Takaful dari segi bahasa di ambil dari perkataan bahasa Arab kafala yang bermaksud jamin. Dari segi istilah ia bermaksud saling jamin-menjamin, menjaga atau memelihara antara satu sama lain, iaitu peserta atau ahli takaful yang mengambil perlindungan takaful akan saling jamin-menjamin di kalangan peserta yang lain untuk saling membantu ketika ditimpa musibah.

Sementara itu wakaf di ambil dari perkataan bahasa Arab waqafa yang membawa maksud berhenti, menegah dan menahan. Dari segi istilah pula, wakaf membawa maksud segala harta yang ditahan hak orang yang mewakafkan harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat beribadah kepada Allah S.W.T.

Takaful model wakaf pula adalah gabungan konsep amalan takaful dengan menggunakan kontrak berprinsipkan wakaf. Ini bermaksud, peserta menjadi ahli kepada sesuatu pelan takaful dengan syarat mereka menyerahkan sejumlah wang sebagai wakaf. Melalui model ini, peserta bukan sahaja dapat menikmati manfaat dari segi duniawi iaitu mendapatkan bantuan atau pampasan sewaktu ditimpa musibah, bahkan mereka mendapat manfaat dari sudut agama.

Dalam konsep ini, orang yang mewakafkan hartanya dalam bentuk menjadikannya sebagai sumber hasil yang ditetapkan tujuan perbelanjaannya atau penggunaannya. Ia juga menggunakan prinsip sumbangan terhadap harta wakaf yang tidak dikira sebagai wakaf. Sumbangan ke atas wakaf ini adalah untuk menggantikan sumbangan yang dilakukan melalui penyertaan.

Segala bantuan yang diperolehi peserta takaful yang ditimpa musibah atau bencana datang daripada sumber wakaf berdasarkan tujuan wakaf pada awalnya. Pembayaran atau pemberian bantuan ini adalah daripada hasil wakaf dan wang yang disumbangkan ke atas harta wakaf tersebut. Model wakaf dalam takaful bergantung kepada beberapa perkara berkaitan hukum wakaf, antaranya seperti berikut;

  1. Wakaf dalam bentuk wang. Kebanyakkan ulama mazhab Hanafi, Maliki dan sebahagian daripada ahli feqah mazhab Hanbali bersepakat bahawa hukum wakaf wang adalah harus. Ini kerana ia diwakafkan secara mudharabah, dan keuntungan yang terhasil dibelanjakan ke atas orang yang diwakafkan, mengikut syarat-syarat wakaf. Ia juga kerana ia boleh diwakafkan untuk tujuan memberi hutang.
  2. Orang yang mewakafkan harta berhak mengambil manfaat daripada harta yang diwakafkan jika ia adalah wakaf am, atau dia telah mensyaratkan bahawa dia berhak mengambil manfaat daripada harta tersebut bersama-sama dengan orang lain. Ulama mengambil contoh perbuatan Saidina Uthman RA sebagai hujah yang mana beliau telah mewakafkan telaga al-Rumah dan mensyaratkan bahawa baldinya dijadikan baldi seluruh umat Islam.
  3. Segala sumbangan yang disumbangkan kepada harta wakaf tidak dianggap sebagai wakaf. Harta tersebut dibelanjakan ke atas orang-orang yang harta itu diwakafkan ke atas mereka, serta untuk maslahah harta wakaf tersebut.
  4. Para ahli feqah bersetuju bahawa wakaf mesti dilakukan untuk pihak yang wujud secara berterusan.

 

Imej via Waqaf An-Nur

Modus Operandi Takaful Berprinsipkan Wakaf

Syarikat takaful menubuhkan satu tabung wakaf di mana sebahagian daripada modal syarikat diwakafkan untuk peserta-peserta yang ditimpa musibah atau bencana berdasarkan peraturan dan syarat penggunaan dana tersebut. Sistem ini berasaskan wakaf wang yang harus mengikut hukum syarak. Kemudian, jumlah wang yang diwakafkan ini akan dilaburkan dengan berpandukan konsep mudharabah di mana keuntungannya akan dimasukkan ke dalam tabung khusus untuk tujuan pelaksanaan tujuan atau matlamat wakaf.

