Aset adalah seseuatu yang dimiliki oleh seseorang inidvidu atau sesebuah organisasi. Ia juga mempunyai nilai ekonomi seperti hartanah, kenderaan atau harta lain.

Jadi, amat penting untuk kita melindungi aset-aset yang kita miliki. Ia kerana, melindungi aset yang paling penting adalah salah satu langkah yang utama dalam merancang pelan kewangan peribadiyang bagus, dan dasar insurans yang betul akan membantu anda untuk melindungi aset atau harta benda anda.

Pertamanya, dalam memilih insurans anda haruslah memilih dasar insurans yang menyediakan dasar ketidakupayaan yang menyediakan liputan yang mencukupi untuk membolehkan anda untuk menikmati dan meneruskan gaya hidup semasa anda walaupun anda tidak lagi boleh bekerja.

Selain itu, insurans nyawa atau insurans kehidupan perlu tinggi dalam dasar insurans anda untuk melindungi orang-orang yang bergantung kepada anda.

Di samping itu, melihat kepada bayaran perubatan atau rawatan yang sememangnya tinggi cukup untuk menjadikan insurans kesihatan sesuatu yang menjadi keperluan pada hari ini.

Selain itu, insurans pemilikan rumah juga dapat mengurangkan kesulitan anda dalam urusan perumahan anda. Justeru, dalam artikel ini, kita akan membincangkan tentang lima dasar insurans yang anda patut ketahui.

Insurans Hilang Upaya Jangka Panjang

Kemungkinan atau kebarangkalian untuk kita mengalami kecacatan jangka panjang amat membimbangkan dan menakutkan tetapi malangnya anda sesetengah individu memilih untuk mengabaikannya atau memilih untuk tidak memikirkannya.

Sememangnya kita sentiasa berharap supaya tiada apa-apa akan berlaku kepada kita atau berharap agar kita terus kekal sihat untuk meneruskan kehidupan, namun sekadar bergantung kepada harapan untuk melindungi atau merancang masa hadapan anda bukanlah suatu idea atau fikiran yang bijak.

Sebaliknya, kita boleh memilih dasar insurans yang menyediakan dasar ketidakupayaan jangka panjang. Dasar ketidakupayaan yang dimaksudkan adalah dasar yang menyediakan liputan atau perlindungan yang mencukupi bagi memastikan kita dapat terus menikmati gaya hidup kita pada waktu sihat walaupun kita tidak lagi mampu bekerja.

Insurans Kesihatan

Sebagai manusia biasa kita tidak mampu lari daripada jatuh sakit. Justeru, kebiasaanya sakit ini memerlukan kita untuk mengeluarkan belanja untuk mendapatkan rawatan atau ubat-ubatan. Ini sekaligus akan mengganggu perancangan kewangan peribadi kita.

Malah, bayaran penjagaan perubatan mahupun rawatan amatlah tinggi. Untuk sakit-sakit biasa seperti demam, selsema atau batuk juga boleh mneyebabkan kita mengeluarkan belanja sebanyak puluhan ringgit, apatah lagi bayaran untuk penyakit yang kronik yang memerlukan untuk kita berbelanja ratusan malahan ribuan ringgit.

Mungkin anda merasakan boleh mendapatkan rawatan di hospital atau klinik yang disediakan oleh pihak kerajaan yang mana perbelanjaannya jauh lebih murah berbanding hospital atau klinik persendirian. Tetapi, perbelanjaan perubatan yang rendah menjadikan hospital atau klinik tersebut menjadi tumpuan sekaligus menyebabkan waktu menunggu lebih lama.

Kita mugkin boleh menunggu untuk penyakit biasa, tetapi untuk penyakit yang memerlukan rawatan segera, adakah kita sanggup untuk menahan kesakitan dan menunggu untuk dirawat?Walaupun kos insurans kesihatan adalah beban kewangan untuk semua orang, kos berpotensi tidak mempunyai liputan adalah lebih tinggi.

Malah, kerajaan juga memandang serius tentang perkara ini sehinggakan kerajaan melancarkan program atau dasar insurans kesihatan bajet untuk golongan yang tidak berkemampuan.

Kita mungkin merasakan bahawa perbelanjaan insurans kesihatan adalah sesuatu yang membebankan, tetapi ketahuilah perbelanjaan untuk perubatan atau rawatan jauh lebih tinggi sekiranya anda tidak memiliki insurans kesihatan.

