu.

Melalui prinsip mudharabah, pengendali takaful akan bertindak sebagai seorang mudharib atau usahawan atau pengusaha manakala peserta atau ahli adalah sebagai pemilik modal. Melalui kontrak ini juga dapat dijelaskan bagaimana keuntungan pelaburan dan lebihan dana takaful daripada operasi-operasi takaful dibahagikan antara pengendali dan peserta takaful.

Kerugian atau kehilangan yang berlaku ditanggung sepenuhnya oleh peserta takaful yang bertindak sebagai pemilik modal. Namun begitu, ianya mesti dipastikan tiada salah laku atau kecuaian daripada pihak pengendali takaful. Seandainya terdapat kecuaian atau salah laku daripada pihak pengendali, maka pengendali takaful tidak layak untuk menerima sebarang bayaran atau upah untuk kerja-kerja yang telah dilakukan.

Melalui prinsip ini juga, pengendali takaful akan menerima bayaran ansuran takaful atau sumbangan takaful yang dikira sebagai modal kepada mudharabah daripada para pelabur atau penyumbang modal ataupun dana takaful daripada peserta-peserta takaful. Prinsip ini menjelaskan bagaimana lebihan dana takaful sepatutnya dibahagikan mengikut nisbah perkongsian keuntungan yang telah dipersetujui oleh pemilik atau penyumbang modal dan pengendali takaful mengikut prinsip mudharabah.

Oleh yang demikian, prinsip mudharabah  ini boleh dianggap sebagai satu usaha perniagaan yang melibatkan perkongsian keuntungan antara pengendali takaful dan peserta takaful. Prinsip ini tidak menepati piawaian pihak Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) terhadap takaful. Ini kerana bagi AAOIFI, lebihan dana takaful tidak boleh dibahagikan kepada pengendali takaful kerana lebihan tersebut adalah baki modal, bukannya keuntungan yang terkumpul.

Namun begitu, sesetengah ulama’ kontemporari tidak membantah atau mencegah konsep ini. Mengikut pendapat mereka, mereka membenarkan perkongsian lebihan antara peserta takaful dan pengendali takaful. Menurut mereka, konsep ini boleh dianggap sebagai ju’alah atau komisen ke atas kecemerlangan prestasi pengurusan.

Imej via Saray Consultancy

Persamaan Dan Perbezaan Prinsip Wakalah Dan Mudharabah

Terdapat dua persamaan di antara prinsip wakalah dan mudharabah seperti berikut;

  1. Mudharib  dalam prinsip mudharabah yang dianggap sebagai pengusaha atau rakan kongsi juga dianggap sebagai wakil. Oleh yang demikian, dalam kedua-dua jenis pelaburan, pemilik modal tidak akan menguruskan perniagaan atau pelaburan itu sendiri, tetapi menyerahkan kuasa mengurus kepada pengendali takaful sebagai wakil atau pengusaha.
  2. Bayaran atau upah untuk pengurusan dana dan juga komisen ditetapkan sejak dari awal di dalam prinsip wakalah. Begitu juga di dalam konsep mudharabah, nisbah perkongsian keuntungan perlu dipersetujui terlebih dahulu.

Manakala dari segi perbezaan pula, terdapat dua perkara yang membezakan prinsip wakalah dan mudharabah iaitu;

  1. Di dalam model wakalah, tidak terdapat nisbah perkongsian keuntungan. Manakala di dalam model mudharabah, mudharib atau pengendali takaful berkongsi keuntungan dengan pemilik modal dan hanya akan mendapat keuntungan sekiranya pelaburan itu menghasilkan keuntungan.
  2. Pengendali takaful berhak menerima bayaran pekhidmatan pengurusan dana takaful tidak kira apa jua keadaan sama ada pelaburan dana takaful dalam keadaan baik mahupun tidak di dalam konsep wakalah. Tetapi di dalam konsep mudharabah, pengendali takaful tidak berhak menerima keuntungan daripada pelaburan kecuali jika sudah terdapat komisen yang telah ditetapkan terlebih dahulu sebagaimana yang dipersetujui oleh sebahagian ulama’.

Gabungan Prinsip Wakalah Dan Mudharabah

Dalam konsep ini, kontrak wakalah digunakan dalam aktiviti-aktiviti penajaan jaminan, sementara kontrak mudharabah pula digunakan untuk aktiviti-aktiviti pelaburan dana takaful. Sesetengah organisasi antarabangsa menyukai pendekatan gabungan dua konsep ini dan ianya digunakan secara meluas oleh industri takaful.

Kebanyakkan pengendali takaful yang telah biasa dengan penggunaan prinsip mudharabah kini telah beralih ke prinsip wakalah. Gabungan ini berlaku pada peringkat pengurusan dana takaful apabila pengendali takaful bertindak sebagai wakil kepada peserta untuk menguruskan dana, dan dalam masa yang sama bertindak sebagai pengusaha atau mudharib pada peringkat pelaburan. Oleh itu, sebagai pengusaha, pihak pengurusan berhak berkongsi keuntungan daripada pulangan pelaburan.

Kesimpulan

Walaupun pada dasarnya takaful bersandarkan kepada konsep utamanya iaitu konsep tabarru’, namun begitu penggunaan konsep-konsep atau prinsip-prinsip lain amat penting dalam membantu menyelaraskan dan melancarkan perjalanan sistem takaful.

Selain daripada itu, penggunaan prinsip-prinsip seperti wakalah dan mudharabah serta gabungan kedua-duanya dapat melengkapkan sistem tabarru’ yang menjadi keutamaan dalam sistem takaful di samping membantu untuk menutup kekurangan-kekurangan yang mungkin berlaku dalam sistem takaful.

Jemput juga baca artikel:

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.