Jom kita selongkari kisah usahawan beras Faiza.

Salah satu daripada bahan makanan yang wajib ada di dalam dapur setiap rumah adalah beras. Beras adalah makanan ruji rakyat Malaysia. Pendek kata, tak lengkap sesebuah dapur kalau tiada beras di dalamnya. Malah ketua keluarga pastinya akan berasa susah hati kalau beras di dapur semakin susut dan mulai kering. Risau kalau ahli keluarga akan kelaparan. Terdapat pelbagai jenis dan jenama beras di pasaran. Yang mana satu kegemaran anda?

Ada yang suka makan beras import dan ada yang lebih sukakan beras tempatan. Bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan sempadan Malaysia – Thailang pastinya sukakan beras import dari Thailand yang terkenal dengan keenakan dan kualitinya yang tinggi.

Namun jangan dilupakan bahawa beras keluaran tempatan juga tak kurang hebatnya. Salah satu jenama tempatan yang mendapat hati di kalangan rakyat Malaysia ialah beras jenama Faiza. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan kisah usahawan beras Faiza yang boleh dijadikan sebagai inspirasi.

Sumber: Penyusakit

“Saya ingin menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini.” Ini adalah ayat terkenal yang menjadi sebutan oleh para usahawan di Malaysia yang ingin berjaya. Tahukah anda bahawa yang sebenarnya ayat ini asalnya diluahkan oleh Puan Faiza Bawumi Sayed Ahmad yang merupakan pemilik dan Pengarah Urusan syarikat pemborong beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd. Selepas itu, ayat ini menjadi trending di kalangan usahawan di Malaysia. Puan Faiza yang sangat merendah diri dilahirkan di Mesir dan berhijrah ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya.

Syarikat Faiza Sdn. Bhd telah ditubuhkan pada tahun 1992. Puan Faiza datang dari keluarga peniaga dan telah bergelumang dalam dunia perniagaan sejak kecil sebagai juruwang di kedai milik ibu bapanya. Pengalaman beliau menguruskan perniagaan bapanya menyebabkan beliau sangat sukakan perniagaan. Namun perjalanan kejayaan Puan Faiza bukanlah mudah. Menurut kisah yang diceritakan oleh beliau sendiri, semasa mula-mula sampai di Malaysia, beliau mencari duit dengan cara mengambil upah menjahit sulaman dengan modal permulaan sebanyak RM4. Dalam masa yang sama beliau juga menjual barangan dapur.

Tidak lama kemudian beliau mula membuat rempah kari dengan jenama Bunga Raya. Rempah kari tersebut dibuat dari dapurnya sendiri di rumah dan dijual di kedai-kedai runcit berhampiran rumahnya. Apabila beliau mula mempunyai modal hasil dari jualan rempah kari jenama Bunga Raya tadi, wang tersebut digunakan untuk membuka kedai runcit. Setelah mempunyai kedai runcit sendiri, Puan Faiza mula mengenali para pemborong beras dan mengenali selok-belok tentang beras seperti jenis beras dan kualitinya.

Beliau mula berminat untuk menjual beras lalu mula pergi ke kedai-kedai berhampiran dan cuba mendapatkan maklum balas sama ada mereka sudi membeli beras dari beliau sekiranya beliau mula menjual beras. Apabila melihat respons positif dari pekedai di kawasan tersebut, Puan Faiza telah memohon lesen pemborong beras. Setelah lesen tersebut berjaya diperolehi, beliau mula menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi, dan beras Siam.

Sumber: Penbirumama

Beliau membungkus beras-beras tersebut dengan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai runcit di seluruh negeri Johor. Bermula dari situ, kini syarikat beliau mempunyai beberapa buah kilang di Kuala Lumpur, Kedah dan Terengganu.

Pada tahun 1998, beliau melaburkan jutaan ringgit untuk mengeluarkan beras ponni dari India yang sangat baik untuk kesihatan, khususnya bagi penghidap diabetes, obesiti dan darah tinggi. Malah syarikatnya telah meminta Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membuat kajian ke atas beras tersebut dan hasilnya adalah positif. Kini syarikat beliau menjual beras ponni dari India dengan nama Taj Mahal dan telah mendapat hak eksklusif daripada Bernas.

Selain menjual beras, Syarikat Faiza Sdn. Bhd juga mengeluarkan bahan makanan seperti berikut:

  • Rempah
  • Bihun
  • Sos cili
  • Kicap
  • Bubur herba

Pada hari ini, Syarikat Faiza Sdn Bhd mempunyai 200 pekerja tetap dan lebih 300 pekerja kontrak. Menurut Puan Faiza, untuk pengeluaran produk bihun syarikatnya telah menempah mesin khas yang didatangkan dari China. produk bihun keluaran Faiza diproses di sebuah kilang di Sri Gading. Kilang tersebut mampu mengeluarkan sebanyak sembilan tan bihun sehari bagi memenuhi keperluan pasaran di seluruh Malaysia.

Puan Faiza selalu menegaskan bahawa semua usaha yang dilakukan olehnya bukan untuk mengumpulkan kekayaan semata-mata sebaliknya beliau ingin menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu masyarakat Malaysia yang susah. Itulah sebabnya syarikat beliau bekerjasama dengan TV3 selaku penaja utama program Bersamamu. Syarikat Faiza Sdn Bhd telah bekerjasama dengan TV3 untuk menjayakan program tersebut selama hampir 10 tahun.

Dari segi kehidupan berkeluarga, Puan Faiza akan menerapkan sifat berdikari dalam diri anak-anaknya. Sejak kecil lagi anak-anaknya dilatih untuk menjual dan akan diberikan upah untuk setiap produk yang berjaya dijual. Apa yang paling penting bagi beliau ialah pendidikan dan akan menggalakkan anak-anaknya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang paling tinggi mengikut kemampuan masing-masing.

Menurut beliau, tidak semua anak-anaknya melibatkan diri dalam dunia perniagaan. Anak sulung dan kelimanya bergelar seorang pensyarah sementara lima yang lain membantu beliau menguruskan Syarikat Faiza.

Kesimpulan

Itulah dia info tentang kisah usahawan beras Faiza yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami, anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang kisah usahawan wanita Malaysia dan usahawan berjaya

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.