Masyarakat luar bandar khususnya wanita sering dikaitkan dengan kehidupan serba kekurangan. Ini disebabkan mereka memiliki tahap pendidikan rendah, ketiadaan kemahiran dalam pekerjaan dan disebabkan faktor keturunan.

Dengan pengenalan kepada Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT), dijangka dapat membantu golongan usahawan wanita di luar bandar ini.

Bagaimana?

Ketahui caranya dengan terus baca artikel ini.

Pengenalan

Dalam membincangkan sesuatu isu yang berkaitan dengan kawasan luar bandar, istilah luar bandar sering dikaitkan dengan situasi seperti:

  • kawasan yang kecil
  • bilangan penduduk yang sedikit
  • mempunyai masalah ekonomi
  • kawasan yang serba kekurangan
  • kawasan yang tidak boleh memberi keuntungan kepada sesebuah organisasi

Menyedari hal ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam mengurangkan masalah kehidupan masyarakat luar bandar.

ICT dipercayai merupakan platform terbaik untuk masyarakat luar bandar. Ini kerana ICT mampu membawa impak ekonomi yang besar kepada golongan luar bandar sekiranya mereka memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi yang berkesan untuk memajukan perniagaan mereka.

Cabaran Penggunaan ICT

Terdapat beberapa masalah dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar dari segi penggunaan ICT. Terdapat 6 faktor utama iaitu:

#1 Organisasi

Kekurangan minat dan kurang kepakaran dalam menggunakan ICT, kebimbangan mengenai risiko menggunakan ICT, kualiti perkhidmatan yang rendah yang disediakan oleh pusat perkhidmatan, kekurangan minat oleh sektor swasta untuk mengambil bahagian dalam membangunkan ICT di kawasan luar bandar, dan bilangan telecenter atau pusat perkhidmatan teknologi yang sedikit.

#2 Teknikal

Penggunaan jalur lebar yang rendah, kekurangan perkakasan, kekurangan infrastruktur yang sesuai, kekurangan perisian, sistem telekomunikasi yang lemah, dan kekurangan kepakaran dalam bidang ICT.

#3 Kewangan

Kos yang tinggi untuk membeli perkakasan dan perisian, kos yang tinggi untuk akses Internet, kos untuk mengekalkan sistem, kos untuk perbelanjaan menaik taraf sistem, dan kekurangan pelabur untuk melabur misalnya daripada pihak awam dan swasta untuk memulakan pelaburan di kawasan luar bandar.

#4 Sosial

Aspek technophobia atau takut kepada teknologi memberi kesan yang negatif kepada seseorang individu untuk menggunakan ICT. Keadaan ini menyebabkan individu tidak begitu memahami tentang manfaat dan kebaikan ICT kepada mereka.

Selain itu, faktor ini turut mempengaruhi aspek pengawalseliaan di mana kurangnya sokongan daripada pihak yang terlibat, peralatan yang tidak mencukupi dan juga terdiri daripada unit lama, kurangnya tempat-tempat strategik untuk membangunkan kegiatan ICT di luar bandar.

#4 Peraturan

arahan penggunaan yang kurang difahami, cara pengiklanan digital yang tidak dikuasai.

#5 Manusia

Tahap kemahiran pengetahuan yang rendah terhadap ICT, kurang kepakaran dalam mengendalikan peralatan ICT, dan juga mempunyai pemikiran yang jumud terhadap kelebihan ICT.

ICT Membantu Ekonomi

ICT merupakan alat yang boleh menyumbang kepada penjanaan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Keberkesanan dalam perkembangan ICT mampu menjana transformasi ekonomi sesebuah tempat dan mampu menghasilkan alat kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sesuatu tempat.

Selain daripada kekuatan sumber ekonomi, kewangan, pemasaran, sosial, politik, dan sebagainya, kunci utama kepada kejayaan dan pembangunan dalam dunia hari ini ialah dengan menguasai ICT.

Melalui peningkatan teknologi baru, kawasan yang membangun dengan kepesatan teknologi akan memperoleh faedah daripada kelebihan penggunaannya.

Tambahan pula, pengguna ICT lebih cenderung untuk menjadi kaya dan berpendidikan lebih baik daripada yang bukan pengguna ICT.

Jurang Digital

Perbezaan pembangunan kawasan berkaitan ICT dikenali sebagai jurang digital. Jurang digital merupakan jurang yang wujud antara seseorang yang menggunakan akses teknologi digital dengan seseorang yang tidak ataupun jarang menggunakannya.

Istilah jurang digital global pula merujuk kepada istilah yang menggambarkan jurang antara negara yang maju dengan negara kurang maju, manakala di peringkat kebangsaan pula istilah ini memberi gambaran jurang yang wujud antara bandar dengan luar bandar.

Melalui ICT dapat dilihat bahawa teknologi akan menghasilkan perbezaan dalam peluang pembangunan antara setiap masyarakat yang mendapat akses daripada ICT ataupun sebaliknya yang tidak mendapat akses daripada ICT.

