Dikagumi kawan dan lawan, nama Datuk Seri Siti Nurhaliza merupakan penyanyi nombor satu di Malaysia yang sangat dikenali dengan bakat nyanyiannya.

Kini, ikon bernama Siti Nurhaliza ini sudah mengorak setapak ke bidang perniagaan.

Jom baca artikel ini untuk lebih mengetahui mengenai sisi seorang ahli perniagaan bernama Datuk Seri Siti Nurhaliza ini. Biodata Siti Nurhaliza dari sudut usahawan dirinya.

Pengenalan

Dari segi industri hiburan, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah merakamkan hampir 16 album studio dan lebih 250 lagu, dengan anggaran jualan keseluruhan albumnya sekitar 5 juta unit.

Siapa yang tidak mengenali ikon ini?

Beliau sungguh dikenali oleh segenap lapisan masyarakat dengan pelbagai peringkat umur dan bangsa, juga di peringkat antarabangsa. Dengan lebih 300 anugerah dan pencapaian, bakatnya sebagai penghibur memang tidak boleh disangkal lagi.

Beliau juga telah disenaraikan sebagai salah seorang muslim yang berpengaruh oleh Pusat Pengajian Strategi Islam Diraja bagi tahun 2016 dan 2017.

Bagi mengukuhkan jenama “Siti Nurhaliza”, sebagai ahli perniagaan, beliau memiliki aset-aset perniagaan dalam media massa, kosmetik dan fesyen, masing-masing menerusi penubuhan syarikat Siti Nurhaliza Production, Simply Siti dan Creacion.

Latar Belakang Siti Nurhaliza

Imej via Instagram

Beliau bukanlah datang dari keluarga yang berada atau keluarga yang terlibat dengan perniagaan besar. Sebaliknya, sosok Siti Nurhaliza ini hanyalah gadis kampung yang dibesarkan oleh keluarga kecilnya di Kuala Lipis dengan arwah ayahnya, Tarudin Ismail bekerja sebagai pegawai polis berpangkat koperal dan ibunya, Siti Salmah Bachik yang merupakan suri rumah tangga.

Pendedahan awal beliau terhadap dunia perniagaan mungkin bermula sedari usia 9 tahun apabila, seawal jam 4 pagi, Siti Nurhaliza sudah bangun untuk membantu ibunya menjual kuih-muih bagi mendapatkan pendapatan sampingan menampung keluarga mereka yang seramai 7 adik-beradik.

Pengalaman meniaga kuih dari rumah ke rumah memberi iktibar kepada Siti Nurhaliza sehingga kini untuk sentiasa menghargai rezeki melalui jerih-perih mencari rezeki.

Tambahan pula, interaksi sosial semasa sesi jual beli berlaku sediki-sebanyak telah membantu beliau untuk lebih memahami karenah pelanggan dan meningkatkan kemahiran komunikasi.

Siti Nurhaliza Productions

Siti Nurhaliza Productions (SNP) ialah sebuat syarikat rakaman, media dan hiburan beribu pejabat di Taman Connaught, Cheras yang diasaskan pada 1998 oleh Siti Nurhaliza yang turut berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Selain menerbitkan album studio Siti Nurhaliza (mereka tidak menerbitkan album Siti Nurhaliza sehingga 2006, kerana Siti masih di bawah kontrak dengan Suria Records), syarikat ini turut menguruskan aktiviti seni dan menerbitkan beberapa rancangan televisyen selain menganjurkan konsert dan aktiviti hiburan yang lain.

Menurut beliau, ibu bapanya, Siti Salmah Bachik dan Tarudin Ismail ialah orang kuat SNP, manakala adik-beradiknya termasuk beliau sendiri bertindak sebagai ahli Lembaga Pengarah dan ini ialah perniagaan keluarga yang dihadiahkan bagi membalas jasa keluarganya terhadap kerjayanya.

Antara anak syarikat SNP ialah:

  • Siti Nurhaliza Collections (cendermata, barangan berjenama, barangan koleksi)
  • Siti Nurhaliza Marketing (pemasaran)
  • SN Mobile Digital (telekomunikasi mudah alih)
  • Siti Sound (audio)

Simply Siti

Imej via SimplySiti

SimplySiti Sdn. Bhd. (didaftarkan sebagai SimplySiti) ialah syarikat produk kosmetik dan kecantikan yang diasaskan pada Mac 2010 oleh Siti Nurhaliza dengan ibu pejabatnya beroperasi di Midvalley City, Kuala Lumpur.

Dengan bantuan suami dan dua rakan niaganya, beliau menceburkan diri dalam industri kosmetik ini selepas kajian selama dua tahun bersama AC Nielsen untuk mengkaji pasaran dan sasaran pelanggan.

Produk kosmetik ini telah dihasilkan di Korea dengan aplikasi teknologi nano.

Sebelum berada di pasaran, SimplySiti menerima status Halal daripada pegawai dari JAKIM yang mengkaji kilang di Korea untuk memeriksa setiap aspek pembuatan dengan peraturan yang lebih ketat untuk memastikan produk berkenaan disahkan Halal.

