Mata wang merupakan medium atau alat pertukaran barangan dan perkhidmatan. Secara ringkasnya, mata wang sama ada dalam bentuk kertas ataupun syiling, biasanya dikeluarkan oleh pemerintah atau kerajaan dan diterima oleh masyarakat umum pada nilai muka sebagai kaedah melakukan pembayaran atau urus niaga.

Apa Itu Mata Wang?

Selain daripada itu, mata wang adalah medium atau alat pertukaran paling utama di dunia moden untuk sekian lama menggatikan sistem pertukaran barang atau sistem barter sebagai alat perdagangan barangan dan perkhidmatan.

Pada abad ke-21, satu lagi bentuk mata wang baru telah muncul iaitu mata wang maya. Mata wang maya seperti “bitcoin” tidak mempunyai bentuk fizikal atau pengeluaran oleh kerajaan serta diperdagang dan disimpan dalam bentuk elektronik.

Mata Wang Dunia

Sehingga hari ini, terdapat 180 mata wang yang diiktiraf oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang digunakan di 195 buah negara di seluruh dunia. Pastinya apabila berbicara tentang mata wang tertinggi di dunia, matawang-matawang seperti USD (Dolar Amerika Syarikat), GBP (British Pound Sterling) ataupun Euro yang berlegar di fikiran anda. Tahukah anda bahawa ketiga-tiga mata wang yang dinyatakan tadi tidak tersenarai di dalam senarai 3 mata wang tertinggi di dunia.

Ramai di antara kita yang terkeliru di antara mata wang tertinggi atau terkuat dengan mata wang terkenal di dunia. Sekiranya anda membincangkan tentang mata wang paling terkenal di dunia, mungkin ketiga-tiga mata wang yang dinyatakan di atas akan berada pada tiga kedudukan teratas.

Senarai Kedudukan Mata Wang Dunia

Mata wang yang berbeza-beza di seluruh dunia mempunyai nilai pertukaran yang berbeza. Salah satu faktor yang mempengaruhi nilai mata wang adalah perkembangan ekonomi sesebuah negara.

Namun begitu, nilai mata wang adalah tidak tetap di mana ia akan berubah dari masa ke semasa. Penukar mata wang atau “currency converter” (setakat 7 Jun 2020) akan membantu anda mengetahui kedudukan dan prestasi 10 mata wang tertinggi di dunia yang ditukarkan ke dalam Ringgit Malaysia (RM), yang merupakan mata wang negara Malaysia.

1. Dinar Kuwait

Mata wang tertinggi di dunia merupakan Dinar Kuwait (KWD = Kuwaiti Dinar) di mana 1 KWD bersamaan dengan RM13.84. Kuwait merupakan sebuah negara kecil dengan kekayaan yang sangat besar. Nilai atau kadar tinggi mata wang Kuwait disebabkan oleh pengeksportan minyak yang ketara ke pasaran global.

Dengan ekonomi berasaskan petroleum yang stabil, pengeluaran dan pengeksportan minyak yang sangat maju, Kuwait dianggap sebagai salah sebuah negara terkaya di dunia. Lebih daripada 80% pendapatan negara berpunca daripada industri minyak. Ini kerana pengeluaran petroleum di negara ini adalah paling mudah dan yang paling murah di antara negara-negara pengeluar minyak yang lain.

Selain daripada ekonomi yang sangat stabil, Kuwait adalah negara bebas cukai dengan kadar pengangguran yang sangat rendah.

2. Dinar Bahrain

Dinar Bahrain adalah mata wang kedua paling tinggi di dunia. 1 Dinar Bahrain (BHD = Bahraini Dinar) bersamaan dengan RM11.35.

Bahrain adalah sebuah negara pulau di Teluk Parsi dengan populasi lebih dari 1 juta penduduk. Seperti Kuwait, sumber pendapatan terbesar Bahrain juga adalah daripada pengeksportan “emas hitam”.

Imej via iLabur

3. Rial Oman

Rial Oman (OMR = Omani Rial) merupakan mata wang ketiga tertinggi di dunia dengan 1 OMR bersamaan dengan RM11.10. Mata wang Arab ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 1973 dan mengalami kenaikan nilai yang ketara berpunca daripada kejayaan membekalkan minyak secara global. Selain itu, Rial Oman merupakan mata wang rasmi Kesultanan Oman.