Jurang digital dipengaruhi oleh aspek seperti:

  • sosio ekonomi
  • jantina
  • umur
  • bahasa
  • tahap pendidikan
  • lokasi tempat tinggal

Isu ICT dengan Masyarakat Luar Bandar

Beberapa masalah yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar dalam memperkasakan aktiviti ekonomi melalui penggunaan ICT.

Antaranya ialah:

  1. kurangnya infrastruktur asas dan peralatan ICT itu sendiri
  2. kurangnya kemahiran dan pengetahuan mengenai peralatan ICT
  3. mempunyai masalah teknikal dalam menggunakan peralatan ICT misalnya terlupa kata laluan, url
  4. dibelenggu oleh masalah kemiskinan dan kekurangan modal
  5. lebih selesa menjalankan aktiviti bisnes secara bersemuka berbanding atas talian

Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa masalah sedemikian adalah berpunca daripada faktor individu itu sendiri. Melalui faktor individu ia dikaitkan dengan tahap pendidikan yang rendah dalam kalangan wanita luar bandar.

Di Malaysia, golongan wanita kurang melibatkan diri dalam sesuatu perkara yang berkaitan dengan ICT disebabkan memiliki tahap pendidikan yang rendah.

Usahawan luar bandar yang terlibat dalam bidang agro teknologi didominasi oleh golongan lelaki dengan peratus penyertaan 75.6% manakala wanita pula hanya 24.4%.

Keadaan ini berlaku kerana tahap pendidikan yang rendah dalam kalangan wanita luar bandar menyebabkan mereka kurang diberi peluang dalam menyertai program yang melibatkan penggunaan teknologi baru.

Kajian Tinjauan

Siti Masayu Rosliah Abdul Rashid pada tahun 2016 ada menjalankan penyelidikan kesan penggunaan ICT dalam meningkatkan pencapaian usahawan wanita luar bandar.

Penemuan kajian mendapati, masyarakat luar bandar telah menyedari tentang kepentingan ICT berdasarkan status pemilikan komputer dan langganan jalur lebar dalam kalangan responden.

Ini mungkin disebabkan beberapa inisiatif kerajaan dalam menggalakkan penggunaan ICT di luar bandar. Antara inisiatif yang diperkenalkan adalah Satu Rumah Satu Komputer, Pemberian Komputer Percuma dan Pemberian Netbook Percuma.

Selain itu, pelaksanaan Projek Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI), Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (High Speed Broadband), di samping pakej jalur lebar dapat menggalakkan masyarakat luar bandar membuat langganan Internet.

Selain itu, responden yang berpendapatan tinggi berpotensi untuk memiliki komputer berbanding dengan responden yang berpendapatan rendah. Majoriti daripada responden yang memperoleh pendapatan dalam lingkungan RM3201 hingga RM4000 memiliki peralatan komputer.

Pendapatan tinggi yang diperoleh menunjukkan bahawa aplikasi penggunaan ICT dalam aktiviti perniagaan berupaya meningkatkan taraf hidup disamping menjana pendapatan bulanan masing-masing. Namun demikian, masih terdapat sebilangan responden yang berada pada tahap “pendapatan rendah”.

Keadaan ini disebabkan oleh responden yang tidak mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan ICT sama ada melalui Internet atau telefon bimbit. Justeru itu, bagi mencapai hasrat kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat di luar bandar, semua pihak haruslah bekerjasama untuk menangani masalah ini.

Penekanan dalam aspek teknik dan strategi berkesan melalui aplikasi penggunaan ICT dalam aktiviti perniagaan perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Kesimpulan

Masyarakat luar bandar telah menyedari tentang kepentingan ICT dalam kehidupan mereka. Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka tidak mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan teknologi Internet dalam kehidupan masing-masing.

Kebanyakan daripada mereka lebih mengutamakan teknologi yang bersifat mudah dan senang untuk digunakan berbanding dengan teknologi yang sukar tetapi lebih bermanfaat. Dengan itu, kebanyakan daripada mereka memperoleh faedah yang terhad disebabkan aplikasi penggunaan yang terbatas.

Justeru itu, melalui cadangan yang dibincangkan, diharap agar masyarakat di luar bandar dapat menerapkan kaedah penggunaan ICT yang berkesan terutamanya penggunaan Internet di samping memaksimumkan sepenuhnya kemudahan teknologi dalam aktiviti perniagaan mahu pun aktiviti seharian mereka.

Jemput juga baca artikel tentang biodata Siti Nurhaliza, biodata Neelofa dan kisah usahawan beras Faiza

Rujukan

  1. Othman, N. A., & Omar, F. I. Cognitive Needs of ICT usage in Business Among Women Entrepreneurs.
  2. Rashid, S. M. R. A. (2016). KEUPAYAAN ICT DALAM MENINGKATKAN PENCAPAIAN USAHAWAN WANITA: SATU KAJIAN KES USAHAWAN LUAR BANDAR DI MALAYSIA. e-BANGI11(2), 78-103.

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.