Jom belajar tentang jenis-jenis retakaful .Penggunaan retakaful atau penyertaan syarikat takaful di dalam syarikat retakaful merupakan salah satu cara bagi syarikat-syarikat takaful untuk mengurangkan beban risiko yang ditanggung serta membantu syarikat-syarikat takaful untuk menyediakan perlindungan kepada peserta-peserta takaful. Secara ringkasnya, retakaful merujuk kepada perkongsian risiko antara syarikat takaful dengan syarikat takaful yang lain atau dengan syarikat insurans konvensional yang lain.

Dengan kewujudan sistem retakaful atau takaful semula yang berkesan, syarikat atau pengendali takaful dapat meningkatkan kapasiti atau keupayaan mereka serta memstabilkan tahap menaja jamin mereka. Pengurusan retakaful yang efektif juga dapat meningkatkan keupayaan pengendali atau syarikat takaful dalam melindungi dana takaful daripada bebanan kewangan yang melampau sekiranya berlaku tuntutan di luar jangkaan.

Berdasarkan perbincangan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2010 berkenaan Isu Syariah dalam Kewangan Islam, perlaksanaan retakaful adalah berlandaskan kepada dua cara utama seperti berikut;

  1. Retakaful alir masuk (inward retakaful) di mana syarikat takaful menerima risiko daripada syarikat-syarikat takaful atau retakaful serta syarikat insurans mahupun reinsurans.
  2. Retakaful alir keluar (outward retakaful) di mana syarikat takaful mengagih atau memberikan risiko yang ditaja jaminnya kepada syarikat takaful atau retakaful serta syarikat insurans mahupun reinsurans yang lain.

Jenis-Jenis Retakaful

Secara umumnya, terdapat dua jenis retakaful utama yang kerap dilaksanakan di dalam industri takaful. Kedua-dua jenis retakaful yang utama adalah seperti berikut;

1. Retakaful fakultatif

Retakaful fakultatif atau facultative retakaful merujuk kepada retakaful yang melibatkan pemindahan risiko daripada pengendali atau syarikat takaful kepada syarikat atu pengendali retakaful berdasarkan risiko demi risiko ataupun kes demi kes.

Melalui retakaful fakultatif, setiap risiko akan dipertimbangkan secara berasingan dan setiap pihak yang terlibat bebas untuk membuat keputusan. Keputusan yang dimaksudkan adalah sama ada pihak pengendali takaful ingin mengagihkan risiko serta pihak pengendali retakaful ingin menerima atau menolak pengagihan risiko yang dipertimbangkan tersebut.

Ini bermaksud apabila pengendali atau syarikat takaful menerima sesuatu permohonan takaful yang mempunyai nilai perlindungan yang melebihi had keupayaan mereka, mereka boleh mempertimbangkan risiko yang melebihi had keupayaan perlindungan mereka secara risiko demi risiko sama ada mereka hendak mengagihkan beban risiko tersebut kepada syarikat retakaful ataupun tidak. Dalam pada itu juga, syarikat retakaful berhak untuk mempertimbangkan risiko yang dicadangkan oleh pengendali takaful secara risiko demi risiko sama ada mereka hendak menerima atau menolak risiko tersebut.

Apabila kedua-dua pihak iaitu pengendali takaful bersedia mengagihkan beban risiko yang ditanggung serta syarikat retakaful sanggup menerima risiko yang dipertimbangkan tersebut, kedua-dua pihak akan menandatangani satu kontrak yang sah. Proses ini dinamakan retakaful fakultatif.

Imej via Mawar Assufi

2. Retakaful triti

Retakaful ataupun takaful semula triti merujuk kepada retakaful dengan semua risiko yang telah memenuhi syarat dan peruntukan yang termaktub di dalam perjanjian (triti) akan mendapat perlindungan takaful daripada syarikat retakaful secara automatik. Di dalam retakaful triti, satu perjanjian akan ditandatangani oleh pengendali takaful dan syarikat retakaful.

Di dalam perjanjian yang ditandatangani itu, semua syarat dan peruntukan berhubung dengan risiko yang ditanggung oleh pengendali takaful akan dipindahkan kepada syarikat retakaful. Pemindahan syarat dan peruntukan ini dinyatakan secara jelas di dalam perjanjian tersebut. Ini bermakna, sebarang risiko yang telah ditaja jamin oleh pengendali takaful yang memenuhi syarat dan peruntukan yang termaktub di dalam perjanjian secara automatiknya akan dipindahkan dan ditanggung oleh syarikat retakaful.

Dalam erti kata lain, pengendali takaful mesti mengagihkan semua risiko yang memenuhi syarat dan peruntukan yang termaktub di dalam perjanjian yang dipersetujui dan syarikat retakaful pula mesti menerima risiko tersebut secara automatik tanpa sebarang perbincangan lanjut dengan pengendali takaful.