4. Dinar Jordan

Kedudukan keempat dihuni oleh Dinar Jordan (JOD = Jordanian Dinar), mata wang negara Jordan. Ianya agak sukar untuk menjelaskan nilai tinggi Dinar Jordan. Ini kerana, negara ini tidak begitu maju secara ekonomi, serta kurang dalam sumber ekonomi penting seperti minyak. Namun begitu, setakat 7 Jun 2020, 1 JOD bersamaan dengan RM6.02, meletakkannya di tempat keempat.

5. Pound Gilbratar

Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar mata wang Pound Gilbratar. Pound Gilbratar merupakan mata wang rasmi Gilbratar, sebuah Wilayah Luar Negara Britain (British Overseas Territory) yang terletak di hujung selatan Semenanjung Iberia. Semua wang kertas dan duit syiling Pound Gilbratar dicetak oleh kerajaan Gilbratar.

Selain digunakan di negara sendiri, mata wang ini juga dapat ditukarkan dengan Pound Sterling pada nilai par dan secara estetiknya kelihatan serupa.

Kadar pertukaran Pound Gilbratar (GIP = Gilbratar Pound) adalah 1 GIP bersamaan dengan RM5.407

6. Pound Sterling

Pastinya ramai mengetahui Pound Sterling (GBP = Great Britain Pound) merupakan mata wang untuk United Kingdom. Mata wang ini hanya dibezakan sebanyak RM0.001 untuk berada di 5 kedudukan teratas di mana 1 GBP bersamaan dengan RM5.406.

7. Dolar Kepulauan Cayman

Mungkin ada di antara anda tidak pernah mendengar nama negara Kepulauan Cayman atau tidak menyangka bahawa ianya sebuah negara. Namun begitu, mata wang negara ini iaitu, Dolar Kepulauan Cayman (KYD = Caymanian Dollar) berada dalam senarai 10 mata wang tertinggi dunia dengan kadar pertukaran 1 KYD bersamaan dengan RM5.12.

8. EUR Euro

EUR Euro adalah merupakan mata wang utama Kesatuan Eropah dan diguna pakai bermula daripada 1 Januari 1999. Mata wang ini merupakan mata wang rizab dunia kedua dan merupakan mata wang rasmi untuk 19 buah negara daripada 28 buah negara anggota Kesatuan Eropah.

Pengenalan mata wang EUR adalah bertujuan untuk meningkatkan saling kebergantungan perdagangan di antara semua negara anggota Kesatuan Eropah yang memilih untuk menggunakannya.

1 EUR bersamaan dengan RM4.82.

9. Franc Swiss

Seterusnya dalam senarai ini adalah Franc Swiss (CHF = Swiss Franc), mata wang rasmi untuk Switzerland dan Liechtenstein. Dengan kadar pertukaran lebih kurang 1 CHF bersamaan dengan RM4.43, meletakkan mata wang ini dalam senarai 10 mata wang tertinggi di dunia.

Switzerland merupakan salah sebuah negara terkaya di dunia dan mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam perbankan dan kewangan. Negara ini memiliki dasar kewangan yang ketat dan tahap hutang yang paling rendah dan telah menarik banyak pelabur yang melihat Franc Swiss sebagai “taruhan selamat”.

10. Dolar Amerika Syarikat

Dolar Amerika Syarikat (USD = United States Dollar) adalah mata wang Amerika Syarikat. Walaupun mata wang ini berada di kedudukan terakhir dalam senarai 10 mata wang tertinggi di dunia, ia merupakan mata wang yang paling banyak diperdagangkan dan digunakan di dunia.

Selain itu, mata wang ini memegang gelaran mata wang rizab utama dunia dan dipegang oleh bank pusat dan komersial di seluruh dunia. 1 USD bersamaan RM4.27.

Kesimpulan

Berdasarkan pada senarai kedudukan di atas, dapat disimpulkan bahawa kedudukan 3 teratas diduduki oleh mata wang negara-negara pengeluar minyak di mana kadar pertukaran untuk 1 unit mata wang dari ketiga-tiga negara iaitu Kuwait, Bahrain dan Oman melebihi RM11.

Selain daripada itu, anda juga dapat membezakan mata wang paling tinggi dengan mata wang paling terkenal di mata wang USD yang amat terkenal di mana anda dapat menukarkan wang anda kepada USD di mana-mana negara sahaja berada pada kedudukan terakhir dalam senarai di atas. Manakala mata wang KWD yang jarang-jarang anda dengar merupakan mata wang tertinggi di dunia.

Jemput juga baca tentang fakta menarik dunia dan jenis bentuk muka bumi

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.