Sementara itu, dana takaful pula tidak dimiliki oleh mana-mana pihak sama ada ahli takaful atau ejen takaful mahupun syarikat takaful. Dana itu sendiri merupakan satu entiti yang sah di sisi undang-undag yang memungkinkannya untuk memiliki harta dan melakukan pelaburan serta memberi pemilikan kepada orang lain berdasarkan kepada peraturan yang telah ditetapkan.

Selain itu, sebarang pihak yang inginkan perlindungan takaful boleh menyertai keanggotaan dana dengan cara melakukan sumbangan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Kemudian, sebarang sumbangan daripada ahli menjadi milik dana wakaf. Walaupun sumbangan itu bukanlah harta wakaf, tetapi ia dianggap hak milik sumber wakaf. Oleh itu, jumlah sumbangan tersebut tidak wajib disimpan sebagaimana wang wakaf. Justeru, ia boleh dilaburkan untuk kebaikan dana, dan dibelanjakan bersama-sama dengan keuntungan untuk pembayaran pampasan dan tujuan-tujuan wakaf yang lain.

Penetapan dan penentuan syarat-syarat berkaitan hak peserta atau ahli takaful untuk mendapat pampasan dan jumlah bayaran penyertaan atau sumbangan untuk setiap jenis perlindungan ditentukan oleh syarat-syarat dana atau tabung. Ia juga boleh ditentukan melalui penilaian aktuari seperti yang diamalkan oleh syarikat-syarikat insurans konvensional.

Sementara itu juga, sebarang pampasan yang diperoleh oleh para peserta bukanlah bayaran balasan terhadap sumbangan yang mereka lakukan. Sebaliknya, pampasan itu merupakan satu pemberian khas daripada dana wakaf kerana mereka termasuk atau tergolong dalam golongan orang yang diwakafkan untuk mereka seperti yang termaktub di dalam syarat-syarat wakaf.

Oleh itu, ia adalah jelas di sudut hukum bahawa orang yang mewakafkan wang berhak mengambil manfaat daripada sumber wakaf seandainya dia termasuk dalam senarai atau golongan orang yang diwakafkan untuknya. Oleh sebab itu, pengambilan manfaat atau pemberian pampasan wakaf ini bukanlah bayaran ganti kepada wakaf yang dilakukan oleh orang yang mewakafkan wang.

Selain itu, dana wakaf mempunyai hak yang nyata dan mutlak ke atas harta dalam dana wakaf mengikut syarat-syarat yang yelah ditetapkan dalam peraturan dana wakaf. Dana wakaf mengandungi semua harta di dalamnya yang terdiri daripada keuntungan wang wakaf dan sumbangan yang dibuat oleh para peserta beserta keuntungan yang diperolehi melalui pelaburan yang dilakukan.

Dalam masa yang sama, dana wakaf berhak menentukan kedudukan lebihan dana wakaf yang berlaku sama ada dikekalkan di dalam dana wakaf untuk dijadikan sebagai rizab untuk defisit atau kekurangan yang mungkin berlaku pada tahun-tahun berikutnya. Ataupun mahu dibahagikan keseluruhan lebihan atau sebahagian daripada lebihan tersebut kepada para peserta.

Sementara itu seandainya lebihan itu dibahagikan, pembahagian lebihan dana tersebut akan dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian yang pertama adalah bahagian yang dikekalkan sebagai rizab, bahagian kedua pula adalah bahagian yang dibahagikan kepada para peserta dan bahagian yang terakhir adalah bahagian yang dibelanjakan untuk tujuan kebajikan bagi menzahirkan ciri-ciri dana wakaf.

Pada kesimpulannya sekiranya dilihat secara telus, takaful model wakaf ini mempunyai kelebihan dan keperluan tersendiri. Model ini dilihat sesuai untuk menggantikan atau menambahbaik konsep tabarru’  yang diamalkan dalam sistem takaful.

*Jemput juga baca artikel kami tentang takaful travel

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.