Melalui retakaful triti juga, pengendali takaful tidak boleh membuat pemilihan ke atas risiko yang hendak diagihkan kepada syarikat retakaful dan syarikat retakaful juga tidak boleh menolak perlindungan takaful kepada risiko-risiko yang memenuhi syarat dan peruntukan yang telah termaktub di dalam perjanjian yang telah dipersetujui tersebut.

Jenis-Jenis Triti

Terdapat empat jenis triti dalam retakaful iaitu triti kongsi kuota (quota share), triti lebihan (surplus), triti lebihan kerugian (exess of loss) dan triti kerugian tersekat (stop loss). Sementara itu, keempat-empat triti ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu triti berkadar dan triti tidak berkadar.

Triti berkadar atau retakaful berkadar merupakan retakaful atau takaful semula apabila pengendali takaful dan syarikat retakaful berkongsi caruman dan tuntutan berhubung dengan kontrak asal takaful dengan kadar yang sama dengan bahagian jumlah asal yang ditakafulkan yang telah diserahkan oleh pengendali takaful dan telah diambil alih oleh syarikat retakaful.

Triti tidak berkadar ataupun retakaful tidak berkadar pula adalah takaful semula apabila pengendali takaful menanggung bayaran bagi semua kerugian yang ditanggung setakat amaun yang telah dipersetujui terlebih dahulu. Syarikat retakaful hanya akan menanggung sebarang baki kerugian yang melebihi had tanggungan pengendali takaful yang telah dipersetujui.

Triti kongi kuota (quota share) dan triti lebihan (surplus) merupakan triti berkadar di mana kerugian, caruman dan belanja dibahagi di antara pengendali takaful dengan syarikat retakaful mengikut bahagian-bahagian tertentu. Sementara triti lebihan kerugian (excess of loss) dan triti kerugian (stop loss) tersukat merupakan triti tidak berkadar di mana syarikat retakaful hanya akan membiayai tuntutan setelah pengendali takaful sudah menggunakan kesemua peruntukan perlindungannya.

Berikut adalah penerangan-penerangan lebih lanjut tentang keempat-empat jenis triti iaitu;

1. Triti kongsi kuota

Triti kongsi kuota ataupun quota share triti bermaksud pengendalu takaful dan syarikat retakaful bersetuju untuk berkongsi berhubung denhan bayaran caruman dan kerugian daripada semua perniagaan takaful yang telah ditaja jamin oleh pengendali takaful berdasarkan satu kadar yang telah ditetapkan sehingga ke satu jumlah yang maksimun. Jumlah-jumlah ini telah dipersetujui oleh pengendali takaful dan retakaful. Manakala had tanggungan oleh pengendali takaful dinyatakan di dalam bentuk peratusan, bukannya di dalam bentuk nilai mutlak (pro-rates).

2. Triti lebihan

Di dalam triti lebihan atau surplus, syarikat retakaful bersetuju untuk menerima pembahagian yang melebihi had keupayaan perlindungan pengendali takaful sehingga ke satu jumlah maksimum yang telah ditetapkan, Kemudian, pengendali takaful dan syarikat retakaful berkongsi bayaran premium dan kerugian mengikut kadar tertentu berdasarkan kepada bahagian perniagaan takaful mereka masing-masing yang mana ia berhubung dengan kadar nilai takaful yang ditaja jamin mereka.

3. Triti lebihan kerugian

Triti lebihan kerugian atau excess of loss kebiasaannya digunakan oleh pengendali takaful bagi mendapatkan perlindungan terhadap kerugian yang amat besar. Di bawah jenis triti ini, syarikat retakaful hanya akan menanggung bahagian kerugian yang melebihi had keupayaan pengendali takaful sehingga ke satu jumlah maksimum yang telah ditetapkan.

4. Triti kerugian tersukat

Triti kerugian tersukat ataupun stop loss triti merupakan pengendali takaful menetapkan peratusan kerugian yang sanggup dilindungi atau ditanggung oleh mereka, manakala peratusan lebihan akan diserahkan kepada syarikat retakaful. Kebiasaanya, jumlah peratusan adalah kerugian yang terkumpul untuk tempoh satu tahun dan ia dikenali juga sebagai aggregate of loss.

Kesimpulannya, retakaful boleh dianggaps sebagai penyokong atau pendokong kepada operasi syarikat takaful. Dan ianya terpulang kepada pengendali takaful itu sendiri sama ada ingin mendapatkan khidmat retakaful ataupun tidak. Dan pengendali takaful juga mempunyai pilihan untuk bagaimana mereka ingin menyerahkan atau membahagikan perlindungan takaful yang ditaja jamin mereka kepada pihak retakaful.

Jom baca tentang juga:

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.