Malang tidak berbau.

Kemalangan jalan raya sememangnya merupakan igauan ngeri bagi ramai pengguna jalan raya. Kadang kala, kita sudah cermat memandu, dah ikut semua peraturan jalan raya yang ditetapkan, tetapi kalau dah ditakdirkan, pengguna jalan raya lain pula yang cuai dan menyebabkan kita terpalit dengan kemalangan.

Sadis! Kemalangan meninggalkan banyak impak negatif.

Contohnya, apabila kita terlibat dengan kemalangan jalan raya, pastinya hal ini akan memberi kesan ke atas kelangsungan kehidupan kita seperti bebanan emosi, kecederaan fizikal dan masalah kewangan kerana kita perlu membaiki kesan kerosakan kenderaan akibat kemalangan.

Baiklah, dalam artikel ini, penulis ingin berkongsikan pengurusan kenderaan dan langkah-langkah yang perlu diambil apabila anda terlibat dalam nahas kemalangan jalan raya.

Sebahagian kandungan daripada artikel ini diolah daripada perkongsian di Twitter oleh pengguna bernama Encik Ben.

Berikut ialah pengurusan kereta kemalangan supaya anda tidak mengalami kerugian dan juga peringatan keselamatan jalan raya yang lain. Masih ramai antara kita yang masih belum tahu cara yang betul untuk menguruskan urusan insurans dan kemalangan kenderaan, yang akhirnya hanya akan memberikan keuntungan atas angin kepada pihak insurans dan penarik kereta sahaja.

Jom baca!

#1 Hubungi polis

Imej via iLabur

Sebelum anda bawa kenderaan yang mengalami kemalangan ini ke balai polis berhampiran, anda perlu hubungi pihak polis untuk menghantar pegawainya meninjau keadaan kemalangan (selain untuk mengawal lalu lintas jika perlu).

Pegawai polis ini akan mengambil gambar kes kemalangan dan hal ini akan memudahkan urusan laporan polis di balai nanti.

Seeloknya anda berkomunikasi dengan pegawai polis tersebut untuk mencadangkan balai polis yang terdekat kerana kes kemalangan sebegini di bawah laporan kuasa balai polis trafik (tidak semua balai polis ada balai polis trafik).

#2 Jangan tanda tangan dokumen oleh penarik kereta (tow truck)

Pertama sekali apabila berlakunya kemalangan, pastinya anda akan memanggil dan menggunakan perkhidmatan kereta penunda (towing). Pastikan tow truck ini ialah mereka yang memang dilantik oleh syarikat insurans anda (boleh hubungi pihak insurans terlebih dahulu untuk kesahihan).

Kebiasaannya, apabila longkai (penarik kereta) sampai, mereka akan suruh anda tandatangani satu dokumen. Respon anda yang sepatutnya? JANGAN TANDA TANGAN.

Kalau anda akur dan turunkan tanda tangan, longkai tersebut akan menerima komisen 10% daripada insurans anda.

Imej via iLabur

Ada sesetengah mereka, apabila ada pengguna yang enggan menandatangani dokumen tersebut, mereka akan mula menggertak, mengugut atau momokkan dengan kisah-kisah sedih.

Anda hanya perlu maklumkan kepada mereka bahawa ‘Saya nak towing kereta sahaja!’

Caj yang biasa dikenakan ialah dalam julat RM200-300 untuk towing atau mungkin percuma jika insurans anda ada cover sepenuhnya.

#3 Nak towing ke mana?

Destinasi towing pertama anda ialah ke BALAI POLIS. Di sini, anda perlu membuat laporan polis yang lengkap dan urusan-urusan lain.

Selesai membuat laporan dan kenderaan berada dalam keadaan yang boleh dibaiki di bengkel, minta longkai untuk hantarkan kereta ke bengkel panel untuk lakukan pembaikan kemalangan.

Sekiranya anda tidak pasti bengkel panel di bawah syarikat insurans anda, sila hubungi pihak insurans untuk dapatkan alamat bengkel panel yang konvenien bagi anda.

#4 Tuntut komisen 10% daripada tauke bengkel

Tuntutan komisen daripada bengkel ini bergantung kepada jenis premium insurans anda.

Biasanya, sehari selepas kemalangan, esoknya pihak insurans akan menghantar agen mereka (loss adjuster) untuk datang ke bengkel dan menilai jumlah kerosakan.

Sebenarnya, anda boleh tuntut (claim) 10% daripada nilai repair di bengkel tersebut daripada pihak bengkel. Ini adalah hak anda kerana anda seolah telah memberi job kepada tauke bengkel itu.

Contohnya kereta yang mahal-mahal macam Audi, BMW atau Mercedes, tentunya jumlah repair dalam RM100k, 10% nilai tuntutan itu, anda boleh dapat RM10k.

#5 Tuntutan ‘Loss of Use‘ daripada pihak insurans

Selain itu, jika anda dilanggar oleh kenderan lain, anda boleh tuntut ‘loss of use‘ daripada pihak insurans pihak yang melanggar anda mengikut jumlah hari kereta anda tersadai di bengkel. Nilainya bergantung kepada jenis insurans yang anda ambil.

Sebagai contoh, bengkel memberi anggaran kereta siap dibaiki dalam tempoh 1 bulan, jika nilai ‘lost of use’ anda ialah RM30 sehari, anda boleh dapatkan tuntutan sebanyak RM30 x 30 = rm900, dengan tempoh maksimum tuntutan ini ialah 90 hari (3 bulan).

Atas dasar ‘loss of use’ ini, anda boleh gunakannya untuk bayaran pengangkutan seharian anda sementara menunggu kereta anda siap dibaiki.

Namun, sekiranya pihak bengkel tidak berjaya untuk menyiapkan kereta anda dalam tempoh yang dianggarkan itu, anda tidak lagi boleh buat tuntutan kepada pihak insurans.

Diingatkan juga bahawa tuntutan ini hanya boleh dibuat ke atas pihak yang melanggar kenderaan anda, jika anda terlibat kenderaan kerana terbabas atau tidak melibatkan orang lain, anda tidak boleh menuntut ‘loss of use‘ daripada insurans sendiri.

#6 Berhati-hati dengan karenah bengkel

Sila pastikan bengkel itu menggunakan alat ganti (spare part) yang original, asli. Juga, barangan atau alatan kenderaan yang rosak itu ditukar baru, bukannya dibaiki sahaja.

Selesai baiki, sila minta pihak insurans berikan anda senarai dan data bahagian kenderaan yang ditukar oleh bengkel tersebut.

Seandainya terdapat keraguan, seperti kurang barangan yang asli ditukar, anda perlu tuntut kembali daripada tauke bengkel tersebut. Jika mereka enggan, anda gertak dengan laporan polis dan aduan tribunal pengguna. Negara kita ada undang-undang, bukan?

#7 Berhati-hati dengan penarik kereta

Tambahan, apabila penarik kereta tow truck ini cakap, ‘Hantar ke bengkel saya je la.’ Mohon jangan percaya kerana mereka tidak memiliki bengkel.

Semoga artikel ini dapat membantu sesiapa yang ditimpa musibah kemalangan jalan raya.

Sama-samalah kita mengelakkan kezaliman semasa dalam kemalangan. Jangan lupa sentiasa amalkan baca doa naik kenderaan.

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.