Jom ketahui sejarah mata wang Malaysia. Serta kami kongsikan wang kertas Malaysia lama dan juga sejarah duit syiling Malaysia.

Pernah tak terfikir tentang duit kita masa kecil dulu, berbeza dengan sekarang, bukan? Tahukah anda juga dulu kita ada not wang RM1000 sekeping? Mesti menarik kalau kita selusuri sejarah evolusi matawang di Malaysia!

Artikel ini menampilkan perkembangan evolusi sistem wang di negara kita sebelum penggunaan wang yang kita pakai sekarang. Jom baca!

Pengenalan

Sebelum kewujudan konsep wang, manusia menggunakan sistem barter (tukar barang suka sama suka) yang didapati tidak cekap. Disebabkan ketidakpuasan manusia terhadap sistem tukar barang atau barter, maka satu sistem pertukaran yang menggunakan satu ‘benda’ sebagai perantaraan telah dicipta.

Keupayaan wang membebaskan manusia dari kerumitan sistem barter dan membawa kepada penggunaan wang sebaik sahaja wujud barang yang boleh diterima umum.

Tahukah anda, kemunculan wang kertas adalah untuk mengatasi kelemahan wang logam yang bersifat berat untuk menjalankan urus niaga. Wang kertas pada mulanya adalah dalam bentuk satu resit yang digunakan sebagai bukti simpanan emas dan perak dengan tukang emas.

Resit ini secara tidak langsung memberitahu bahawa ia boleh ditukarkan kepada duit syiling emas dan perak yang sebenar.

Keluaran Wang Kertas di Malaysia

Kuasa untuk mengeluarkan mata wang telah diserahkan kepada Bank Negara Malaysia di bawah Ordinan Bank Negara Tanah Melayu 1958 yang membentuk Bank Negara Tanah Melayu pada bulan Januari 1959.

Walau bagaimanapun, Lembaga Suruhanjaya Mata Wang Malaya dan British Borneo terus mengeluarkan mata wang mereka sendiri sehingga 12 Jun 1967.

Selepas itu, Bank Negara Malaysia mula mengambil alih kuasa sebagai pengeluar mata wang yang tunggal untuk seluruh Malaysia.

Mata wang Malaya yang lama terus diedarkan bersama-sama mata wang Malaysia yang baharu sehinggalah 16 Januari 1969, apabila taraf sah diperlakukannya dimansuhkan dan hanya mata wang baharu yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia sahaja yang sah digunakan.

Wang Kertas Keluaran Pertama

wang kertas malaysia lama

Wang kertas bernilai RM1 keluaran pertama Malaysia. Imej via BNM

Wang kertas Malaysia mula dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Jun 1967.

Wang kertas tersebut terdiri daripada lima jenis nilai muka, iaitu $1, $5, $10, $50 dan $100. Wang kertas jenis nilai $1,000 telah dikeluarkan pada 02 September 1968.

sejarah mata wang Malaysia

Not RM1000 yang tidak lagi diedarkan kini. Imej via BNM

Reka bentuk asas wang kertas tersebut adalah sama bagi semua jenis nilai. Muka hadapan setiap wang kertas menggambarkan potret DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang pertama, berserta perkataan Bank Negara Malaysia. Perkataan ‘sah diperlakukan’, nilai mukanya dan tandatangan Tun Ismail bin Mohamed Ali, iaitu anak Malaysia yang pertama menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia, terdapat pada muka hadapan wang kertas tersebut.

Muka belakangnya mengandungi logo Bank Negara Malaysia dan latar belakangnya dihiasi reka bentuk geometri.

Ciri-ciri keselamatannya termasuk tera air kepala harimau yang terletak di sebelah kiri dan benang keselamatan di sebelah kanan.

Wang Kertas Keluaran Kedua

Pada 01 September 1982, Bank Negara Malaysia mengeluarkan wang kertas dengan dua jenis nilai yang baharu, iaitu $20 dan $500.

Wang kertas bernilai RM500. Imej via BNM

Wang kertas baharu, pada keseluruhannya mempunyai reka bentuk baharu yang mencerminkan kebudayaan Malaysia. Reka bentuk am wang ini berasaskan perhiasan, ukiran kayu dan hasil kerja tangan tradisi Malaysia yang lain serta tumbuh-tumbuhan yang terdapat di beberapa tempat di negara ini.

Tera air kepala harimau pada muka hadapan wang kertas siri lama telah digantikan dengan potret DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang pertama.

Wang Kertas Keluaran Ketiga

Pada 05 Februari 1996, Bank Negara Malaysia memperkenalkan wang kertas RM2, yang merupakan nilai mata wang pertama daripada siri reka bentuk baharu mata wang Malaysia yang bertemakan Wawasan 2020.

Paparan perkembangan dan pencapaian pesat ekonomi Malaysia digunakan buat kali pertama dalam wang kertas siri ini.

Wang kertas RM10, RM50 dan RM100 pula mempunyai ciri tambahan, iaitu jalur holografi ubahan optik yang dikenali sebagai LEAD (Long-lasting Economical Anticopy Device).

Sementara itu, Bank Negara Malaysia pada 12 September 1998 mengumumkan bahawa wang kertas RM500 and RM1,000 telah dinyahwang. Wang kertas ini telah ditarik balik sah lakunya bermula 01 Julai 1999.

Duit Syiling Siri Pertama

sejarah duit syiling malaysia

Syiling edisi pertama. Imej via BNM

Duit syiling Malaysia mula dikeluarkan pada 12 Jun 1967.

Duit syiling keluaran ini terdiri daripada lima jenis nilai (1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen) yang mempunyai reka bentuk yang sama.

Sementara itu, duit syiling jenis nilai $1 untuk edaran biasa telah dikeluarkan pada 1 Mei 1971.

Bahagian hadapan setiap duit syiling diterakan dengan gambar bangunan Parlimen yang melambangkan kepercayaan rakyat Malaysia kepada demokrasi.

Bulan sabit melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara ini dan bintang 13 melambangkan 13 buah negeri di negara ini. Pada bahagian belakang duit syiling, terdapat satu corak bunga kebangsaan, iaitu Bunga Raya, perkataan ‘Malaysia’ dan tahun duit syiling ditempa.

Duit Syiling Siri Kedua

duit syiling malaysia lama

Syiling edaran kedua. Imej via BNM

Duit syiling siri kedua untuk edaran biasa dikeluarkan pada 04 September 1989.

Duit syiling ini mempunyai spesifikasi teknikal yang sama seperti duit syiling siri pertama, kecuali duit syiling satu Ringgit siri kedua ini lebih kecil saiznya berbanding dengan keluaran awal dan diperbuat daripada campuran tembaga-zink-timah.

Di samping itu, duit syiling RM1 tidak lagi sah diperlakukan berkuat kuasa 07 Disember 2005 dan telah ditarik balik daripada edaran.

Duit Syiling Siri Ketiga

Syiling keluaran terbaru yang digunakan sekarang. Imej via BNM

Duit syiling Malaysia siri terbaru ini telah dikeluarkan untuk edaran mulai 16 Januari 2012.

Ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk duit syiling Malaysia siri ketiga ini.

Dengan tema ‘Keunikan Malaysia’, reka bentuk baharu duit syiling ini memaparkan motif-motif seni kraftangan tradisional dan keindahan flora dan fauna negara.

Rujukan

  1. http://www.bnm.gov.my
  2. Huff, W. G. (1989). Bookkeeping barter, money, credit, and Singapore’s international rice trade, 1870–1939. Explorations in Economic History, 26(2), 161-189.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.