Kewujudan sesuatu fahaman atau ajaran membawa kepada perkembangan dalam pemikiran manusia. Justeru pemikiran yang dipercayai dan difahami oleh setiap individu ini yang akan mencorakkan kehidupan individu.

Oleh itu, masyarakat Islam yang menganut agama Islam yang hidup berlandaskan agama dan tauhid kepada Allah telah melahirkan pemikiran ekonomi Islam yang tersendiri. Pemikiran ini berkembang selepas pemergian baginda Rasulullah S.A.W melalui ijtihad yang berasaskan hukum fekah.

Perkembangan pemikiran ekonomi Islam ini juga disebabkan oleh wujudnya dalil atau nas yang berkaitan dengan ekonomi dalam al-Quran dan as-Sunnah. Tidak dinafikan juga pemikiran ekonomi Islam juga berkembang selari dengan pertambahan pelbagai isu ekonomi di kalangan masyarakat Islam seterusnya melahirkan tokoh-tokoh yang menyumbang kepada pemikiran ekonomi Islam.

Jadi, penulis ingin berkongsi di antara tokoh-tokoh yang menyumbang kepada pemikiran ekonomi Islam.

Abu Yusuf (113-182H / 731-798M)

Ya’aqub bin Ibrahim bin Habib bin Khunais dilahirkan di Kufah dan meninggal dunia di Baghdad adalah tokoh ekonomi Islam yang terawal. Beliau merupakan penuntut ilmu dari kalangan ulama-ulama mazhab Hanafi dan telah dilantik menjadi Ketua Mahkamah Agung oleh Khalifah Harun ar-Rasyid. Beliau aktif menyampaikan ilmunya dan turut menulis tentang ilmunya. Di antara kitabnya yang terkenal ialah al-Jawami’, Rad’ala Siyar al-Auzai dan al-Atsar.

Kitab beliau, al-Kharaj ( Percukaian), beliau menekankan tentang pentingnya sistem percukaian dalam membangunkan ekonomi, bagaimana mengutip cukai dan mengagihkannya, keupayaan membayar cukai dan bagaimana mentadbir cukai.

Beliau juga menekankan isu tentang pembangunan bidang pertanian dengan menyarankan kerajaan untuk memainkan peranan dalam menyediakan kemudahan awam seperti pengairan, benteng, tanah dan kemudahan-kemudahan pertanian yang lain.

Beliau juga turut menekankan pentingnya kerajaan untuk campur tangan dalam aktiviti-aktiviti ekonomi untuk perkembangan ekonomi dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana yang boleh membawa kepada kesejahteraan rakyat. Beliau turut menegaskan tentang perlunya sistem pentadbiran yang amanah, telus, adil dan cekap dalam melaksanakan ekonomi yang bijaksana.

Ibn Taimiyah (661-728 H / 1263-1328 M)

Ibn Taimiyah atau Taqi al-Din Abu Abbas Ahmad dilahirkan di Harran, Syria seorang tokoh yang bermazhab Hanbali. Ketinggian ilmunya telah mendapat perhatian oleh pihak kerajaan sehingga ditawarkan jawatan tinggi dalam kerajaan namun atas dasar tidak suka dikongkong beliau menolak pelawaan itu secara baik.

Walaubagaimanapun, beliau tidak terlepas dari terkena tempias fitnah sehingga pernah dipenjarakan sebanyak empat kali. Pemikirannya dalam ekonomi dapat diambil dari hasil karyanya seperti Majmu’ Fatawa Syeikh al-Islamal-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’i wa al-Ra’yah dan al-Hisbah fi al-Islam.

Dalam karya al-Hisbah fi al-Islam, beliau membincangkan tentang sistem pasaran harga, penawaran, persaingan dalam pasaran, buruh dan upah, hak milik awam, tanggungjawab kerajaan dalam memenuhi keperluan asas rakyat, pengawalan harga dan peranan sektor awam.

Manakala dalam buku al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’i wa al-Ra’yah ( Undang-Undang Awam dan Persendirian dalam Islam), beliau membahaskan tentang konsep harga yang adil iaitu dengan mendapatkan persetujuan dari semua pihak yang terlibat, keuntungan, sistem pasaran yang bergantung kepada permintaan dan penawaran, kesan cukai dari kerajaan kepada peniaga ke atas pembeli atau pengguna sehingga memberi kesan kepada penetapan harga sesuatu produk atau barangan dan peranan kerajaan dalam memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi.