Menariknya, kebanyakan produk SimplySiti ini diberi nama berdasarkan produk seni Siti Nurhaliza itu sendiri seperti judul lagu dan tajuk album.

Semua produk ini sedia didapati di mana-mana Watson, Guardian dan Jusco di seluruh Malaysia.

Terbaru, produk minuman kesihatan ‘Beausiti’ telah dikeluarkan sebagai minuman solusi kecantikan holistik dengan teknologi Phyto Nutrient C+ & Nutri-Lock. Produk ini ialah kerjasama dengan kajian Formulasi UNIPEQ(UKM).

Jenama Creacion

Imej via Instagram

Pada Mac 2016, beliau meluaskan lagi  empayar perniagaannya dengan mengeluarkan jenama pakaian sendiri yang diberi nama Creacion by Siti Nurhaliza.

Di bawah jenama ini, beliau menghasilkan semua koleksi siap pakai (RTW-ready to wear) berdasarkan ideanya sendiri. Penghasilan pakaian tersebut adalah melalui kerjasama dengan jenama hijab terkenal, Ariani.

Menurut beliau, sebagai wanita dan pencinta fesyen, perniagaan itu memang sesuatu yang diimpikan sejak dulu lagi.

Beliau turut mengenakan busana dari jenamanya sendiri apabila membuat persembahan di majlis-majlis tertentu bagi tujuan promosi yang ternyata berkesan telah menarik perhatian ramai penggemar fesyen dan peminatnya sendiri.

Koleksi pakaiannya itu direka khusus untuk semua golongan wanita, sama ada berhijab ataupun tidak.

Selain koleksi pakaian, beliau juga mengeluarkan dua koleksi hijab iaitu Ariani x Siti Nurhaliza dan Ariani Stockist x Siti Nurhaliza di butik Ariani.

Produk Ctea

Imej via enacademic

Ramai yang tidak tahu, sebelum Siti Nurhaliza berjaya dengan produk bisnes yang dinyatakan sebelum ini, Siti Nurhaliza pernah menceburi perniagaan makanan dan minuman dengan menghasilkan produk minuman teh uncang dengan jenama CTea pada tahun 2004.

Teh ini ditanam di kaki bukit Gunung Kinabalu dan dipasarkan di Sabah pada Mei 2004 dan ke seluruh Malaysia pada Julai 2004.

Produk ini bertahan sehingga Mac 2010 untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada SimplySiti.

Nilai Kekayaan

Siti Nurhaliza sudah mula dikenali sebagai seorang ahli perniagaan hebat, berjaya dan terkenal di Malaysia.

Beliau kini mendahului senarai ‘Artis Terkaya’ di Malaysia dengan nilai harta melebihi RM50 juta, seterusnya membolehkan beliau dinamakan sebagai salah satu daripada jutawan dalam industri hiburan, terutama di Timur Selatan rantau Asia.

Sebagai salah seorang artis yang paling prolifik di Malaysia, beliau dikatakan dibayar RM45,000  untuk persembahan selama 30 minit dan RM 70,000 untuk persembahan sejam pada tahun 2009.

Caj ini djangka sudah berubah sesuai dengan status Siti Nurhaliza sebagai penyanyi terunggul di Malaysia.

Projek Kebajikan

Sepanjang kerjayanya, Siti Nurhaliza telah terlibat dalam beberapa acara berkaitan amal, termasuklah mengadakan sumbangan amal kepada banyak agensi terpilih, konsert amal, rumah terbuka dan melancarkan tabung amalnya sendiri.

Pada Mac 2004, beliau menubuhkan Tabung Prihatin Siti, menjadikan beliau artis Malaysia pertama yang mempunyai tabung amal bersempena namanya yang bermatlamat untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM 50, 000 untuk rawatan perubatan dan pendidikan kanak-kanak.

Pada tahun 2006, beliau dan suaminya menubuhkan Yayasan Nurjiwa yang bertindak sebagai platform untuk membantu mereka yang memerlukan melalui konsert amal dan acara makan malam untuk mengumpul wang derma.

Kesimpulan

Kecekalan dan kegigihan seorang public figure yang bernama Siti Nurhaliza ini wajar dicontohi ramai. Siti Nurhaliza bukanlah graduan univerisiti terbaik dunia, malah tahap pendidikannya hanyalah sehingga SPM sahaja.

Namun begitu, ilmu perniagaan yang ditampilkan oleh beliau menunjukkan bahawa beliau seorang yang suka melengkapi diri dengan ilmu dan disokong oleh kumpulan penyelidikan dan dikelilingi oleh orang-orang yang sama-sama ingin berjaya.

Datuk Seri Siti Nurhaliza telah membuktikan bahawa kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Jemput baca artikel tentang biodata Syed Mokhtar Bukhari

Rujukan

  1. https://www.instagram.com/ctdk/
  2. https://ms.wikipedia.org/wiki/Siti_Nurhaliza_binti_Tarudin
  3. https://simplysiti.com.my/
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.