Imej via iLabur

Insurans Nyawa

Memiliki insurans nyawa juga merupakan suatu kepentingan kepada kita. Mungkin golongan bujang di antara kita merasakan insurans nyawa ini tidak perlu, kerana insurans nyawa melindungi orang-orang yang bergantung kepada kewangan kita. Justeru, pada pemikiran kita, para ibu bapa sahaja yang perlu memiliki dasar insurans ini.

Jika itu yang berlegar di fikiran kita terbukti tanggapan itu salah. Ini kerana, tidak semestinya anak-anak sahaja yang bergantung kepada kewangan ibu bapa, tetapi ibu bapa juga bergantung kepada kewangan anak-anak.

Oleh itu, sekiranya ibu bapa, pasangan, anak-anak atau orang-orang tersayang akan terkesan atau menghadapi kekangan kewangan jika kita meninggal dunia, maka insurans nyawa seharusnya tinggi dalam senarai dasar insurans yang kita perlukan.

Selain itu, perbelanjaan pengebumian juga boleh menelan belanja yang tinggi dan perbelanjaan yang tidak dijangka ini mungkin akan membebankan keluarga kita. Justeru, seeloknya kita dapatkan dasar insurans ini untuk menggantikan pendapatan atau sumber kewangan setelah tiba waktu kematian kita.

Insurans Pemilikan Rumah

Menukar atau memperbaiki rumah kediaman kita akan menelan belanja yang amat tinggi. Oleh itu, memiliki dasar insurans pemilikan rumah dapat membantu kita dalam hal ini. Tetapi, kita haruslah mencari dasar atau polisi yang meliputi penggantian struktur dan kandungan rumah, untuk dijadikan tambahan kepada perbelanjaan hidup sementara rumah kita diperbaiki.

Kita juga harus ingat bahawa perbelanjaan untuk pembinaan semula tidak akan termasuk dengan nilai tanah kerana tanah tersebut sudah menjadi milik kita. Tetapi, perbelanjaan pembinaan semula rumah kita bergantung kepada umur rumah kita dan kemudahan-kemudahan yang ada di dalamnya.

Jumlah perbelanjaan untuk baik pulih rumah kita mungkin lebih rendah atau lebih tinggi daripada harga yang kita bayar untuknya.

Kita juga perlu fikir tentang caj-caj yang dikenakan oleh kontraktor-kontraktor setempat untuk proses baik pulih atau membina semula rumah kita. Kebanyakkanya mengenakan harga yang tinggi. Justeru, memiliki insurans pemilikan rumah dapat membantu kita meringankan beban kewangan yang perlu ditanggung untuk membina semula rumah kediaman kita.

Insurans Kenderaan

Insurans kenderaan telah dijadikan suatu kemestian oleh undang-undang negara kita yang mana kenderaan tanpa insurans kenderaan, kita tidak boleh menggunakan kenderaan kita. Malah ianya merupakan suatu kesalahan undang-undang jalan raya.

Tetapi, masih ramai yang tidak mengetahui kepentingan insurans kenderaan. Sehinggakan ada yang sanggup memilih dasar insurans yang minimum atau terendah untuk menjimatkan wang.

Sekiranya kita terlibat dalam kemalangan dan mengakibatkan kecederaan kepada orang lain atau merosakkan harta benda mereka, kita mungkin akan tertakluk kepada tuntutan mahkamah yang boleh merisikokan semua yang kita miliki.

Justeru, pilihlah dasar insurans kenderaan yang optimum kerana ianya lebih selamat daripada anda merisikokan semua yang anda miliki hanya kerana untuk menjimatkan sedikit wang.

Hati-Hati Dalam Membeli Insurans

Polisi insurans datang dalam pelbagai bentuk dan menawarkan ciri-ciri, manfaat dan harga yang berbeza. Oleh itu, berhati-hatilah dalam memilih insurans. Kita perlu membaca dasar yang ditawarkan atau bercakap dengan ejen-ejen insurans yang diiktiraf untuk memastikan kita mendapatkan polisi yang terbaik untuk keperluan kita.

*Jemput juga membaca artikel tentang memahami kontrak insurans.

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.