Dalam buku tersebut juga, beliau membincangkan pemikiran beliau dalam menentang konsep ekonomi bebas atau kebebasan berekonomi. Beliau juga menegaskan upah atau gaji yang adil perlu ditetapkan untuk pekerja supaya mereka mendapat sejumlah pendapatan yang membolehkan mereka hidup selesa dan sempurna.

Seperti Abu Yusuf, Ibn Taimiyah juga membenarkan campur tangan kerajaan dalam pasaran untuk mengelakkan monopoli atau dominasi dan spekulasi. Beliau melihat suatu keperluan untuk menentukan jumlah keuntungan yang adil serta tidak merugikan pengguna atau pembeli.

Di antara perkongsiannya ialah mengenai institusi hisbah (pengawasan) yang berfungsi untuk menjaga persaingan secara saksama dan berterusan dengan jujur dan amanah serta membanteras penguasaan dan ketidakadilan harga. Malah, beliau menyatakan penentuan harga boleh ditetapkan melalui mesyuarat. Ini boleh dilaksanakan dengan menguatkuasakan undang-undang terhadap pengeluar, pedagang mahupun orang tengah.

Walaubagaimanapun, Ibn Taimiyah amat menekankan kepada peranan dan tanggungjawab kerajaan dalam menjadikan keperluan asas rakyat sebagai suatu kewajipan yang mesti dipenuhi oleh kerajaan.

M. N. Siddiqi (1931 M –   )

tokoh islam

Imej via iLabur

Muhammad Nejatullah Siddiqi dilahirkan di Gorakhpur, India merupakan seorang Profesor Ekonomi di pusat penyelidikan ekonomi Islam antarabangsa, Universiti Raja AbdulAziz (International Center for Research in Islamic Economics, King AbdulAziz University, Jeddah). Beliau pernah menjadi profesor dan menjawat jawatan Dekan di Jabatan Pengajian Islam di Universiti Aligarh.

Beliau turut pernah menjawat jawatan Reader in Economics, Universiti Aligarh dan Editor Jurnal Islamic Thought serta sebagai Editor Journal of Research in Islamic Economics (Jeddah). Beliau pakar dalam bidang agama, ekonomi Islam dan perbankan Islam. Beliau banyak memberi sumbangan dari segi keilmuan dengan menulis dan menterjemah buku serta menulis kertas kerja yang berkaitan dengan Islam dan ekonomi Islam.

Di antara karya-karya utama beliau adalah; Some Aspects of Islamic Economy, Economic Enterprise in Islam, Banking Without Interest, Muslim Economic Thinking, Issues in Islamic Banking dan Economics: An Islamic Approach.

Siddiqi membincangkan tentang ciri-ciri sistem ekonomi Islam yang mana di antaranya ialah tentang perlaksanaan zakat dan pengharaman riba. Menurut beliau sesuatu sistem ekonomi itu tidak layak diberi gelaran sistem ekonomi Islam sekiranya kedua-dua perkara iaitu perlaksanaan zakat dan pengharaman riba tidak wujud dalam perlembagaan atau peraturan sesuatu sistem ekonomi tersebut.

Ini kerana, kedua-dua perkara ini disebut dan diulang-ulang secara kerap di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Menurut beliau lagi, al-Quran dan as-Sunnah telah memberikan paradigma dan contoh yang amat jelas bagi ekonomi Islam.

Kesimpulan

Akhir kata, kita sering mendengar tentang tokoh-tokoh ekonomi dunia yang kebanyakkan dimonopoli dan didominasi oleh tokoh-tokoh dari barat seperti Aristotle, Adam Smith dan ramai lagi.

Oleh kerana itu, penulis berharap melalui perkongsian ini dapat membuka mata pembaca tentang kewujudan tokoh-tokoh ekonomi Islam yang tidak kurang hebatnya dalam membahaskan dan membincangkan tentang kepentingan dan peraturan ekonomi untuk keselesaan masyarakat khususnya untuk masyarakat Islam seluruh dunia.

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.